Oleh Nobisha
Menoleh kembali 2010, malah melihat semula politik Malaysia pasca PRU12 – saya masih berpegang dengan apa yang saya tulis dalam buku “Tunggu Apa Lagi”.
Politik Malaysia ialah politik sarkas; perubahan hanyalah retorik dan pemimpin politik kita seperti kuali mengatakan cerek hitam – mereka masih bermain politik kapalterbang dan melakukan “astroturfing”; seolah-olah rakyat / pengundi terlalu dungu untuk melihat retorik dan permainan politik sedemikian.
Datang 1 Januari 2011 – 1.1.11 – saya fikir kita ada beberapa pilihan.
Pertama, kita menyertai politik sarkas sedemikian. Sama-sama menjadi badut politik dan melompat ke sana-sini seperti mereka.
Kedua, membawa diri dari politik. Membiarkan politik kepada “politikus” (iaitu mereka yang seperti tikus membaiki labu) atau “politikawan” (iaitu orang politik yang pandai menjaga kroni dan kawan-kawan).
Atau, ketiga, kita menjadi orang yang berjiwa besar dan berusaha membawa perubahan. Untuk menjadi manusia sebegini, kita harus meletakkan diri di atas pemimpin-pemimpin politik berjiwa kerdil.
Saya memilih pilihan ketiga dan saya mengajak anda untuk bersama-sama saya pada awal tahun baru ini. Untuk menjadi orang yang berjiwa besar, kita harus mampu membezakan antara “matlamat” dan “cara” atau proses. Fokus kepada matlamat.
Dalam hal ini, kita harus berusaha menarik pemimpin-pemimpin politik Islam / Melayu untuk kembali melihat matlamat perjuangan. Dalam politik pertentangan (dalam buku “Tunggu Apa Lagi” – saya menyeru kepada “politik muafakat”), kita menyaksikan pemimpin-pemimpin politik bertelagah dalam semua perkara.
Hari ini, saya fikir rakyat sudah tidak lagi menunggu komentar pemimpin politik. Mereka sudah tahu apakah yang akan diucapkan. Inilah jadinya apabila pemimpin politik masih menggunakan skrip lama, pengarah lama dan aktor lama untuk mementaskan politik di alaf baru.
Apabila mereka buka mulut, sah itulah yang rakyat fikir mengenai mereka selama ini. Pemimpin politik sudah tidak mampu memimpin pendapat rakyat lagi. Sesetengahnya hanya berlagak menjadi lebih putih dari orang lain yang “kelihatan” putih.
Tiba 1.1.11 – cukuplah politik sarkas ini. Pemimpin politik wajar diingatkan kepada politik muafakat. Malah, mereka harus diingatkan secara tegas bahawa mereka perlu memiliki kemahiran membina muafakat atau konsensus. Parlimen atau Dewan Undangan Negeri bukan tempat berbalah, tetapi tempat anggota legislatif yang dipilih rakyat membina muafakat.
Sejak PRU12 – malah sebelum itupun! – apa yang disebutkan sebagai “dewan yang mulia” itu hanya menjadi tempat “bulldozer”. Kerajaan bersama penyokong-penyokongnya menolak apa sahaja yang ada di hadapan mereka; manakala pembangkang akan berdiri di hadapan untuk dilihat sebagai hero. Pilihanraya 8 Mac 2008, tidak mengubah apa-apa. Apa yang berubah hanyalah aktor.
Dalam konteks politik Islam / Melayu, saya ingin melihat pemimpin-pemimpin politik Islam, tak kiralah dari parti apa sekali pun, untuk duduk bermuafakat. Mereka harus secara jelas menggariskan perkara-perkara yang dipersetujui untuk kepentingan agama dan bangsa. Ini bukan isu untuk dipolitikkan dan setiap pihak harus menerimanya. Usah politikkan isu-isu pokok. Sekiranya perlu berbalah, biarlah ia merupakan isu-isu cabang.
Sekiranya pemimpin-pemimpin politik kita tidak mahu atau tidak mampu berbuat demikian, maka saya fikir inilah masa untuk kita menukarkan mereka dengan pemimpin politik baru yang mempunyai idealisme perjuangan yang jelas.
Sekarang – bukannya 1.1.12!
No comments:
Post a Comment