Oleh: Shirzad Lifeboat
Walaupun perkataan ‘rejim’ itu sendiri bermaksud ‘sesuatu bentuk kerajaan’, namun dalam penggunaan hari ini ia membawa konotasi cukup negatif. Jika hanya melibatkan seseorang individu, maka individu berkenaan lazimnya dikenali sebagai dictator sebagaimana dipaparkan oleh Barat terhadap Adolf Hitler dan Parti Nazi.
Rejim juga boleh mengambil bentuk membabitkan sekian ramai individu yang bersekongkol dalam sesebuah pertubuhan tidak berdaftar atau malahan pertubuhan berdaftar yang dikenali sebagai sesebuah parti
Adalah lebih mudah untuk mengetahui dan memahami rejim yang terbentuk secara haram seperti di Afrika Selatan dan beberapa buah negara Afrika satu ketika dulu. Kemunculan mereka biasanya menerusi rampasan kuasa dan mengakibatkan perlembagaan dan undang-undang yang telah termaktub sebelum itu menjadi tidak berguna lagi.
Ciri paling menonjol tentang rejim seperti ini ialah mereka memerintah secara kuku besi dan lebih mengutamakan kepentingan kumpulan, puak atau parti haram yang telah mereka tubuhkan. Namun terdapat juga rejim haram yang telah menggulingkan kerajaan yang sah – sah di sini bermaksud seolah-olah menepati segala undang-undang - disebabkan kerajaan yang kononnya dipilih oleh kerajaan itu sebenarnya tidak berlaku adil, tidak membawa manfaat kepada negara dan rakyat dan, seperti rejim haram yang jahat, lebih mengutama dan mementingkan golongan mereka sendiri.
Tetapi paling sukar untuk dikesan dan disedari ialah rejim limunan yang berselindung di sebalik kerajaan yang sah dipilih oleh rakyat tetapi secara disedari atau tidak akhirnya menyalin ciri-ciri rejim jahat disebabkan terlalu lama berkuasa dan sedikit demi sedikit kewujudannya demi untuk perjuangan rakyat dan negara beransur-ansur pudar dan terhapus lalu digantikan dengan menjaga kepentingan kaum kapitalis dan elit tertentu dengan cara bertindak secara lintah darah terhadap rakyat.
Justeru apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad menulis dalam blog beliau tentang apa yang dipersepsikan oleh mantan Perdana Menteri itu sebagai kesan domino yang berlaku di dunia Arab ekoran dari pergolakan yang berlaku di Kaherah dan tidak mustahil juga secara senyap-senyap di seluruh Mesir dengan tempiasnya turut dirasai oleh beberapa negara Arab lain seperti Jordan, maka suka atau tidak, beliau sebenarnya menyedari betapa sesebuah kerajaan sah sekalipun tetapi akibat terlalu lama bergayut pada kuasa ia boleh menimbulkan keresahan rakyat dan akhirnya kerajaan tersebut tanpa disedari menjadi sebuah ‘rejim limunan’.
Menurut Dr. Mahathir, pergolakan yang sedang berlaku di negara Arab kini tampat sebagai sebuah revolusi kerana rakyat tidak lagi suka dan berkenan dengan kerajaan authoritarian. Beliau melihat rakyat di negara berkenaan sedang mempamerkan perasaan mereka menerusi demontrasi agar berlaku perubahan kerajaan ataupun kepimpinan.
Tapi tidaklah jelas mengapakah beliau memberikan amaran bahawa sesuatu perubahan itu akan membawa kebaikan. Ini kerana, menurut beliau, “Adalah menjadi kewajipan kepada mereka yang cenderung untuk membawa perubahan ini mempunyai idea tentang jenis kerajaan yang mereka kehendaki. Sekiranya tidak, mereka akan memperolehi sebuah kerajaan yang sama seperti kerajaan yang mereka cuba secara bersungguh-sungguh untuk dijatuhkan.”
Membaca di antara barisan, apa yang ditulis oleh Dr. Mahathir ini seolah-olah membawa makna jika rakyat Malaysia beriya-iya mahu menjatuhkan kerajaan BN yang dipimpin oleh UMNO dan menggantikannya dengan Pakatan Rakyat (PR), maka ingatlah bahawa UMNO-BN jauh lebih baik dari PR dan akibatnya nanti kononnya PR akan melakukan seburuk atau lebih buruk apa yang telah dilakukan oleh UMNO-BN terhadap rakyat.
Begitupun Dr. Mahathir seolah-olah terlupa betapa rakyat Malaysia hari ini jauh lebih bertamadun dan lebih berfikiran terbuka daripada mahu menelan falsafah kononnya parti yang menggantikan kerajaan terdahulu adalah seburuk atau lebih buruk lagi.
Dalam dunia politik, lebih lazim dari tidak, sesuatu perubahan itu berlaku kerana mematuhi hukum kitaran. Tidak ada satupun kuasa pemerintahan dunia ini hatta sekuat mana sekalipun yang boleh memerintah untuk selama-lamanya.
Apa yang berlaku di Mesir mengingatkan kita betapa empayar di raja Mesir purba wujud untuk ruang masa menjangkau 10,000 tahun. Kita sedia mengingati para firaun Mesir yang memerintah secara dictatok dengan memeras dan memerah keringat rakyat. Kita mengingati keadaan teknologi termaju Mesir purba ketika itu berbanding tamadun lain sehingga berjaya menghasilkan pyramid.
Tapi roda kuasa politik bukanlah sesuatu yang berada pada puncaknya secara kekal abadi. Apabila kezaliman, dalam apa jua bentuk, sama ada yang diperlakukan secara kasar atau secara halus mengatasi segala pertimbangan kemanusiaan, maka lambat laun, pertolongan Allah s.w.t akan datang jua sebagaimana datangnya Nabi Musa a.s. di tengah-tengah pelaksanaan perintah di mana setiap bayi lelaki perlu ditanam hidup-hidup.
Dalam kata pengantar kepada sebuah buku, Dr. Mahathir sendiri, ketika masih menjadi Perdana Menteri pernah menulis: “The tragedies and the failures of nations are invariably due to repeating the mistakes of the past . Unfortunately human beings do not learn easily. And so we see the same tragedies and turmoil today as they happened in yesteryear.”
(Maksudnya: “Tragedi dan kegagalan yang menimpa negara-negara adalah akibat mengulangi kesilapan masa lalu. Malangnya bukan mudah bagi manusia untuk mengambil iktibar. Justeru kita melihat tragedy dan pergolakan yang sama hari ini sebagaimana ia berlaku pada masa lalu.”
Kepada mantan Perdana Menteri ini kita cuma boleh kata, “tahu takpe”. Sementara Hosni Mubarak tidak menanam bayi lelaki secara hidup-hidup tetap beliau secara perlahan-lahan mengkebumikan demokrasi sebagaimana yang sepatutnya.
Walaupun masih jauh dari menyamai rekod pemerintahan Firaun Ramses II, namun tempoh masa 30 tahun pemerintahan dalam dunia moden ini sudah boleh dianggap lama dan tidak lagi mampu menyumbang apa-apa kebaikan kepada rakyat dan negara.
Inilah sejarah yang dilupai oleh Mubarak dan Parti Demokratik Nasional yang dipimpin beliau. Barangkali dalam menganalisis apa yang berlaku di Mesir, Dr. Mahathir juga perlu membuat perbandingan dengan apa yang berlaku dan bakal berlaku di Malaysia apabila terdapat sebuah parti yang bergayut dengan kuasa politik.
Tidak Dr. Mahathir sedar betapa parti ini juga dengan secara halus menguburkan amalan demokrasi yang sebenarnya? Tidakkah beliau juga sedar ia sebenarnya sebuah rejim limunan?
No comments:
Post a Comment