" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Thursday, June 17, 2010

Tukar Bangunan Parlimen Macam Tukar Baju Raya

Oleh: Shirzad Lifeboat

Antara sitcom Radio Malaya yang mendapat rating audien tertinggi pada awal 1960-an ialah Kebun Pak Awang. Ia bukan sahaja mengenai “mari kita ke ladang, tanam kacang, hati senang…” (tema lagu rancangan berkenaan) tetapi hampir setiap slotnya membawa mesej pembentukan sikap baru dan juga sebagai wadah penyampai maklumat kerajaan kepada rakyat.

Dalam satu episodnya, barangkali pada tahun 1962, Pak Awang (dilakonkan oleh Allahyarham Abu Bakar Ahmad memberitahu Sahak (dilakonkan oleh Allahyarham Ishak Ubah) dan Seman (dilakonkan oleh Ibrahim Othman) tentang pembenaan Bangunan Pak Leman. Sahak kemudian membetulkan kata-kata Pak Awang, “Bukan Pak Leman, Parlimen.”

Tahun 1962, atau mungkin 1961 atau 1963 tidaklah terlalu lama jika dibandingkan dengan tahun 1512. Pada tahun 1963 Bangunan Parlimen Malaysia siap dibina dan dirasmikan oleh (Almarhum) Tuanku Syed Putra ibni Syed Hassan Jamalullail, Yang di-Pertuan Agong ke-3. Ini bermakna Bangunan Parlimen di Jalan Parlimen, Kuala Lumpur yang ada kini baru berusia 47 tahun. Maknanya, kalau bangunan ini boleh diibaratkan dengan seorang penjawat awam, maka masih jauh lagi sebelum mencapai usia persaraan wajib.

Pada tahun 1512, Raja England Henry VIII terpaksa meninggalkan istana yang telah didiami oleh keluarga diraja England sejak kurun ke-11 apabila suatu kebakaran telah memusnahkan sebahagian besar Westminster Palace. Sejak dari itu keluarga di raja England tinggal di tempat lain dan bangunan Westminster Palace diperbaiki bagi menempatkan Parlimen Great Britian. Ini bermakna, sehingga kini dan setelah 498 tahun berlalu, bangunan berkenaan masih gagah berdiri bersebelahan Sungai Thames dan masih lagi digunakan sebagai Parlimen negara berkenaan.

Namun tentu sekali, apabila siaran radio pertama UK yang dipancarkan dari stesen eksperimental Marconi 2MT dimulakan pada 1920-an, tidak ada watak peladang Inggeris digunakan untuk menghebahkan tentang kewujudan baik Parlimen atau bangunannya. Sebaliknya setiap orang Inggeris tahu Westminster Palace adalah Parlimen Great Britian dan malah sistem demokrasi yang disadur dan disesuaikan dari sistem Parlimen Britian ini lebih dikenali sebagai ‘demokrasi Westminster’.

Ini bukanlah bermakna setiap rakyat negara berkenaan sejak berkurun dulu tahu apakah itu sebenarnya Parlimen sebagaimana juga ada rakyat Malaysia sebelum 1963 yang menyebut Parlimen sebagai Pak Leman. Tetapi masa yang berkurun lamanya telah sedikit sebanyak mendidik rakyat Great Britain tentang erti demokrasi sebenar yang dilambangkan oleh sebuah bangunan bekas istana lama.

Keadaan ini agak berbeza dengan masyarakat Malaysia di mana pemikiran dan sikap mental mereka banyak diadun oleh kerajaan UMNO-BN menerusi media penyiaran yang menggunakan program sitcom Kebun Pak Awang sebagai alat propanda dan penyampai maklumat.

Hari ini masih ramai rakyat Malaysia yang masih belum kenal dan belum begitu faham apa itu Parlimen dan masih ramai, termasuk pemimpin politik dari parti kerajaan sendiri yang masih keliru erti sebenar demokrasi dalam pemerintahan sesebuah negara. Malangnya belum pun sempat Bangunan Parlimen kita berusia 50 tahun, sudah ada ura-ura dari kerajaan UMNO-BN mahu membina sebuah bangunan Parlimen baru di Putrajaya.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazri Tan Sri Abdul Aziz, bangunan Parlimen baru ini akan menelan kos RM800 juta. Adalah agak ironi pengumuman sebuah bangunan yang tidak diperlukan ini akan dibina dengan kos sebanyak itu dalam keadaan negara diancam kebankrapan. Apakah ia benar-benar akan menggunakan kos sebanyak itu kerana kita terlalu terkenal dengan perubahan kos? Banyak projek yang asal kosnya cuma sekian banyak meningkat berkali ganda sehingga hampir-hampir tidak masuk akal seperti kos membangunkan PKFZ. Apakah ia merupakan satu lagi ‘job for the boys’ untuk mereka yang ada pertalian dengan UMNO-BN sebagaimana PKFZ?

Apabila bangunan Parlimen baru di Putrajaya siap kelak, Bangunan Parlimen lama di Jalan Parlimen akan dijadikan sebuah bangunan warisan sejarah. Tidaklah diketahui sama ada ada kerajaan UMNO-BN faham apakah dia yang dimaksudkan dengan warisan sejarah.

Di luar negara, warisan sejarah bangunan lama terus dikekalkan penggunaannya atau digunakan untuk tujuan lain. Begitu juga dengan ibu kota negara masing-masing. Tetapi kita mengubah segalanya – dari lapangan terbang, stesen keretapi sehinggalah ibu kota. Nampaknya kita mengubah bangunan yang menempatkan institusi kerajaan macam kita menukar baju raya.

Dalam masa beberapa tahun akan datang apabila bangunan Parlimen baru itu siap di bina kelak dan andai kata ada rancangan radio Kebun Pak Awang, apakah pula yang akan dikatakan oleh Pak Awang kepada Sahak dan Seman? Bagaimana pula tentang lagu temanya – “mari kita ke ladang, buat bangunan, hati senang”?

Itulah dia situational comedy yang sering kita terbitkan tanpa kita sendiri sedari. Tak hairanlah sekiranya kelucuan dan gelak ketawanya turut dikongsi oleh dunia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111