Oleh LanH
KHUTBAH Jumaat 4 Februari lalu di masjid-masjid seluruh Melaka membicarakan amalan khurafat di kalangan orang Melayu/Islam. Memuzakarahkan bab khurafat ini mempunyai kaitan dengan amalan orang Melayu Melaka sedikit masa dulu seperti mandi tolak bala pada bulan Safar (pesta mandi Safar). Khurafat bermaksud melakukan sesuatu perbuatan dengan menyakininya mempunyai kaitan dengan agama sedangkan hakikatnya tidak.
Hadis itu berbunyi: Daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘Anu, bahawa Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi telah bersabda, yang bermaksud: “Tidak ada penyakit menular (yang berlaku tanpa izin Allah), tidak ada buruk sangka pada sesuatu kejadian, tidak ada malang pada burung hantu, dan tidak akan bencana pada bulan Safar (seperti yang dipercayai).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Seorang ustaz dalam tazkirahnya pada malam Jumaat itu di masjid berhampiran rumah penulis, menghuraikan lebih lanjut mengenai amalan khurafat orang Melayu masa kini. Menurut beliau amalam seperti mandi tolak bala pada bulan Safar tidak diamalkan lagi dalam masyarakat Melayu/Islam tetapi beliau bimbang akan kemunculan khurafat bentuk baru yang menular sejak akhir-akhir ini.
Beliau memberi contoh penggunaan kayu koka dalam kehidupan segelintir orang Melayu. Malah ada ustaz yang mempromosi pemakaian barangan yang diperbuat daripada kayu koka ini. Katanya, menggunakan kayu koka tidak salah tetapi apabila ia dikaitkan mempunyai pengaruh dan kuasa tertentu seperti digunakan sebagai tangkal azimat, perkara itu telah menyeleweng daripada ajaran Islam.
“Ini soal akidah yang tidak ada tolak ansur. Akidah kita mesti mantap. Percaya kepada kayu koka yang mempunyai kuasa penyembuh penyakit sudah menyalahi akidah. Sebenar ini soal bisnes, orang yang tidak mengerti terheret sama dalam menyuburkan khurafat bentuk baru ini,” katanya.
Ustaz itu juga menegur orang yang memakai gelang, kononnya bahan itu boleh mengubat penyakit si pemakainya. “Ini jelas bertentangan dengan akidah, gelang atau apa benda pun tidak dapat menyembuhkan penyakit. Yang menyembuhkan penyakit adalah Allah SWT,” katanya.
Lagi pun, menurut beliau, orang lelaki dilarang memakai gelang yang merupakan perhiasan orang perempuan. Lelaki yang menyerupai orang perempuan adalah haram hukumnya, kata beliau.
Ustaz itu turut menyelar orang yang mempercayai bomoh seterusnya yakin untuk menjalani pembedahan secara batin. Berubat dengan bomoh yang melakukan pemujaan dan yang berhubungan dengan makhluk halus adalah kesalahan besar yang menyalahi akidah apatah lagi terbabit dalam perkara lebih serius seperti pembedahan batin.
Jika pembedahan batin itu benar, apa guna dokor-doktor belajar bertahun-tahun lamanya untuk mendapatkan ilmu; tokoh ilmuan Islam seperti Ibnu Sina pun banyak memperuntukkan masa belajar dan membuat kajian; jadi apa yang didakwa sebagai pembedahan batin itu dusta belaka, katanya.
Kini filem-filem dan drama Melayu begitu giat mengetengahkan perkara-perkara khurafat. Filem-filem yang membabitkan kisah makhluk halus ini mendapat tempat di hati penonton sedangkan kebanyakannya memesongkan akidah yang boleh membawa kepada kesyirikan yang menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada agama Islam.
Khurafat berhubung makhluk halus sudah diketahui masyarakat Melayu sejak sekian lama, tetapi sejak akhir-akhir ia cuba dihidupkan kembali melalui filem-flem dan drama. Dulu pun segelintir orang Melayu sudah menyakini apa didakwa kuasa makhluk halus; dibimbangi kini ia cuba dihidupkan kembali melalui filem dan drama.
Kisah kuasa ‘magik’ (kesaktian) yang kedapatan dalam filem seperti ‘Jangan Pandang Belakang, Congkak’ atau drama ‘Sang Kelembai’ dan ‘Delima Sakti’ bukanlah perkara baru tetapi apabila ia diperbaharui, apakah bermakna masyarakat Melayu mahu dikembalikan kepada zaman jahiliahnya?
Atau apakah dengan menggembalikan amalan khurafat dalam bentuk baru ini bermakna ada pihak tertentu mempunyai matlamat atau agenda untuk meleka seterusnya menghancurkan perjuangan segelintir pejuang Melayu yang bekerja keras ke arah menjadikan Islam sebagai addeen dalam kehidupan mereka?
Bangsa Melayu yang bebas daripada keterikatan amalan khurafat tidak kiralah daripada jenis lama atau bentuk baru, insya-Allah hatinya akan sentiasa yakin dan bergantung semata-mata kepada Allah SWT lantas pastilah dia akan menolak pihak yang berjuang untuk berkuasa dulu, kini dan selama-lamanya.
Dia juga pasti akan menolak jika ada pihak yang menyatakan HANYA pihaknya saja yang mampu memerintah atau membawa keamanan kepada negara. Ini kerana yang mempunyai kuasa mutlat hanya Allah SWT semata-mata, manusia atau parti tidak mempunyai kuasa apa-apa.
Manusia dan parti bersifat fana yang bakal binasa pada bila-bila masa. Tetapi jika menyakini parti tertentu boleh berkuasa dulu, kini dan selamanya atau hanya dia boleh memerintah itu adalah KHURAFAT yang boleh menyebabkan seseorang jatuh syirik. Nauzubillah.
No comments:
Post a Comment