Oleh Mohd Sayuti Omar
SEMALAM kita menyaksikan satu lagi kemenangan kuasa rakyat dan lumatnya kuasa manusia berteraskan kepada nafsu amarah, apabila Presiden Hosni Mubarak,82 di Mesir jatuh. Selepas 17 hari rakyat Mesir bangkit menentangnya akhir Mubarak tidak mampu bertahan dan terpaksa akur dengan desakan rakyat. Beliau dan anak beranaknya kini dalam perjalanan melarikan diri.
Banyak tafsir lain yang boleh dilihat dengan kejatuhan Hosni Mubarak itu. Ia mengesahkan bahawa kekuasaan, kekayaan dan kekejaman seseorang itu tidak akan kekal dan selamanya menjadi tongkat langit kehidupannya. Ia sebenarnya rapuh apabila rakyat hilang sabar dan bangkit berarak dan menentangnya.
Kekayaan seseorang itu memiliki harta berbillion juga tidak menjamin kedudukan dan kuasanya akan kekal. Apabila rakyat sudah berang dan tidak ada kasih dan simpati lagi biarlah sebesar mana diktator itu ianya akhirnya akan tumbang dan rebah juga.
Diktator boleh bertahan selagi rakyat merasa takut dengan ugutan dan kekejaman dilakukan. Tetapi sampai bila? Ia tidak akan kekal sebab apabila rakyat berpengetahuan dan arif mengenali hak-hak mereka, rakyat sedia merempuh apa saja hatta menggadaikan nyawa dan harta.
Di sini menunjukkan kuasa rakyat adalah kuasa keramat. Rakyat boleh mengubah apa yang mereka tidak suka, melawan cengkaman dan kerakusan dilakukan ke atas mereka. Justeru jangan main dengan rakyat. Dalam konteks negara Malaysia, rakyat juga mempunyai kuasa dan kekeramatannya tersendiri.
Rakyat kita sebenarnya bukan lemah atau tidak tahu bertindak membela hak dan kuasa mereka. Di Malaysia rakyat juga sudah sedia, tetapi tindakan mereka lebih diplomasi dan berlemah lembut. Atau dalam kata lain kemarahan rakyat ke atas beberapa tindak tanduk pemerintah masih belum matang. Apabila ia sudah matang kelak pasti apa yang berlaku di Mesir itu akan turut sama merebak dan 'memborak' ke negara ini.
Ia berbeza dengan rakyat Mesir yang sudah lama menyimpan dendam terhadap pemerintah diktator atau bersifat anarki. Kesedaran rakyat bahawa mereka bukan selama hamba orang kaya sudah mula menyerlah. Akan sampai satu masa rakyat akan membenci kepada kerakusan atau sifat munafik orang politik.
Perjuangan yang digerakkan oleh Ikhwan Muslim (IM) menerusi pelbagai saluran dan kesempatan telah melata kepada rakyat. Apa yang dibawa oleh IM ialah keadilan sosial. Nampak itu tidak dipedulikan oleh kerajan autoritarian Mubarak menyebabkan berlaku apa yang berlaku.
Atas kejayaan rakyat Mesir itu seluruh dunia bergembira. Semua pihak yang anti kezaliman dan kerakusan meraikan kemenangan itu. Bukan saja rakyat Mesir merasa bahagia dan seronok atas kejatuhan diktator itu tetapi semua kaum tertindas di mana-mana negara juga turut merasa kegembiraan dan kupasan atas apa yang berlaku.
Tidak terkecuali wap demikian juga turut sama dirasai di negara ini. Setiap dari kita yang tidak suka kepada penindasan, kronisme, penyalahgunaan kuasa, pemilikkan kuasa melebihi hak menerima kejayaan rakyat Mesir menumbangkan Mubarak itu sebagia cendermata untuk rakyat di sini. Manakala bagi rakyat Mesir dengan jatuhnya diktator Mubarak sebagai tibanya sinar baru buat mereka. Semalam seolah-olah rakyat Mesir baru mencapai kemerdekaan.
Perubahan di Mesir itu merupakan salam Kaherah untuk Kuala Lumpur.
Tidak siapa dapat menyekat apa yang berlaku di Mesir atau Tunisia itu. Kita tidak boleh memberi keyakinan bahawa negara kita tidak berkeadaan sama seperti negara berkenaan. Benar rakyat negara ini mewah tetapi dari beberapa sudut lain kedudukan negara kita lebih malang daripada Mesir itu sendiri.
Negara kita dianugerahkan Allah dengan perbagai sumber dan hasil bumi. Kita ada getah, sawit, minyak, biji timah, emas dan sebagainya. Kekayaan yang dikaut dari sumber itu sudah cukup untuk membiaya rakyat negara ini seramai 37 juta. Namun kerana ada ketirisan, ketidak telusan dalam mengurus dan tatacara kendali kekayaan menyebabkan kekayaan itu tidak tumpah kepada rakyat. Sebab itu masih ada rakyat dikelaskan dalam miskin tegar atau dibawah paras kemiskinan seperti mana digariskan oleh PBB.
Kenapa Umno sibuk melakukan transformasi kini ialah kerana Umno sudah sampai ke peringkat macam Hosni Mubarak. Sudah ada pemimpin Umno yang lebih obses mengumpul kekayaan diri dan kronis berbanding dengan kepedulian kepada rakyat. Kerana fenomena itulah maka Umno dan UBN kehilangan kuasa majoriti di parlimen. Ini realiti bukan ilusi.
Soalnya kini apakah Umno sudah benar memulihkan keadaan. Umno memalingkan muka mereka kepada rakyat. Nampaknya Umno masih tercari-cari momentum untuk mengembalikan semula sokongan rakyat kepada parti itu seperti 40 tahun lalu.
Sedar atau tidak rakyat negara ini pernah menentang diktator yang tercitpa menerusi Umno. Tahun 1998 rakyat pernah keluar beramai-ramai di jalan raya meminta bekas PM Dr Mahathir Mohamad berundur. Apakah maksud desakan rakyat tempoh hari. Ia bukan saja setakat kerana tindakan Mahathir memecat Anwar tetapi sudah timbul berbibit atau bunga-bunga diktator yang diamalkan oleh Mahathir.
Ramai orang tidak perasaan kebangkitan rakyat 12 tahun lalu sudah berjaya menjatuhkan individu diktator dicipta oleh Umno. Perletakan jawatan oleh Mahathir ialah kerana demonstrasi. Kalau beliau masih berdegil seperti Hosni Mubarak mungkin juga beliau akan membawa bantal dan selimut waktu malam. Di sini Mahathir bernasib baik dan lebih cerdik daripada Hosni Mubarak. Mahathir mengaku secara diplomasi di atas pentas di PWTC sebelum rakyat menyerang rumahnya. Beliau telah apolegetik kepada rakyat dengan tangisan dan air mata.
Rakyat negara jangan sedap duduk. Jangan ingat diktator kecil Malaysia sudah tidak ada lagi maka kekejaman dan kezaliman tidak berlaku. Beliau masih juga bersuara memberi rangsangan kepada pemerintah hari ini agar meneruskan kekejaman diamalkannya. Kepada saya kronisme adalah juga bentuk diktator.
Hanya satu saja untuk memastikan negara ini bebas dari pemerintah diktator ialah dengan membuang instrumen yang mencipta para diktator. Selagi instrumen itu tidak dibuang atau dileburkan maka orang-orang seperti Hosni Mubarak itu akan terus berkeliaran dan bergentayangan di negara ini. Mungkin ia tidak mudah dilihat kerana ia memakai topeng berbeza dengan Hosni Mubarak
No comments:
Post a Comment