" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Tuesday, December 22, 2009

Kenali ABU dlm PAS : Pemimpin mesti memandang jauh ke hadapan

Oleh Iskandar Abdul Samad

Ada orang berkata seorang pemimpin tidak mempunyai wawasan yang hebat jika apa yang beliau mahu laksanakan difahami dengan mudah oleh mereka yang dipimpin.Tetapi seorang pemimpin mempunyai wawasan yang hebat jika apa yang beliau mahu laksanakan pada mulanya tidak difahami oleh mereka yang dipimpin. Mereka hanya akan memahaminya setelah perlaksanaan atau setelah beliau telah tiada


Seorang pemimpin yang hebat mestilah berupaya memandang jauh ke hadapan. Melihat apa yang orang lain tidak dapat melihat. Menjangka apa yang orang lain tidak dapat menjangka. Setelah arahan atau idea beliau dilaksanakan barulah orang berkata, ”Betul jugak ye!”.

Mungkin perkara ini benar dan mungkin juga tidak. Tetapi seorang pemimpin mestilah mempunyai idea-idea yang luarbiasa atau idea-idea yang menakjubkan untuk mengangkat martabat mereka yang dipimpin sehingga kadang kala ianya tidak masuk akal. Atau untuk membawa organisasi yang dipimpin ke satu tahap yang lebih tinggi atau mencapai sasaran-sasaran yang nampak mustahil.

Memimpin masyarakat

Perkara ini penting di dalam suasana sekarang di mana PAS adalah sebahagian dari kerajaan di Negeri Selangor. Pemimpin PAS walaupun di peringkat Cawangan bukan lagi memimpin ahli-ahli PAS sahaja tetapi memimpin masyarakat. Tanggung jawab ini besar dan saya memahami ada di antara kita yang tidak mampu melakukannya.

Sekarang masyarakat datang bukan hanya kepada AJK Cawangan tetapi kepada ahli-ahli biasa untuk urusan-urusan kerajaan negeri atau majlis perbandaran. Sama ada untuk borang Mesra Usia Emas atau tentang lesen menjaja dan banyak lagi. Mereka datang kepada kita.

Kalau kita berjiwa kerdil kita melihatnya sebagai satu masalah kepada diri dan keluarga kita. Tetapi jika kita berjiwa besar kita akan melihatnya sebagai satu cabaran dan peluang untuk mengukuh serta mengembangkan Parti.

Ada Ketua Cawangan yang meletakkan bendera PAS di hadapan rumah mereka agar masyarakat senang mencari mereka, supaya mereka dapat membantu rakyat.

Mereka menjadi wakil kepada ADUN dan ahli Majlis. Menjadi penghubung di antara rakyat dan kerajaan negeri atau Majlis.

Ada AJK Cawangan yang sentiasa datang ke Pejabat DUN berbincang dengan saya masalah di tempat mereka dan cara-cara membantu penduduk di sana. Tidak kira dari Chempaka atau Teratai.

Malah pimpinan PAS dari Taman Templer, Dusun Tua malah Batang Kali juga ada yang bersusah payah datang ke Pandan untuk berbincang masalah di DUN mereka.

Pimpinan yang luar biasa

Kita perlu memimpin masyarakat dan kita tidak akan dapat diterima sebagai pemimpin masyarakat sekiranya kita tidak berjiwa besar.

Lebih-lebih lagi kita berada di Pandan. Satu kawasan berbilang kaum. Kita memimpin bukan sahaja orang Melayu tetapi juga orang Cina, India, Sikh, Portugis malah orang Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Korea yang ramai di kawasan kita.

Sudah tentu ianya memerlukan kualiti dan pendekatan yang berlainan dari ketika memimpin hanya orang-orang PAS.

Ini selari dengan semangat Pakatan Rakyat, parti-parti Pakatan tidak hanya memimpin kelompok mereka. PAS tidak hanya memimpin orang Melayu atau orang Islam. DAP juga tidak hanya memimpin orang Cina. Tetapi kita memimpin seluruh rakyat.

Orang PAS jaga surau aje!

Walau bagaimanapun tugas ini bukan mudah. Seorang professor ketika membentangkan satu kertas kerja di Konvensyen PAS Selangor pada 6 Disember lepas mendedahkan satu peristiwa yang mengejutkan.

Di dalam menjalankan kajian untuk satu NGO, beliau dan pasukan beliau telah turun ke taman-taman dan kampung-kampung.

Dalam satu kampung, beliau telah bertanya sekumpulan belia sama ada mengenali orang-orang PAS di situ. Jawapan yang diterima adalah, ”Tak, orang-orang PAS jaga surau aje”.

Kajian yang dibentangkan di konvensyen tersebut juga mendedahkan terdapat kawasan-kawasan di Selangor yang masyarakat di dalam kelompok 21 hingga 30 tahun langsung tidak mengenali PAS.

Ini patut membimbangkan kita kerana kita sekarang adalah kerajaan. Apa yang telah kita lakukan?

Berani membuat keputusan

Apabila Anwar Ibrahim dipecat dalam tahun 1998, Presiden PAS ketika itu, Ustaz Fadhil Noor, telah mengilhamkan penubuhan GERAK. Ketika itu keadaan kucar-kacir. Cadangan Ustaz Fadhil itu akhirnya berjaya menyatukan tenaga-tenaga yang menentang kepimpinan Tun Mahathir.

Satu himpunan raksaka telah dianjurkan di Taman Melewar. Ada yang kata 100,000 yang hadir, ada yang kata 50,000 yang hadir pada malam keramat itu. Walau berapa ramai yang hadir, ianya menjadi permulaan kepada penyatuan suara pembangkang yang akhirnya menjadi Pakatan Rakyat hari ini.

Tetapi ketika itu ada yang mempertikaikan tindakan Ustaz Fadhil. Ada yang berkata, ”Buat apa nak tolong Anwar, dia kan UMNO”.

Atau mereka yang berkata GERAK tidak berdaftar, perhimpunan raksasa itu akan memberi kesan yang buruk kepada PAS.

Tetapi akhirnya kita semua memahami pandangan jauh Ustaz Fadhil.

Tun Mahathir

Tun Mahathir melaksanakan banyak perkara ketika pemerintahan beliau. Mungkin kerana tempoh pemerintahan beliau lebih panjang dari mana-mana Perdana Menteri maka banyak perkara yang telah dilaksanakan lebih menyerlah.

Sama ada ianya menguntungkan negara atau merugikan negara, pemerintahan beliau banyak mencatatkan perkara-perkara baru di dalam sejarah negara kita.

Kita mungkin tidak bersetuju dengan Tun Mahathir sebagai seorang pemimpin Islam. Atau sebagai seorang pemimpin yang menjaga kepentingan para Marhaen tetapi terdapat perkara-perkara yang dilaksanakan oleh beliau yang akhirnya diakui membawa manfaat kepada rakyat. Yang meletakkan Malaysia di peta dunia.

Walaupun terdapat perkara-perkara yang dilakukan oleh beliau yang merugikan rakyat sehingga hari ini tetapi keberanian beliau membuat sesuatu keputusan adalah sesuatu yang dikagumi ramai

Seorang pemimpin mesti berani dan tegas, tidak kelihatan lemah ketika membuat keputusan. Tidak teragak-agak.

Ibnu Khaldun seorang ilmuwan Islam yang meninggal dunia lebih kurang 4 tahun selepas Parameswara membuka Melaka pernah membincangkan tentang ciri-ciri kempimpinan. Menurut beliau yang terkenal dengan kitab-kitab Muqaddimah dan Al-’Ibar, seorang pemimpin perlu disayangi dan juga digeruni.

Sama ada di peringkat Cawangan, Dewan atau Kawasan, pimpinan adalah pimpinan. Memikul tanggung jawab masing-masing. Pimpinan yang lemah tidak akan membawa organisasi beliau ke mana-mana. Pemimpin mesti menghasil idea–idea yang luar biasa dan berani menghadapi risiko. Bak kata orang putih, ”No pain, no gain”.

http://iskandar56100.blogspot.com/

Kenali ABU dlm PAS : PAS Terbuka, Matang, Telus, Berjiwa Besar, Jujur Dan Perpandangan Jauh

Oleh Sofi Wahab

Ramai rakyat Malaysia yang bukan Islam dan bukan Melayu sebelum ini memandang sinis kepada PAS terutama sebelum era tahun 90-an. Bagi PAS adalah parti ekstrem, pelampau agama, tertutup, orthodox, susah diajak berbincang, berjuang untuk Islam/Melayu sahaja dan segala 'mak nenek' sifat buruk dan negatif.



Namun kini terbukti sangkaan dan persepsi mereka kepada PAS adalah 200 % salah. PAS membuktikan bahawa ia sebuah parti yang positif dan moden serta sesuai untuk semua golongan tanpa mengira agama, bangsa, taraf kehidupan dan sebagainya.
Konvensyen PR Sabtu lalu menyerlahkan sifat sebenar PAS.

PAS terbuka

PAS terbuka menerima pandangan sesiapa sahaja walaupun ianya bertentangan dengan prinsip perjuangan Islam yang dibawanya. Bagi PAS orang yang menentang Islam bukannya anti Islam tetapi sebenarnya mereka tidak faham Islam yang pada hakikatnya sesuai sepanjang zaman, tempat dan sesiapa sahaja. Sebab itulah PAS sentiasa bersedia dan terbuka untuk berbincang dengan sesiapa sahaja dalam PR bagi menyelesaikan apa juga perkara yang menjadi perselisihan.

PAS matang

Oleh kerana kematangan PAS lah maka parti ini tidak pernah 'melompat' dan 'hilang akal' walaupun dituduh dengan pelbagai tuduhan dan fitnah samada oleh kawan atau lawan. Sebab itulah PAS sentiasa sabar menjawab segala tohmah dan fitnah yang akhirnya semuanya terjawab dengan bukti dan fakta yang diterima oleh semua orang. Kematangan PAS juga akhirnya menyebabkan musuh menjadi kawan lawan menjadi sahabat.

PAS telus

PAS tidak pernah menyembunyikan apa dasar dan matlamat perjuangannya. Hatta sekarang ini ketika berkawan dengan DAP dan PKR, PAS tetap memperjuangkan Islam yang menjadi dasar perjuangannya. Sebab itulah segala hujah dan fakta yang diutarakan oleh PAS diperkukuhkan dengan dalil ayat Al-Qur'an dan Hadis Nabi. PAS tidak pernah meminggirkan Al-Qur'an dan Hadis Nabi dalam apa juga dasar, manifesto dan uslub perjuangannya. Malah segala dasar yang baik yang digarikan oleh sesiapa sahaja didunia ini adalah sebenarnya sesuai dengan Islam yang sentiasa menitikberatkan kesejahteraan manusia.
PAS berjiwa besar

PAS dan pemimpinnya membuktikan bahawa mereka berjiwa besar dalam apa juga tindakan dan dasarnya. Pemimpinnya akan mengakui kesalahan masing-masing dan pada masa yang sama memaafkan sesiapa sahaja. Yang benar tetap ditegakkan dan yang salah akan ditentang walaupun ianya kroni dan sahabat sendiri. PAS tidak pernah bongkak dan tamak dalam memberikan pengiktirafan kepada sesuatu langkah dan tindakan yang baik hatta ianya dilaksanakan oleh musuh politiknya.

PAS berpandangan jauh

PAS sebenarnya boleh berjuang secara sendirian jika mereka mahu berbuat demikian. PAS sudah cukup matang untuk berjuang solo kerana mereka mempunyai 'resources' yang cukup dari segi modal insan, fasiliti dan keupayaannya.

Namun berpandangan jauh dan berpijak di bumi nyata kerana PAS tahu dalam konteks perjuangan politik di Malaysia PAS tidak boleh berjuang sendirian jika mahu membebaskan rakyat Malaysia dari kekejaman dan kezaliman BN. Komposisi kaum, budaya dan agama tetap menjadi penghalang kepada kejayaan sesebuah parti yang berjuang secara solo. Mahu tidak mahu PAS mesti berjuang secara berjemaah dengan parti-parti lain. Tahaluff Siyasi yang digagaskan oleh PAS sejak dari dahulu membuktikan PAS adalah sebuah parti yang berpandangan jauh dan realistik. PAS pernah bersama dengan Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah(APU), Parti Keadilan Nasional (PKN) dan DAP dalam Barisan Alternatif (BA) dan lain-lain gabungan yang sudah menjadi sejarah.

PAS jujur dan tidak belot

PAS tidak pernah belot dan menikam sahabat-sahabatnya dalam gabungan mereka sebelum ini samada dalam APU, BA dan lain-lain. Sebaliknya gabungan tersebut runtuh lantaran sahabat-sahabat lain yang tidak mahu meneruskan gabungan tersebut. PAS tidak pernah 'menuntut cerai' atau 'menceraikan' sesiapa sebelum ini. PAS jujur dalam 'perkahwinan.'

Sebab itulah pemimpin PAS memberi jaminan bahawa PAS akan tetap setia dalam PR selagi semua rakan-rakan setia dan jujur dalam persahabatan dan 'perkahwinan'.

Konvensyen PR Sabtu lalu membuktikan kenyataan dan fakta di atas di mana ucapan pemimpin dan pembahas PAS diterima baik oleh pimpinan PR dan penyokong PR.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111