Oleh Abd Shukur Harun
Program ‘Retreat’ PAS Pusat bulan depan dijangka menyiapkan pelan komprehensif untuk menghadapi pilihan raya umum di tengah-tengah peringatan penting yang diberikan oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman di Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di Putik, Kota Bharu minggu lalu supaya PAS bersegera mendapatkan pengundi baru.
Peringatan ini sangat wajar diberi perhatian sungguh-sungguh oleh semua pihak jika mahu melihat PAS/Pakatan Rakyat mencapai kemenangan dalam PRU Ke-13 nanti. Justru 'Retreat’ PAS Pusat sewajarnya memberi tumpuan khusus mengenai perihal pengundi baru ini
Secara spesifik Datuk Abd Halim menyatakan bahawa PAS Selangor dan Kedah perlu melipatgandakan usaha menarik minimum 50 peratus daripada 1.2 juta orang yang belum mendaftar sebagai pengundi baru di negeri itu jika mahu PR mengekalkan tapak kuasa di kedua-dua negeri tersebut.
Menurut Datuk Abd Halim, PAS perlu berusaha untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 50 peratus pengundi baru... kerana kini ada kira-kira 700,000 orang yang masih belum mendaftar sebagai pengundi di Selangor dan 300,000 orang lagi di Kedah.
"Oleh itu, kita perlu meletakkan sasaran untuk mendaftarkan sekurang-kurang separuh daripada mereka jika mahu menarik pengundi kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya,” kata Datuk Abdul Halim kepada para perwakilan muktamar itu.
Sambil menegaskan ia sebagai satu peringatan serius menghadapi pilihan raya umum akan datang, Datuk Abdul Halim memberitahu, sasaran itu perlu dicapai menjelang hujung tahun ini. Beliau mengingatkan PAS Selangor dan Kedah bahawa tiada pilihan, kena capai sasaran ini sebelum hujung tahun ini, kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.
Muktamar Tahunan PAS Ke-56 minggu telah meluluskan pelan 15 strategi menghadapi pilihan raya umum ke-13, sebahagian daripada usul yang diluluskan parti komponen PR ini.
Ditanya sebab meletakkan sasaran itu di atas bahu PAS saja sedangkan Selangor dan Kedah diterajui bersama oleh PR, Datuk Abdul Halim menjelaskan, usaha menarik pengundi harus digerakkan oleh parti, bukannya kerajaan.
PAS sebagai parti komponen Pakatan, katanya, perlu menggerakkan usaha ini, parti kena ke depan. Sebab itu beliau mengingatkan pesuruhjaya PAS dan ketua kawasan kena tingkatkan usaha mereka, katanya lagi.
Datuk Abdul Halim juga berkata, berbanding PAS rakan mereka DAP lebih ke depan dalam mendaftar pemilih baru di Selangor.
Di Kedah, katanya, usaha mendaftar pengundi baru ada tetapi tidak agresif, jadi saya telah meminta pesuruhjaya PAS kedua-dua negeri agar melipatgandakan usaha pendaftaran pemilih baru ini.
Dalam ucapan penggulungan muktamar kelmarin, Datuk Abdul Halim melontarkan kejutan dengan menegaskan kedua-dua kerajaan negeri itu berada di ‘ambang keruntuhan’ jika kepimpinan PAS negeri tidak mempergiatkan pendaftaran pengundi baru dalam jumlah yang besar.
Berdasarkan (prestasi ketika) pilihan raya kecil Hulu Selangor, Datuk Abd Halim mengingatkan pesuruhjaya PAS dan Yang Dipertua PAS kawasan di Selangor, "kita kena tingkatkan pendaftaran pemilih. Di Hulu Selangor kita kehilangan enam peratus pengundi Melayu dan 10 peratus pengundi India."
Menurutnya, jika tidak daftar pengundi muda yang baru, Selangor di ambang keruntuhan. PAS, cuma boleh dapat dua kerusi. Beliau menyebut, Kedah pun kena tambah pengundi baru, kalau tidak Kedah pun di ambang kejatuhan.
Pelan tindakan 15 strategi PAS bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 menyasarkan strategi mendapatkan sejuta pengundi baru. Muktamar banyak memberi tumpuan ke arah persediaan parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-13 bersama Pakatan Rakyat.
Berdasarkan perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seramai 319,000 warga Kedah dan 799,000 lagi di Selangor, yang berumur 21 tahun dan ke atas masih belum mengundi sebagai pemilih. Keseluruhannya seramai 4.44 juta rakyat negara ini belum mendaftar sebagai pemilih.
PAS Selangor pula menegaskan bukan saja negeri itu akan tumbang, malah tiga negeri lain diterajui Pakatan Rakyat (PR) bakal mengalami nasib yang sama jika gagal memikat pengundi baru dalam jumlah yang banyak.
“Memang diakui bahawa setiap negeri PR akan jatuh sekiranya tidak mendapatkan pengundi baru dalam jumlah yang besar,” kata Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali. Justeru, Exco Kerajaan Negeri Selangor ini menegaskan, PAS, katanya, telah menyedari akan hal itu dan sudahpun menggerakkan jentera untuk mendapatkan pemilih yang masih belum mendaftar di negeri tersebut.
Hasan mengakui kedudukan PR khususnya di Selangor dan Kedah akan ‘terancam’ sekiranya tidak mempergiatkan usaha untuk mendapatkan pengundi baru dalam jumlah yang besar.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar mengulas, kenyataan yang dikeluarkan Abdul Halim hanya sebagai peringatan supaya jentera tidak leka akan tanggungjawab mereka untuk mendapatkan pengundi baru. Beliau menganggap kenyataan yang dikeluarkan itu bersifat untuk memotivasikan jentera supaya melakukan satu lonjakan bagi mendapatkan pengundi-pengundi baru.
Bukanlah menjadi perkara utama sangat untuk menyoal mengapa Datuk Abd Halim Abd Rahman secara spesifik menyebut dua negeri itu – Selangor dan Kedah - supaya berusaha keras mendapatkan pengundi baru, kalau tidak mungkin kerajaan dua negeri itu akan tumbang. Memang pada asasnya semua negeri mestilah memberikan tumpuan kepada mendaftar pegundi baru.
Mungkin juga ini disebabkan rasa bimbang yang sangat tinggi beliau terhadap dua negeri itu kerana dua negeri itu sedang ‘diserang’ hebat oleh Umno/BN dan mereka berhempas pulas untuk menawannya dalam PRU Ke-13 nanti.
Alangkah wajarnya para amilin PAS di semua peringkat, bersungguh-sungguh mendaftar pengundi baru di tengah-tengah kerancakan mengadakan program ceramah demi ceramah. Mereka yang mendengar ceramah perlulah dipastikan supaya mereka sudah dan akan mendaftar sebagai pengundi baru.
Untuk ini PAS Perhubungan Negeri perlu ‘turun padang’ sekerap yang mungkin ke kawasan untuk moniter kemajuan pendaftaran pengundi baru. Ertinya tidak sekadar menantikan laporan kemajuan dari kawasan setiap kali Perhubungan Negeri bermesyuarat.
Masa dan keadaan begitu menghambat, yang memerlukan sepantas itu pula pendukung PAS berusaha lebih pantas dan tepat untuk mendaftar pengundi baru. Sebenarnya sudah lama arahan dari Pusat ini sampai ke negeri dan kawasan. Namun kemajuannya begitu berlahan, berbanding kegiatan ceramah demi ceramah, demonstrasi demi demonstrasi. Hendaknya, semua ini berjalan serentak, secara sistematis, justru iniah strategi yang sangat diperlukan jika PAS/Pakatan Rakyat mahukan kemenangan.
No comments:
Post a Comment