Oleh: Shirzad Lifeboat
Ketika hayatnya dan tatkala tamadun Greek Purba diyakini oleh rakyatnya sebagai tidak mungkin akan pudar dan apatah lagi terkubur untuk selama-lamanya, Aristotle pernah menulis. “Seekor burung layang-layang tak akan menjanjikan kedatangan musim panas.”
Maksudnya begitu ketara. Ia juga semacam amaran – janganlah teruja sangat atau syok sendiri dengan menafsirkan satu atau dua perkara menyeronokkan dengan kedatangan sesuatu keuntungan lebih besar.
Namun, di sebalik ungkapan berusia ribuan tahun ini dan begitu teguh walaupun diuji oleh masa dan zaman, masih ramai lagi mereka yang terpedaya dengan kehadiran ‘satu dua ekor burung layang-layang ini.”
Maka timbul persoalan apakah mereka begitu daif untuk menginterpretasi kebijaksaan dalam kata-kata Aristotle itu?
Jawapannya tentulah tidak. Mereka tidak daif. Dan apa yang disebut oleh ahli falsafah Yunani Purba itu bukanlah dalam kelas idea dan pemikiran kompleks yang ditulis dan diketengahkan oleh, misalnya Immanuel Kant atau Friedrich Nietzsche.
Kalau sekadar kata-kata semudah apa yang ditulis oleh Aristotle itu, jangan kata pemimpin tertinggi UMNO dan BN boleh memahaminya malah pemimpin peringkat cawangan parti tersebut di kampung paling terpencil, seperti di kawasan DUN Kerdau, Pahang dan kawasan DUN Merlimau, Melaka boleh memahaminya. Tidak sepatutnya ada masalah.
Malangnya, di atas sebab yang tidak diketahui atau mungkin juga hasil dari budaya yang telah dipupuk oleh BN terutama oleh UMNO, maksud ungkapan seperti ini diketepikan sahaja oleh mereka.
Satu ketika dulu kemenangan BN di kawasan Parlimen atau DUN yang dianggap sebagai kubu mereka tidak diberikan apa-apa interpretasi. Tatkala rakyat masih percaya dan menyandarkan sepenuh harapan kepada parti tersebut, dan tatkala orang beranggapan ‘letak tunggul kayu sebagai sekalipun, calon UMNO atau BN tetap akan memenangi sesuatu pilihanraya kecil, kemenangan tidaklah begitu bermakna sangat buat mereka. Ia hanyalah satu lagi kemenangan. Satu lagi rutin dalam kehidupan politik parti UMNO-BN.
Hari ini segala-galanya sudah berubah. Walaupun di kubu sendiri, di kawasan di mana UMNO-BN sepatutnya boleh sahaja meletakkan tunggul kayu sebagai calon mereka, kemenangan bukan sekadar amat berharga malah boleh sahaja ditafsirkan sebagai alamat atau petanda kemenangan yang lebih besar dalam pilihanraya umum kelak.
Walaupun lebih seminggu sudah berlalu, pemimpin UMNO-BN di semua peringkat, think-thank mereka, penyokong dan tidak ketinggalan pengampu parti berkenaan nampaknya masih lagi dibuai dengan kemenangan di Merlimau dan Kerdau seolah-olah kemenangan di kedua-dua DUN ini mengisyarakatkan kepulangan dua-pertiga anggota BN di Parlimen serta kejayaan merampas kembali negeri yang telah hilang ke tangan Pakatan Rakyat dan malahan juga menawan kembali Kelantan dalam pilihanraya umum ke-13 akan datang.
Barangkali ciri syok sendiri yang dipupuk dan dibelai oleh UMNO-BN ini dihasratkan akan meninggalkan kesan psikologi kepada rakyat dalam menyatakan betapa kuatnya UMNO-BN atau segala kemelut yang melanda parti tersebut sehingga nyaris-nyaris tersungkur secara total dalam pilihanraya umum lalu.
Namun hakikat sebenarnya, yang mana tidak mahu diterima oleh pemimpin dan penyokong parti itu sendiri ialah bahawa cara sedemikian hanya akan membawa kerugian kepada mereka.
Begitupun hal serupa ini adalah satu keadaan yang cukup baik untuk Pakatan Rakyat. Sebagaimana lazim, dalam keadaan tertekan dan terdesak, UMNO-BN sentiasa menggunakan strategi yang memakan diri sendiri.
Sebaliknya, menerusi perspektif berbeza, kekalahan calon Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil melibatkan kerusi yang asalnya diduduki oleh UMNO-BN, ia merupakan satu kemenangan buat gabungan PAS, DAP dan Keadilan. Selain daripada membantu dalam menyebarkan perubahan yang bakal dibawa oleh Pakatan Rakyat, ia juga turut memberikan amaran kepada UMNO-BN betapa impian mereka untuk menguasai dua-pertiga kerusi Parlimen dan merampas semula negeri terbabit bukanlah satu pelayaran tanpa ombak dan badai.
Justeru, dua burung layang-layang yang disaksikan oleh UMNO-BN baru-baru ini dalam bentuk kemenangan di dua kawasan DUN tersebut sebenarnya jauh dari membayangkan kedatatangan musim panas. Apakah mereka telah lupa betapa hanya empat tahun sebelum Mac 2008, mereka telah menyaksikan jauh lebih banyak burung dan menikmati musim panas politik yang dirasakan tidak akan berakhir?
No comments:
Post a Comment