" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Friday, October 23, 2009

e-xnak umno : Muktamar Khas: Antara Perlu Dan Tidak

Perlukah PAS mengadakan muktamar khas untuk:

SATU - MEMILIH SEMULA KEPIMPINAN PAS PUSAT

Tidak perlu. Kepimpinan yang ada sudah mampu bercakap dan bekerja. Kalau diadakan semula muktamar khas untuk tujuan ini, seolah-olah kewibawaan pemimpin sekarang dipertikaikan. Suara perwakilan yang memilih mereka dalam muktamar yang lalu seolah-olah tidak berguna lagi. Bagaimana kalau pemimpin yang ada sekarang terpilih lagi, kemudian ada lagi suara yang tidak berpuashati dengan kepimpinan itu, buat muktamar khas lagi?

Akhirnya kerja kita ialah bermuktamar. Muktamar maknanya bercakap, jadi kerja kita cuma bercakap. Adakah kita akan berhadapan dengan Umno cuma dengan bercakap?

Pasukan yang ada sekarang dikira sudah mampu memimpin untuk berhadapan dengan Umno. Kalau ditakdirkan ada juga pemilihan baru, dan ditakdirkan juga terpilih barisan kepimpinan baru, siapa boleh menjamin yang baru adalah lebih baik daripada yang sedia ada?

Orang Arab bermadah, ‘Boleh jadi perkara yang diidamkan adalah lebih manis, tetapi apa yang sedia ada sudah pun manis’.

DUA - MENENTUKAN SIKAP TERHADAP ISU KERAJAAN PERPADUAN

Perlu. Isu ini menjadi ‘bom jangka’, bahkan lebih berbahaya daripada bom jangka kerana saat ia akan meletup tidak diketahui. Tambahan pula bom ini boleh meletup berkali-kali di merata-rata tempat.

Sekarang, ia ‘meletup’ lagi apabila seorang ahli akademik mencadangkan supaya dikenakan tindakan terhadap Pesuruhjaya PAS Selangor dan barisan pemimpin yang sealiran dengannya.

Letupan ini mengembirakan Umno. Justeru bom jangka ini perlu dimatikan. Tiada sesiapa yang mampu mematikan bom ini secara berseorangan. Dijangkakan hanya muktamar yang mampu mematikannya. Justeru, muktamar khas perlu diadakan.

Bagaimana kalau perwakilan tetap mahukan kerajaan perpaduan? Atau, boleh jadi keputusan perwakilan seimbang? Atau, majoriti yang penolakan terhadap kerajaan perpaduan adalah kecil? Atau, majoriti yang menerima kerajaan itu juga kecil?

Atau, perwakilan memohon supaya diadakan pilihan ketiga, berkecuali?

Ah, tidak mungkin begitu walau pun dunia ini serba mungkin.

KETIGA - KEDUA-DUA TOK GURU

Kedua-dua tok guru adalah orang cerdik. Mereka terdedah dengan pengalaman dan ilmu politik yang banyak. Tiada apa-apa kepentingan peribadi yang mereka kejar. Mereka saling perlu-memerlukan dan kuat-menguatkan antara satu sama lain. Jangankan ketiadaan kedua-duanya, ketiadaan salah seorang daripadanya pun sudah menjadikan kita tidak cukup air mata untuk menangis.

Memang, kadang-kadang kita tidak selesa dengan seseorang semasa dia masih ada. Setelah ketiadaannya barulah kita teringat untuk berkata, ‘Kalaulah dia masih ada!’.

Saya teringatkan pesan salah seorang pemimpin Ikhwan Muslimin, ‘Jadilah batu-bata yang mengukuhkan jamaah. Usah benarkan musuh menyelinap masuk untuk merosakkannya daripada ‘bata’ kamu’.

e-xnak umno : Ust Idris!!! anta jangan rasa hebat!

Membaca sanggahan Ketua Penerangan PAS Pusat terhadap Dr Abdul Aziz Bari agak mengejutkan. Bagi saya sanggahan itu kurang objektif dan kurang manis keluar daripada pimpinan kanan PAS Pusat. Idris benar ketika dia membela Presiden dan pimpinan PAS yang lain, tetapi dia tidak patut ‘menyerang balas’ Abdul Aziz, samada atas sifat Abdul Aziz sebagai ahli akademik, apatah lagi atas sifat Abdul Aziz sebagai orang yang turut ‘menyumbang’ dengan caranya yang tersendiri kepada PAS.

Selaku pimpinan kanan PAS Idris, harus berkepala dingin biar pun hati panas. Ini bukan sekadar terhadap golongan akademik seperti Abdul Aziz bahkan terhadap anggota parti paling bawah sekali pun. Watak ini adalah watak para nabi.

Baca kisah Nabi Sulaiman dengan burung Hud-hud. Rujuk surah an-Naml ayat 20. Burung Hud-hud adalah burung kecil sahaja jika dibandingkan dengan besarnya kekuatan dan bilangan tentera Sulaiman yang terdiri daripada manusia, jin dan binatang. Ketiadaan burung Hud-hud jika tidak diambil kira oleh Sulaiman pun tidak menjejaskan apa-apa.

Tetapi, bagaimana sikap Sulaiman? Dia mencari burung Hud-hud, bahkan Sulaiman bersedia menghukum burung itu sekiranya ketiadaannya dalam barisan tentera tanpa alasan menasabah. Akhirnya burung Hud-hud tampil dengan berita besar. Berita tentang kekufuran seorang maharani di negeri Saba’.

Tindakan Sulaiman mencari burung Hud-hud dan bersedia menghukumnya menggambarkan keprihatinan Sulaiman terhadap setiap individu tenteranya. Selepas Sulaiman mendengar penjelasan burung hud-hud, dia tidak ‘menyerang balas’ burung Hud-hud tetapi segera direncanakan tindakan wajar terhadap maklumat itu.

Ini sebenarnya seni kepimpinan seorang pemimpin bila berhadapan dengan kerenah orang yang dipimpin. Saya agak hairan bila Idris seperti tidak menguasai seni ini sedangkan dia adalah bekas TPJ Perak dan Timbalan Ketua DPP Pusat.

Mengapa Idris tidak meletakkan dirinya di tempat Sulaiman dengan menganggap penting semua maklumat yang disampaikan dan seterusnya merencanakan tindakan wajar terhadap maklumat itu? Perlukah Abdul Aziz ‘diserang’ kembali?

Pemimpin tidak tahu semua perkara. Tidak semestinya orang yang berada di atas nampak semua benda. Dia mungkin nampak gajah yang berjalan tetapi dia tidak nampak semut yang merayap. Sulaiman adalah seorang nabi, menerima wahyu, tenteranya tidak terbilang, tetapi baginda ‘terlepas pandang’ terhadap isu di negeri Saba’.

Bila burung Hud-hud tampil dengan maklumat sebegitu besar, Sulaiman sangat berlapang dada menerimanya. Walau pun, secara zahirnya maklumat itu mencabar wibawa Sulaiman, yakni, bagaimana seorang nabi ‘tidak tahu atau tidak peka’ terhadap kekufuran seorang maharani?

Pemain bolasepak tidak tahu semua perkara. Kadang-kadang penonton lebih tahu apa yang patut dibuat oleh pemain berbanding pemain sendiri. Apa salahnya pemain menerima idea dan kritikan penonton itu? Jangan bimbang, penonton yang mengkritik pemain itu tidak akan menggantikan tempat pemain.

Ahli akademik memang sebahagian kerjanya adalah di bilik berhawa dingin. Walau pun mereka tidak turun ke medan tetapi mereka mendapat akses terhadap maklumat daripada sumber yang banyak dan berwibawa. Ibarat seorang jurutera, dia tidak perlu setiap jam berada di tapak pembinaan. Dia hanya mendapat maklumat sahaja daripada mandur yang dilantik. Dengan maklumat itu dia boleh membuat tanggapan, analisa dan keputusan.

Saya sangat berharap, pemimpin terutamanya pemimpin kanan PAS lebih berlapang dada apabila berhadapan dengan situasi sebegini. Apa salahnya, walau pun Idris tidak berupaya berterima kasih dengan dengan pandangan Abdul Aziz itu, dia mengeluarkan kenyataan menyambut baik pandangan itu.

Bukankah itu lebih manis? - Zolkharnain Abidin

e-xnak umno : TGNA cadangkan mesyuarat tergembar..

Jarang sekali hati saya menjadi tidak sedap sepanjang melibatkan diri dalam kepimpinan Islam. Hati saya pernah bergolak di zaman bekas Presiden PAS yang mahsyur iaitu di zaman Allahyarham Dato’ Haji Mohamad Asri. Di peringkat itu, saya terpaksa bersuara dan menunjukkan sikap saya yang ada sebahagiannya dirakamkan melalui buku saya yang berjodol “kemuncup dalam perjuangan.” Di waktu itu, saya masih ingat betapa sukarnya saya untuk memilih antara menegur atau mendiamkan diri.

Namun, setelah teringat bahawa Nabi SAW juga pernah ditegur oleh Allah SWT, maka, saya memutuskan untuk berdiri dengan santun dan saya pun katalah jua apa yang munasabah untuk dikata.

Saya memilih untuk mengambil sikap ini berasaskan adanya hujah nas yang memboleh, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu bersifat wajib untuk berbuat demikian. Sampai ke hari inipun saya masih berpegang dengan pendirian ini.

Untuk lebih terpimpin, mari kita terlebih dahulu perhatikan tiga petikan surah dan latar peristiwa disekitar tiga kisah ini. Ia ada dirakamkan didalam kitab suci al-Quran.

i). Dalam peristiwa Badar setelah perang berakhir yang memberi kemenangan kepada tentera Islam, terdapat sejumlah 70 tawanan perang. Apabila Nabi SAW membuka perbincangan, apa yang patut dibuat dengan tawanan-tawanan perang ini, Saidina Umar berpandangan, mereka semua perlu dibunuh manakala Sadina Abu Bakar pula berpendapat lebih baik mereka dibenarkan bebas setelah diambil wang tebusan.

Ditakdirkan Allah, keputusan yang ada dilangit adalah selaras dengan syur yang dikemukakan oleh Saidina Umar. Ia berbunyi:

“Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawiah sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk mu) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.” (Surah Al-Anfaal Ayat 67 – 68)

Dari sini, jelas bahawa tidak ada sesuatu yang pelik dalam tradisi menegur pemimpin didalam Islam.

ii). Peristiwa kedua ialah sewaktu Nabi S.A.W. bersumpah tidak akan meminum sejenis madu dari bunga tertentu kerana menerima teguran dari salah seorang dari isteri baginda S.A.W. sewaktu berada di rumah salah seorang isterinya. Dalam peristiwa ini, sekali lagi Nabi S.A.W. di tegur dengan lafaz berbunyi:

“ Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri mu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah At-Tahriim Ayat 1)

iii). Dalam surah ‘Abasa, sekali lagi kita dapat saksikan teguran Allah S.W.T. ke atas Nabi S.A.W. yang dilihat tidak memberikan layanan kepada seorang buta ketika Baginda didatangi oleh pemimpin Quraish yang turut berada di dalam majlis yang sama pada waktu itu. Teguran Allah S.W.T. berbunyi:

“ Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.” (Surah ‘Abasa Ayat 1 – 6)

Apa isunya?

Isu yang ada di hadapan kita sekarang ialah isu kepimpinan.

Biar saya mulakan begini. Saya boleh bersetuju dengan sebahagian dari tulisan Dr. Aziz Bari yang ada tersiar dalam akhbar Sinar Harian pada 19 Okt. 2009 di mukasurat N16. Antara lain, beliau mengemukakan teguran dan saranan seperti berikut :

“Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.”

“Fungsi Dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.”

“Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali atau menyingkirkannya terus.”

“Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.”

“Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PAS. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan Hasan itu secara terbuka.”

“Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam PAS yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti.”

“Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi PAS di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu.”

“Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika PAS kekal dengan kapten yang ada ini (sokongan) mungkin akan berkurangan.”

Pandangan Saya

Atas pandangan inilah saya berfikir dan terus berfikir. Setelah berfikir sambil berdoa, maka saya berpuashati untuk mengatakan begini :

Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan Mesyuarat Agong Khas dan MCA pun boleh mengadakan EGMnya sehingga sempat menggugurkan Presiden dan Timbalan Presidennya. Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan Perlembagaannya melalui Kongres Khas mereka. Maka kita?

Walaupun isu MCA benda lain, iaitu rasuah, kita lagilah tidak payah khuatir untuk adakan Muktamar Khas kerana kita bukan membawa isu rasuah. Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah.

Masyarakat India pun boleh menentang Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain.

Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya; mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu.

Demi “tajdid” kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini. Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah.

Begitu juga dengan isu-isu disekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG. Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?


Tidak boleh jadi ni, kita duk “ghok-ghak” (kacau) begini. Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah; senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana. Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana.

Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihanraya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan. Mereka jelas.

Biarlah kita ambil mandat baru sekali lagi. Mesyuarat biar ringkas; ambil sehari penuh atau dua hari penuh misalnya tetapi prosesnya mesti ringkas, dan keputusannya adil, telus, tepat, terus dan jelas. Undi perlulah sulit dan dilakukan di atas kertas .

Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS diperingkat pusat. Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke 13 pun, kata gi lah. Dan memang betul begitulah.


Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS/Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 02 Zulkaedah 1430 / 21 Okt. 2009

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111