KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak lagi menyekat urusniaga pembaharuan lesen memandu dan lesen kenderaan motor bagi kes-kes yang tidak dibawa ke mahkamah, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Jelaing Mersat.
Beliau berkata hanya kes-kes yang dibawa ke mahkamah dan kes jenayah yang berada dalam siasatan Polis Diraja Malaysia atau JPJ sahaja yang akan disenarai hitam lesen memandu dan kenderaan motor terbabit
"Tindakan menyenarai hitam kenderaan dengan menyekat urusniaga pembaharuan lesen memandu dan lesen kenderaan motor yang dilakukan oleh JPJ adalah selaras dengan kuasa di bawah Seksyen 17(1)(d) dan 29 (1A) Akta Pengangkutan Jalan.
"Tindakan ini diambil terhadap pemandu atau pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan lalu lintas," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mohammed Najeeb Abdullah yang ingin tahu mengenai kenderaan yang disenaraihitamkan oleh JPJ berdasarkan saman ekor sedangkan kesalahan belum disabitkan oleh mahkamah.
Menjawab pula soalan Senator Datuk Wan Hazani Wan Mohd Nor yang ingin tahu jumlah kenderaan yang disenaraihitamkan sejak 2009, Jelaing berkata sebanyak 119,330 lesen memandu dan 154,663 lesen kenderaan motor telah disenaraihitamkan pada tahun lalu.
Manakala pada tahun sebelumnya, sebanyak 122,794 lesen memandu dan 180,624 lesen kenderaan motor disenaraihitamkan. "Kita menjalankan tugas yang amat bermakna di mana kita mahu kurangkan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya.
"Dengan adanya penyenaraian hitam kenderaan dan lesen memandu dan penguatkuasaan cara lain dapatlah membantu mengurangan kemalangan jalan raya," katanya. -BERNAMA
No comments:
Post a Comment