Oleh IZMAS
DEMOKRASI dalam ertikata mudah membenarkan kebebasan rakyat bersuara, memberi pendapat dan pandangan hatta berdemonstrasi di jalanan jika perlu bagi mendedahkan suarahati dan bantahan tentang dasar pemerintah yang difikirkan tidak memihak mereka. Pemerintah atau kerajaan pula berhak tidak melarang tunjuk perasaan dan demonstrasi itu dalam batas ketentuan yang dibenarkan undang-undang dan kehendak perlembagaan negara.
Namun, kebebasan yang keterlaluan sehingga menjejas kepentingan serta keselamatan awam tidak boleh diterima dan dibenarkan kerana ia merosakkan maksud kebebasan itu sendiri seperti yang sudah dipersetujui bersama. Kebebasan bertindak dan bersuara sebenarnya ada had dan batasnya.
Kebebasan yang keterlaluan sehingga mengenepikan peraturan dan undang-undang negara hanya menguntungkan pihak yang menuntut tetapi menafikan kehendak kehidupan majoriti rakyat yang tidak terlibat dan sebenaranya tidak berdosa.
Demonstrasi jalanan yang sudah berlangsung hampir sebulan kota Bangkok, Thailand memberi pengajaran berguna bagaimana kebebasan bertindak yang keterlaluan sudah merosakkan ketenteraman dan kepentingan awam. Kebebasan berdemonstrasi yang berpanjangan tanpa menghirau ketenterman dan keselamatan majoriti rakyat lain yang tidak terlibat adalah tidak adil dan bercanggah dengan prinsip demokrasi itu sendiri.
Persoalan timbul, apakah demokrasi bermakna rakyat bebas berdemonstrasi menunjuk perasaan sesuka hati membantah kerajaan sehingga menyekat dan menghalang kebebasan hak rakyat lain yang tidak terlibat? Apakah demokrasi bermakna tidak boleh mengadakan perundingan secara aman di bilik mesyuarat tanpa perlu menguggut pemerintah dengan tunjuk perasaan yang berlarutan begitu lama dan menyukarkan kehidupan rakyat terbanyak? Apakah demokrasi bermakna pihak yang kalah dalam kes mahkamah boleh mempersoal keputusan hakim yang sudah membuat keputusan muktamad?
Demonstrasi yang terlalu lama di ibu kota Thailnad itu sudah menjejas peniaga kecil dan besar kerana kompleks dan permesis perniagaan terpaksa ditutup demi keselamatan hartabenda mereka. Sentimen pasaran saham menjadi tidak stabil dan merudum teruk kerana pelabur luar dan dalam negara berasa skeptikal tentang masa depan perniagaan mereka yang tidak pasti akibat desakan dan penganjuran tunjuk perasaan yang tidak diketahui bilakah akan berakhir. Kerajaan mungkin oleh bertukar tangan jika pilihan raya baru diadakan atas kehendak penunjuk perasaaan dan dasar baru berbeza boleh diperkenalkan yang mungkin menyukarkan pelabur luar.
Bandaraya dan jalanraya menjadi sesak luarbiasa akibat kehadiran beratus ribu ‘Baju Merah’ dari seluruh negara membanjiri ibu kota dan bandar-banadar besar lain semata-mata mahu kerajaan melayani permintaan mereka tanpa menghiraukan kehendak majoriti rakyat lain yang tidak ada kena mengena. Urusan harian kebanyakan rakyat gulungan pekerja awam terjejas teruk akibat kesesakan jalanraya dan kehadiran ramai penunjuk perasaan yang menganggu waktu kerja mereka. Sudah kedengaran rungutan dan bantahan dari rakyat biasa, elit serta peniaga di ibu kota dan bandar-bandar besar lain yang terjejas teruk mendesak supaya orang ‘Baju Merah’ menghentikan segera tindakan keterlaluan mereka demi kepentingan negara dan menghormati raja yang mereka sayangi.
Dalam perkembanagn terbaru, kerajaan Thai dibawah pimpinan PM Abhisit Vijajiva telah mengisytiharkan darurat setelah penunjuk perasaan antikerajaan menggempur parlimen. Pasukan keselamatan terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan tunjuk perasaan yang merempuh masuk sebuah stersen TV satelit pro mereka yang diarah tutup oleh pihak berkuasa. Mereka tidak mengendahkan perintah darurat dan mendudukki lokasi-lokasi penting di Bangkok terutama pejabat kerajaan dan pusat perniagaan besar bagi memaksa segera PM Abhisit membubar parlimen.
Pergerakan Baju Merah dikenali secara resmi sebagai Barisan Bersatu Untuk Demokrasi Menentang Diktator (UDD) dan kebanyakannya dianggotai penyokong kuat perdana menteri yang digulingkan, Thaksin Shinawatra yang menentang rampasan kuasa tentera pada tahun 2006. Dalam rampasan kuasa itu, kerajaan pimpinan parti Thaksin dibatalkan kemenangannya kerana dituduh melakukan kegiatan rasuah dalam kempen pilihan raya dan digantikan dengan parti pimpinan perdana menteri sekarang, Abhisit Vijajiva atas perintah mahkamah.
Parti Thaksin yang digulingkan tidak berpuashati mendesak parlimen dibubarkan dan diadakan segera pilihan raya baru dalam tempuh terdekat. PM Abhisit enggan menerima desakan dan menganggap mustahil dilakukan tapi bersetuju mengadakan pilihan raya baru dalam tempuh enam bulan. Sementara puak penunjuk perasaan mendesak akan terus mengadakan demonstrasi jalanan sehingga matlamat mereka tercapai. Seorang pemimpin protes, Jatuporn Prompan mengisytiharkan perang untuk memperjuang demokrasi dan tiada penamat sehinggalah memenangi pertempuran itu tanpa menyedari mereka sudah membelakangkan perintah mahkamah dan melanggar dasar pemerintah yang dibenarkan perlembagaan.
Episod tunjuk perasaan yang berlaku di Thailand dikatakan akan kendur jika kerajaan pimpinan Abhisit menunaikan permintaan pihak antikerajaan itu. Soalnya, adakah pilihan raya baru boleh menamatkan semua krisis? Apakah kumpulan ‘Baju Merah’ boleh menerima hakikat jika parti mereka diisytihar kalah dalam pilihan raya baru itu? Apakah mereka boleh menerima dengan lapang dada hakikat kemenangan parti-parti lain yang bertanding termasuk parti campuran Abhisit dan tidak berdemonstrasi lagi?
Setengah pendapat mendedahkan krisis politik yang berlarutan terjadi di Thailand adalah akibat dari kegagalan cita-cita dan impian seorang bekas perdana menteri yang tidak terlaksana dalam percubaannya memerintah semula Thailand. Bekas PM Thaksin sudah kehilangan banyak kekayaan dan kepentingan akibat digulingkan tentera kerana didapati bersalah melakukan rasuah. Beliau kini menjadi buruan pihak berkuasa Thai kerana lari dari hukuman penjara dua tahun yang sudah dikenakan mahkamah keatasnya. Tambah menyakitkan, harta benda beliau berjumlah sekitar USD 1.4 billion dirampas pihak berkuasa sehinggga mengurangkan kekayaannya dengan begitu ketara. Beliau dikatakan, melalui beberapa penyokong kuatnya sanggup membayar upah kepada penunjuk perasaan dengan bayaran lumayan kepada setiap penunjuk perasaan yang kebanyakannya gulungan misikin dari kawasan pendalaman dengan syarat kerajaan PM Abhisit bersetuju membubar parlimen.
Episod yang berlaku di Thailand memberi pengajaran berguna kepada negara lain termasuk membangun seperti negara ini bagaimana sistem pemerintahan corak demokrasi yang diimport dari barat telah digunakan ke tahap maksimum sehingga mencabar peraturan undang-undang negara yang sedia ada. Konsep negara demokrasi berorentasi barat telah dieksploit sepenuhnya oleh satu pihak yang berkepentingan untk menafikan kebebasan hak rakyat yang lain yang tidak terlibat sehingga ketenteraman awam dan kestabilan politik tidak dihiraukan asalkan matlamat mereka tercapai. Dengan kata mudah, demokrasi boleh dieksploit dengan apa cara dan tujuan sekalipun oleh pihak-pihak yang berkepentingan asalkan objektif mereka tercapai. Demokrasi sudah diterjemah dalam bentuk tafsiran sendiri-sendiri seolah-olah kebebasan itu mutlak tanpa had dan batas.
Dan teori kejam Michevelli; tujuan menghalalkan cara – telah dipraktikkan sepenuhnya demi memenuhi impian pemimpin yang mempunyai agenda sempit peribadi walaupun terpaksa menafikan hak rakyat terbanyak dan fungsi konsep demokrasi itu sendiri. Pilihan paling terbaik mungkin demokrasi yang bersandarkan sistem islam yang lebih adil dan saksama serta menghukum mereka yang membuat kesilapan dengan balasan yang setimpal menurut panduan AlQuran dan Hadis.
Detikdaily.net
No comments:
Post a Comment