Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberitahu, kejayaan PAS memerintah Kelantan begitu lama di samping menawan Kedah dalam pilihanraya umum lalu adalah bukti bahawa demokrasi negara ini tidak berat sebelah.
Beliau mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendakwa pilihanraya kecil kawasan DUN Tenang sebagai tidak adil kepada PAS.
Hujah Shafie adalah hujah “standard” oleh para pemimpin BN setiap kali ada pihak yang mendakwa bahawa demokrasi yang berlangsung lebih separuh abad di negara ini adalah tidak adil dan sentiasa memihak kepada BN.
Adakah pembangkang boleh menang atau PAS boleh berkuasa di negeri adalah akibat dari keadilan dalam amalan demokrasi di negara ini? Jawapan boleh diberi dalam anologi yang mudah. Andaikan seorang pengadil bolasepak memihak kepada pasukan A yang menentang pasukan B. Namun B menang juga 1-0. Logiknya, sekiranya pengadil tidak membantu A, maka B akan menang lebih dari 5-0. Mungkin 10-0 mengalahkan A.
Jadi hujah mengatakan pembangkang boleh menang sebagai bukti demokrasi Malaysia sudah adil hanyalah hujah menipu orang kurang cerdik. Adil atau tidak sistem demokrasi di Malaysia perlu diteliti satu persatu.
Keadilan demokrasi selalu dinilai oleh pemimpin BN yang menerajui Pusat sebagai kebebasan rakyat mendapat hak menjadi calon dalam pilihanraya dan hak rakyat memilih calon yang bertanding. Kedua-dua hak itu adalah fasa terakhir dan terpenting. Namun laluan fasa-fasa awal ke arah penyempurnaan fasa terkahir demokrasi itu tidak pernah difikirkan oleh para pemimpin Pusat sebagai menjadi hak rakyat juga.
Antaranya ialah hak rakyat atau parti-parti politik dalam menyampaikan maklumat. Malaysia ada Akta Polis yang mensyaratkan setiap berkumpulnya 10 orang dan ke atas, mestilah mempunyai permit. Dari segi amalan, ia hanya berkuatkuasa untuk himpunan politik parti pembangkang atau kumpulan yang tidak sehaluan dengan BN, kecuali selepas tempoh penamaan calon hingga hari mengundi.
Perdana Menteri atau menteri-menteri turun atas nama program bersama rakyat, pengisian ucapannya sarat dengan kempen politik, tidak perlu kepada permit polis. Tetapi pemimpin politik pembangkang yang berceramah politik tanpa permit dikepung dengan ratusan anggota polis, sekalipun yang hadir mendengar ceramah lebih kecil dari jumlah anggota polis.
Kebebasan media hampir tidak ada. Bayangkan dalam begitu banyak media elektronik yang terdapat di negara ini, 100 peratus berpihak BN! Semua media elektronik terikat dengan syarat lesen yang terpaksa diperbaharui dalam tempoh tertentu. Mereka tidak berani menanggung risiko lesen tidak perberbaharui jika memilih sikap berkecuali sekalipun, apatah lagi untuk memihak kepada pembangkang. Begitu juga dengan media-media cetak. Hampir kesemuanya memihak kepada BN, manakala akhbar parti pembangkang hanya dihadkan kepada ahli. Peniaga akhbar tepi jalan jual Harakah macam berniaga candu, takut diambil tindakan. Memanglah hak akhbar manapun untuk berpihak kepada BN, tetapi hakikatnya siapa yang berani tanggung risiko akhbarnya tidak diperbaharui permit penerbitan hanya kerana tidak memihak kepada BN?
Di tengah-tengah berpuluh siaran media elektronik, RTM adalah satu-satunya media milik kerajaan. Gaji para pekerjanya dibayar dari duit cukai yang dikutip dari rakyat termasuk ahli-ahli PAS. Tetapi RTM adalah juara penyampaian propaganda BN, berkempen untuk BN dan memburukkan pembangkang secara terang-terangan. Inikah keadilan dalam amalan demokrasi?
Pemimpin BN akan memberi alasan sekarang dunia tanpa sempadan. Semua rakyat boleh akses internet bagi mendapatkan maklumat dari semua pihak. Malangnya maklumat di dunia maya itu tidak sampai kepada rakyat macam mudahnya maklumat sampai ke setiap peti tv di rumah-rumah. Hanya sekitar 35 peratus rakyat Malaysia yang mengakses internet. Itupun bukan semuanya mendapatkan maklumat berhubung isu semasa. Lebih ramai yang menyelongkar cerita Fasha Sanda dari mendapatkan maklumat politik.
Undi pos adalah satu lagi catatan ketidakadilan dalam demokrasi. Dalam pengundian biasa seseorang akan mendapatkan kertas undi dan terus ke petak pengundian, memangkah dan memasukkan kertas undi ke dalam kotak undi. Tetapi undi pos diberi secara terbuka di luar tempat mengundi. Undi pos tentera dan polis sangat meragukan. Banyak kes yang dilaporkan bahawa tentera tidak pernah melihat pun kertas undi, maknanya ia dipangkah oleh pihak atasn mereka. Sebab itu undi pos sentiasa memihak kepada BN. Tiada alasan langsung mengapa undi pos diwujudkan melainkan untuk memberi kemenanan percuma kepada calon BN.
Penyalahgunaan jentera kerajaan, rasuah dan ugut adalah agenda BN dalam amalan demokrasi di negara ini tetapi tiada siapa yang boleh menghalang. Inilah yang dikatakan ketidakadilan dalam demokrasi.
Wartawan Utusan, Zin Mahmud yang berpengalaman tinggal di Mesir menceritakan gambaran pilihanraya di Mesir. Katanya, pilihanraya tidak seghairah di Malaysia, ramai yang hampir tidak peduli atau turun membuang undi. Tetapi keputusan pilihanraya sentiasa memihak kepada parti pro Presiden dengan peratus ‘keluar mengundi’ melebihi 90 peratus.
Hari ini bila berjuta rakyat Mesir keluar ke jalan raya untuk memaksa Presiden Hosni Mubarak berundur ia membayangkan bahawa selama ini keputusan pilihanraya penuh dengan manipulasi dan penipuan. Jika ada ruang bagi rakyat menurunkan Hosni Mubarak dari takhta melalui sistem demokrasi yang aman, maka majoriti rakyat Mesir tentu memilih jalan tersebut. Apabila mereka memilih cara paksaan, maknanya rakyat berpandangan bahawa sistem demokrasi berat sebelah itu tidak memungkinkan rakyat membuat pilihan secara yang adil.
Selepas agak cemerlang dalam Pilihanraya Umum ke 12, Pakatan Rakyat nampak ghairah untuk menjayakan misi menawan Putrajaya PRU ke 13. Ia tidak mudah sebenarnya selagi amalan demokrasi di Malaysia masih primitif, tempang dan berat sebelah. PR boleh menang pilihanraya tapi amalan demokrasi mestilah dimurnikan terlebih dahulu. Itu yang rakyat Mesir sedang lakukan sekarang.
No comments:
Post a Comment