Oleh Dr Heazar Ismail
SEPANJANG bulan Jun dan Julai ini, tidak ada gunanya kita berbicara tentang hal lain kerana tidak ada siapa yang berminat hendak mendengar kerana fokus dan tumpuan telah beralih ke Afrika Selatan.
Di sana sini orang telah mula kecoh perlawanan akhir yang akan berlangsung pada 11 Julai nanti adalah antara Brazil dan Jerman. Semuanya gara-gara cara Maicon menjaringkan gol Brazil dan cara Jerman membelasah Australia 4-0.
Disebalik kemeriahan sambutan kejuaraan bolasepak yang menjelang tiba setiap 4 tahun ini, tentunya tersembunyi pelbagai kenangan suka–duka yang menjadi kenangan tersendiri di sebalik kejohanan ini.
Bagi para peminat pasukan negara–negara tertentu yang bertanding di kejohanan Piala Dunia kali ini, tentunya jika pasukan pujaan mereka mencapai kemenangan, kejohanan kali ini akan menjamin kenangan indah, kegembiraan dan sorakan, meskipun pasukan Malaysia sendiri masih lagi tercorot dalam ranking pasukan bolasepak dunia.
Bagi para bookie haram yang mengambil pertaruhan pula, mungkin tahun ini masih boleh menarik nafas lega, kerana aktiviti mereka masih boleh dijalankan, atas sebab kerajaan masih belum membuat keputusan untuk menguatkuasakan peraturan berkaitan judi sukan.
Para pengusaha gerai makan yang berskrin besar pula tentunya gembira kerana mereka bakal menyaksikan pertambahan dari aspek perniagaan mereka, kerana telah menjadi semacam budaya, apabila Piala Dunia berlangsung, perlawanan itu lebih enak dan santai jika dinikmati bersama rakan – rakan sambil menghidup udara malam di kedai – kedai mamak yang mempunyai skrin tv besar.
Bagi saya sendiri, pada kejohanan Piala Dunia yang lalu, nyaris anak saya mewarisi nama salah seorang pemain dari salah satu pasukan yang mara ke perlawanan akhir, kerana pada ketika itu saya bersama isteri agak buntu dalam usaha kami untuk memberikan nama yang sesuai untuk anak sulung kami.
Dalam kebuntuan itu, seorang sahabat mencadangkan agar sekiranya pasukan tersebut menjuarai kejohanan Piala Dunia 2006, maka mungkin wajar bagi saya untuk menamakan anak saya dengan nama pemain Arab – Muslim yang merupakan superstar utama pasukan tersebut.
Malangnya, pasukan tersebut hanya sekadar mara ke peringkat akhir, tetapi tidak mampu untuk menjuarai kejohanan pada kali itu!
Akan tetapi, tentunya tidak ramai yang tahu bahawa persaingan yang sengit dalam kejohanan Piala Dunia ini pernah mencetuskan peperangan antara dua buah negara?
Benar, kejadian ini pernah berlaku semasa kejohanan Piala Dunia peringkat kelayakan pada tahun 1970 di antara Honduras dan El Salvador.
Punca sebenar peperangan ini adalah sememangnya pergeseran yang telah sekian lama terpendam antara kedua–dua negara ketika itu, namun pencetus utama peperangan ini adalah apabila pasukan El Salvador mencatat kemenangan di ibu negara mereka, San Salvador, dan kekacauan yang tercetus seterusnya telah menyemarakkan api pergaduhan yang menyebabkan berlakunya peperangan antara kedua-dua buah negara jiran ini.
Demikianlah hebatnya semangat dan demam bolasepak yang sekiranya melanda, boleh memungkinkan apa sahaja berlaku. Apapun, bagi saya, amat perlu bagi kita mengambil pendekatan bersederhana dalam apa pun perkara yang kita minati.
Usahlah biarkan minat kita terhadap kejohanan bolasepak yang sedang berlangsung ini mengganggu tugas harian dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan, sama ada di tempat kerja mahupun bersama keluarga tercinta. Selamat Demam Bola!.Mstar
No comments:
Post a Comment