Oleh Mohd Nasir Awang
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa PAS bukanlah pihak paling gusar di atas kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Kelantan, 4 November lepas.
Walau pun keputusan itu menyaksikan PAS kehilangan penguasaannya ke atas kerusi yang tidak pernah dimenanginya sejak lebih 40 tahun itu, kesan negatif terhadap parti itu jauh lebih kecil berbanding kegusaran yang kini menyelubungi sesetengah kalangan pemimpin BN sendiri, khususnya Umno.
PRK Galas diadakan ekoran kematian penyandangnya dari PAS, Allahyarham Chek Hashim Sulaima, akibat barah usus, 27 September lalu. Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur, setelah lebih setahun bertarung melawan penyakit dihidapinya itu.
Pada pilihanraya lalu, Chek Hashim menang dengan majoriti 646 undi selepas menumpaskan penyandang dari BN, Mohamad Saufi Deraman. Allahyarham memperolehi 4,399 undi manakala calon BN itu memungut 3,753 undi.
PRK Khamis (4 November) lalu mengulangi pertembungan dua penjuru antara musuh tradisi, PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dan Umno mewakili BN. PAS tewas dengan majoriti 1,190 undi. Calonnya, Dr Zulkefli Mohamed memperolehi 4,134 undi berbanding lawannya, Abdul Aziz Yusoff yang mendapat 5,324 undi.
Keputusan itu sekali gus mengembalikan kerusi yang telah berada di dalam genggaman BN/Perikatan sejak 1964 itu kepadanya. Kawasan berkenaan hanya pernah dimenangi PAS pada 1959 menerusi Ustaz Khaidir Khatib (atas nama Dun Ulu Kelantan Barat) dan kembali dimenangi pada 2008.
Kekalahan kelmarin bagaimana pun bukan lah suatu kehilangan sangat besar buat PAS. Ia tidak mendatangkan implikasi terlalu signifikan kepada parti itu, sama ada di peringkat negeri mahu pun nasional.
Parti itu ada sebab agak rasional untuk tidak terlalu berdukacita di atas ketewasannya di Galas.
Pertama, ia suatu keputusan yang sudah dapat diduga sedari awal memandangkan PAS bertanding di kawasan yang secara tradisi milik BN. PAS hanya berharap dapat mengekalkan pola sokongan pengundi sepertimana 2008 untuk mempertahankan kerusi tersebut.
“Dua faktor utama kita menang 2008 ialah undi Cina dan Orang Asli. Kalau kita boleh kekalkan undi Cina dan Orang Asli, insya Allah kita dapat pertahan (kerusi Galas),” kata Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Abdul halim Abdul Rahman kepada penulis.
Perbualan santai antara kami berlaku sejurus sebelum bermulanya perarakan calon, 26 Oktober lalu. Biar pun hasrat mengekalkan sokongan dua kelompok masyarakat itu amat tinggi, beliau sedari saat itu mengakui ia sesuatu yang memerlukan kerja sangat kuat oleh PAS.
Kebimbangan itu sedikit menjadi nyata. Analisa keputusan Khamis lalu menyaksikan perubahan sokongan di kalangan dua kaum ini, terutama di peti-peti undi Orang Asli.
Pengarah Pilihan Raya DAP, Thomas Su pula mengakui pilihan raya kecil kali ini juga menyaksikan kemerosotan sokongan pengundi Cina kepada Pakatan Rakyat.
Menurutnya, DAP mengendalikan tiga kawasan dalam kempen di Galas, iaitu Pulai, Kampung Baru dan Bandar Lama. Katanya, secara keseluruhannya undi di tiga kawasan tersebut kepada PAS merosot 206 undi atau 4.92 peratus Khamis lalu.
Kedua, kekalahan ini bukan suatu yang memalukan jika dinilai dari sudut manipulasi kuasa BN. PAS turun secara bermaruah berbekalkan kekuatan ahli dan penyokong berbanding BN yang turun dengan kekuatan kerajaan Pusat dan jentera beberapa kerajaan negeri-negeri.
Sukar dinafikan seluruh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dikerah menjayakan misi BN merampas semula Galas. Apa yang dilakukan BN di penempatan Orang Asli adalah contoh paling menyerlah.
Penglibatan secara langsung agensi kerajaan terutamanya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), tentera dan Rela di penempatan Orang Asli menjadi faktor utama peningkatan ketara pengundi kaum itu kepada BN.
Agensi-agensi kerajaan terbabit dikatakan mengawal sepenuhnya masyarakat Orang Asli menyebabkan mereka tidak berani memberi sokongan kepada calon PAS.
Kongkongan terhadap mereka malah dapat dinilai berdasarkan pakaian seragam merah bercop jabatan yang mereka pakai sewaktu keluar mengundi.
Ada pun penglibatan jabatan dan agensi kerajaan lain di segenap aktiviti kempen BN juga berlaku secara terbuka dan sukar dinafikan.
Ketiga, kekalahan itu tidak boleh dijadikan bukti kemerosotan pengaruh dan kekuatan PAS di Galas. Undi diperolehi Dr Zulkefli (4,134) merosot hanya 265 undi berbanding 4,399 dikutip Allahyarham Chek Hashim.
Kehilangan sebanyak itu terlalu sedikit untuk dikaitkan dengan apa juga andaian kemuakan atau penolakan rakyat terhadap PAS. Ia malah terlalu jauh dari memadai jika dinilai dari jumlah perbelanjaan dihabiskan BN untuk itu.
Keempat, kerahan BN menyaksikan peningkatan peratus keluar mengundi. PRU 2008 jumlah pemilih menunaikan tanggungjawab mereka di Galas hanya 80.9 peratus. Kelmarin ia melonjak kepada 83 peratus.
Menjadi sifir politik dalam mana-mana pilihan raya di negara kita, peratus keluar mengundi yang tinggi selalunya membantu kemenangan BN. Kerana mereka yang keluar secara luar biasa itu dikaitkan dengan kerahan.
Pihak yang paling berkemampuan membuat kerahan dan memberikan “dorongan” agar pengundi yang liat pun keluar juga sudah tentu lah BN. Parti itu ada “ubat” sangat mujarab mengatasi keengganan pengundi kategori itu.
Thomas Su turut mengakui, peratusan pengundian yang tinggi memberi lebih banyak undi pengundi Cina kepada BN.
Dengan mengambil contoh di Pulai, beliau berkata, walaupun PAS berjaya menambah sembilan undi, tetapi BN menambah lebih banyak undi dan menang di kawasan majoriti Cina itu.
Kelima, ini bukan kali pertama PAS kalah dalam pilihan raya kecil. Ia pernah kehilangan kerusi Dun Semerak dimilikinya dalam pilihan raya kecil pada 1997. Begitu juga Dun Pengkalan Pasir sejurus selepas Pilihan Raya Umum 2004.
Namun kekalahan di kedua-dua kerusi itu berjaya ditebus kembali dalam pilihan raya umum kemudian. Semerak kembali ditawan Pas pada 1999, begitu juga Pengkalan Pasir pada 2008 lalu.
Khabarnya sejarah serupa pernah dialami PAS bagi Dun Kemumin yang dirampas BN menerusi satu pilihan raya kecil ekoran pembatalan kemenangan tanpa bertanding calon PAS dalam Pilihan Raya Umum 1982. Kerusi itu bagaimana pun kembali semula ke pangkuan PAS pada 1986.
Ada pun bagi Dr Zulkefli secara peribadi, ini juga bukan kekalahannya yang pertama dalam pilihan raya. Beliau sebelum ini pernah dua kali tewas di kerusi Parlimen Gua Musang.
Namun, itu terbukti tidak mematahkan semangat juangnya. Beliau telah membuktikan komitmen sangat tinggi terhadap parti dan istiqomah di saf hadapan PAS kawasan berkenaan.
Keenam, dan paling penting, ia tidak mengubah status quo politik Kelantan, khususnya berkaitan kuasa pemerintahan negeri. Kemenangan itu sekadar menambah satu lagi kerusi di pihak BN dalam Dun, tetapi terlalu jauh untuk menggugat kelangsungan kerajaan diperintah PAS.
Lain halnya jika ia berlaku sebelum 2008, ketika mana perbezaan jumlah kerusi antara PAS dan BN dalam Dun Kelantan amat kritikal. Jika BN ada sebarang peluang menggugat dan melenyapkan pengaruh PAS di negeri itu, maka tempoh itu adalah peluang paling keemasan buatnya.
Namun kebimbangan itu tidak menjadi kenyataan. Maka, apa lah sangat yang boleh dibuat BN dengan kemenangannya di Galas ini.
Ibarat kata orang-orang tua kita, “sedangkan bah perahu tak hanyut, inikan pula kemarau panjang!”
Di atas perkiraan sama, BN juga tidak boleh terlalu berbangga dengan kemenangannya di Galas. Ia bukan membawa erti sangat signifikan kepada imej dan reputasi politik BN, sebaliknya membawa bersama implikasi tidak menyenangkan, khususnya buat Umno Kelantan.
Akuilah bahawa kemenangan BN di Galas tidak ada kena-mengena dengan kekuatan atau kejayaan BN atau pun Umno.
Ia bukan kerana rakyat semakin menolak PAS dan Pakatan Rakyat atau pengundi menerima baik konsep 1Malaysia, atau yakin dengan transformasi ekonomi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Atau rakyat kembali meletakkan harapan pemerintahan negeri kepada BN, atau kerana kerja kuat Umno Kelantan sendiri.
Ia bukan sepertimana digembar-gemburkan para pemimpin BN dan media-media tali barut parti itu. Galas adalah kejayaan peribadi Pengarah Pilihan Rayanya, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).
Adat kata, jika tidak kerana peranan dan pengaruh besar tokoh yang nyaris-nyaris menjadi Presiden Umno itu, keputusan itu tidak akan jadi sebegitu. Ia bukan kemenangan Najib, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mahu pun Datuk Seri Mustapa Mohamed selaku Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan.
Ia juga bukan kerana ada saham kemenangan The Red Warriors bersama kelibat Piala Malaysia yang dijulang dan diarak ke kawasan itu minggu lalu. Episod itu tidak lebih sekadar gimik politik murahan Umno untuk mengaitkan kejayaan pasukan didokongi seluruh rakyat Kelantan itu hanya untuk kepentingan politiknya.
Biar pun tokoh veteran Umno itu sekadar bertahan pada jawatan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, beliau benar-benar membuktikan cengkaman pengaruh dan genggaman poltiknya di kawasan berkenaan.
“Ambo Pilih Parti Ku Li”, begitulah baca banyak kain pemidang di serata Galas. Ada yang disertakan gambar anak raja itu, bahkan tidak lengkap sekeping poster kempen BN jika tidak disertakan gambar Ku Li, walau pun ia sudah ada gambar Najib Razak.
Segala gerak kerja dan penampilan BN tidak lengkap tanpa dikaitkan dengan Ku Li. Pengaruhnya mengatasi Najib, manakala peranan Mustapa ibarat hujung kuku Ku Li saja.
Sebab itu BN, khususnya Umno, tidak sayugia terlalu berbangga dengan kemenangan di Galas. Sebaliknya, mereka ada sebab agak munasabah untuk lebih gusar!
No comments:
Post a Comment