Mufti Perak yang kontroversi, Dato' Seri Harussani Zakaria tidak layak untuk menjadi orang tengah dalam isu menyatupadukan dua parti utama negara, PAS dan Umno seperti yang sedang rancak diperkatakan sekarang.
Menurut bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Perak, Harussani sejak 8 Mac 2008, tidak pernah berkecuali tetapi terus berada di pihak Umno dan mempertahankan parti itu dengan pelbagai cara bagi mempastikan ia berkuasa semula di Perak sehinggalah sekarang, BN berkuasa semula di negeri itu.
Tegasnya kepada Harakah dalam satu sesi wawancara eksklusif mendedahkan siapakah Mufti Perak itu yang dikenalinya sejak di Kolej Islam Malaya hingga kini, yang sering menimbulkan kontroversi dan mengganggu PAS dengan menggunakan kedudukannya sebagai seorang mufti. Wawancara dilanusngkan oleh Tarmizi Mohd Jam dan Intan Abdullah.
"Beliau (Harussani) tidak layak jadi orang tengah dalam hal ini sebab awal-awal lagi telah menunjukkan sifat berat sebelah dan menyokong Umno," katanya.
Ustaz Ahmad yang juga bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia membongkarkan beberapa kes yang melibatkan mufti itu yang sanggup mengeluarkan kenyataan bohong, kecaman terhadap PAS di masjid-masjid secara terbuka, malah sanggup mempertikaikan kesetiaan orang-orang Islam bukan Melayu di negara ini, jika sesuatu terjadi kepada bangsa mereka, mereka akan menyokong bangsa bukanya agama Islam.
Kenyataan itu diucapkan oleh Harussani dalam satu pertemuan tertutup dengan pelajar-pelajar Malaysia di Australia baru-baru sewaktu menggambarkan kepentingan PAS-Umno bersatu, walaupun dalam masa yang sama beliau terus memburuk-buruk dan menyalahkan PAS sehingga wujudnya perpecahan di negara ini.
"Saya lihat sekarang mufti (merujuk kepada kes Harussani) telah diperalatkan oleh Umno untuk kepentingan politik mereka sahaja," ujarnya, berikutan kegagalan Pegawai JASA, Lokman Noor Adam yang mencetuskan idea penyatuan Umno-PAS dalam satu wacana di Lundang, Kelantan baru-baru ini.
Setelah syor Lokman itu tidak mendapat respon meluas, maka Mufti Perak menyambung idea itu hingga tercetusnya kontroversi yang sarat dengan agenda 'nakal' Umno-BN di belakangnya.
Ustaz Ahmad mendakwa Harussani juga bertanggungjawab mengheret institusi kesultanan Perak terlibat dengan kemelut politik yang melanda Perak semasa Umno Perak berusaha menjatuhkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Februari 2009 lalu.
"Tindakan Mufti Perak yang mengheret pihak Istana ke kancah politik ketika Umno hendak merampas kuasa di negeri Perak telah mencemarkan imej sultan dan mufti itu sendiri," katanya lagi.
Beliau juga mendedahkan terdapat banyak kes yang menunjukkan Umno-BN sebenarnya tidak berminat untuk melaksanakan Islam sebenar, tetapi hanya menjadikan Islam sebagai topeng untuk menghadapi PAS dalam kancah politik negara.
Katanya, ketika beliau berada dalam Majlis Keselamatan Negara mewakili Jabatan Perdana Menteri (Pusat Islam) Perdana Menteri waktu ti, Tun Husein Onn pernah mencadangkan agar diharamkan ABIM kerana terlalu lantang menentang kerajaan pada waktu itu.
Malah jelasnya, PAS mula dicurigai dalam BN, apabila terlalu banyak memperkatakan soal Islam termasuk menjayakan Bulan Islam, anjuran Pusat Islam dengan melibatkan semua pimpinan PAS (ketika PAS dalam BN) berceramah, tetapi setelah ulama Umno seperti Dato' Dasuki Ahmad, Dato; Hamid Othman, Yusuf Noor dan lain-lain enggan bersama.
"Perkara ini diketahui oleh Mufti Perak. Dia tahu Umno tak mahu Islam. Malah dia sendiri pernah tunjukkan surat larangan ceramah oleh kerajaan Umno-BN Selangor. Dia sendiri walaupun baik 'abang-adik' dengan Pak Lah (PM) waktu itu, ketika mencetuskan isu murtad, dia pun tak boleh pengaruhi PM untuk berbuat sesuatu," dakwa Ustaz Ahmad.
"Pengalaman panjang saya dengan Umno (sewaktu berada dalam kerajaan) membuktikan parti Melayu itu tidak mahukan Islam. Sekadar untuk kepentingan politik mereka semata-mata. Dulu semasa saya jadi pengarah (Pusat Islam), mereka beri amaran kalau hendak berpolitik, masuk saja PAS kerana waktu itu banyak program Islam dibuat, hingga mencetuskan anggapan Pusat Islam sudah jadi markas PAS," dakwanya.
Tegas Ustaz Ahmad, beliau tidak percaya sama sekali kehendak penyatuan PAS-Umno itu datangnya dari Mufti Perak, tetapi Harussani telah dipergunakan untuk tujuan itu setelah Umno-BN lemas. Ini kerana apabila mereka kuat, PAS dipandang sebelah mata. Lihat setelah mereka menang besar pada PRU ke-11 pada 2004, ujarnya.
No comments:
Post a Comment