Oleh SUBKY ABDUL LATIF
MENJELANG muktamar pemilihan PAS kurang dari dua bulan lagi, maka timbul isu sebuah Kawasan PAS tidak mencalonkan semula Presiden Ustaz Haji Abdul Hadi Awang bagi meneruskan pimpinannya. Kalau ia menggemparkan itulah yang dinamakan ribut dalam cawan.
Ribut dalam cawan tidak mendatangkan gelombang, jauh sekali dari dilanda tsunami. Paling bergolak sekadar kopi meleleh ke piring.Kejadian seperti itu berlaku dalam semua pimpinan terutama dalam masyarakat demokrasi sejak zaman purba hingga kiamat
Kaiser Rom purba Jelius Ceaser kira pemerintah terbaik di zamannya, tetapi ada yang mencadangkan Brutus, orang kepercayaannya bagi mencabarnya.
Dr. Burhanuddin Al-Hilmy adalah pimpinan PAS yang disegani di zamannya tetapi ada yang mencadangkan supaya Prof. Zulkifli Mohamad menjadi calon Yang Dipertua Agung bagi melawannya. Demikian juga Haji Yusof Rawa, satu-satunya pimpinan PAS yang sekali gus menjadi Mursyidul Am dan Yang Dipertua Agung. Ada yang tidak sabar mahu beliau digantikan oleh Ustaz Fadzil Noor. Ustaz Fadzil ada pimpinan yang terbaik selepas Prof. Zulkifli. Tetapi PAS Kawasan Parit Buntar mencalonkan Ustaz Hadi menjadi Yang Dipertua Agung.
Tahun sudah Kawasan Bukit Bintang mencalonkan Tok Guru Nik Aziz dan tahun ini ia mecalonkan Husam Musa pula.
Dalam semua perkembangan pemimpin utama PAS itu menang tanpa bertanding, kecuali kedatangan awal Dr. Burhanuddin bertanding dengan Prof. Zulkifli.
Tidak pernah berlaku dalam PAS pertempuran seperti yang terjadi terhadap Dr. Mahathir dicabar oleh Tengku Razaleigh dan seperti Najib memaksa Abdullah Badawi berundur.
Tunku Abdul Rahman Putra adalah pimpinan UMNO yang berjaya melumpuhkan Datok Onn dan berjaya membawa kemerdekaan kepada negara. Sebagai Bapa Malaysia ada juga orang UMNO tidak sabar mencalon Tun Razak bagi menggantinya. Tun Razak menolak dan UMNO merahsiakannya.
Apa pun tidak nampak Ustaz Hadi menghadapi laluan yang sukar bagi meneruskan pimpinan PAS. Kerana beliau bukan maksum, adalah kelemahan dan kekurangan di sana sini, tetapi ia tidak sampai ke peringkat UMNO tidak mahu meneruskan pimpinan Tun Abdullah Badawi.
Malah beliau tidak sampai dipertikai oleh ahli seperti UMNO mempertikai Najib sekarang. Tanda PAS itu hidup adalah ia sentiasa ada orang memerhatikan pemimpin. Dan pimpinan adalah penting dalam jamaah. Ahli dan pimpinan semua tingkat boleh bersoal jawab tentang dasar dan halatuju pimpinan, tetapi apabila amir yang mendengar semua yang dibangkitkan itu membuat keputusan, dan ia muktamat dan wajib dipatuhi.
Amir adalah sama penting dengan jamaah. Amir bukan saja bertanggungjawab menjaga jamaah tetapi juga berupaya membentuk ahli yang boleh menjaga amir dan jamaah. Juteru itu mesti dididik supaya berfikiran kritis dan bertanggungjawab melahirkan pimpinan yang baik. Sebagaimana calon dalam pilihan raya adalah penting terdiri dari kalangan yang terbaik, tetapi tanggungjawab pengundi juga adalah besar untuk memilih calon yang terbaik.
Maka ahli tidak wajar apabila terasa hendak menggantikan pemimpin, dia lalu mencadangkan pemimpin diganti. Pemimpin yang hendak digantikan itu mestilah diganti oleh yang labih baik daripadanya. Bukan boleh dicalonkan sesiapa saja, tetapi mestilah diyakini lebih berwibawa dan dihormati oleh semua kawan dan lawan.
PAS yang bangkit kuat selepas runtuh dilanda puaka Barisan Nasional, ialah kerana ia meletakan asas kepimpinan ulama. Orang ramai mendengar kata ulama dan bersatu di belakang ulama. Keberkatannya terserlah. Kehebatan politik dan kepimpinan Dato Asri sukar ditandingi. Tetapi kemunculan ulama sebagai pemimpin menyerlah daya saing yang lebih menonjol.
Pak Mawardi, pemimpin Islam Indonesia dan teman Pak Natsir menyebut kesukaran umat Islam Indonesia untuk bangun kerana ketiadaan kepimpinan ulamanya.
PAS tidak sukar mencari kepimpinan sebaik ia muncul dengan konsep kepimpinan ulama. Tidak tidak sukar menggantikan Haji Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Noor. PAS ada Ustaz Hadi dan Tok Guru Nik Aziz.
Persoalan sekarang bukan untuk menggantikan pimpinan yang ada tetapi adalah bagi mencari ganti kepada pimpinan yang ada.
Ia bukan suatu yang terasa pada PAS saja, tetapi ia adalah yang dirasakan oleh kerabat Pakatan Rakyat. Hanya DAP yang selesaikan pimpinan masa depannya.
Lim Kit Siang sudah mula berundur dan menyediakan Lim Guan Eng bagi menyambung kepimpinannya. Sekurang-kurangnya jika tiada sesuatu di luar jangka berlaku, DAP tidak menghadapi masalah kepimpinan untuk 20 tahun akan datang.
Tetapi PKR dan PAS berdepan dengan persoalan pimpinan masa akan datang. Sekali pun PKR baru selesai memilih pimpinan tetapi ia belum dapat mengetengahkan orang yang bakal menggantikan pimpinan Anwar Ibrahim. Siapa yang boleh mengambil tempat Anwar sepuluh tahun akan datang atau bila-bila masa sekarang?
Walau pun semua jawatan penting dalam parti itu ada penyandangnya, pengganti yang sehebat Anwar itu belum muncul dan belum nampak.
Masalah yang sama dihadapi PAS. Ia penuh dengan ilmuan keluaran Azhar, Jordan dan lain-lain. Semua jawatan selepas Presiden berisi. Tetapi ulama muda yang boleh mengambil alih pimpinan belum muncul. Mereka ada tetapi belum nampak.
Sebagai bakat pimpinan yang ditunjukkan oleh Ustaz Fadzil dan Ustaz Hadi telah dapat dilihat lama sebelum Dato Asri berundur, tetapi dia belum nampak, cuma dipercayai ramai dicelah lapisan pimpinan di berbagai peringkat itu.
Untuk mencapai orang seperti Muhyiddin Yasin, Hishamuddin dan Shafie Afdal itu memang ramai, tetapi bukan yang seperti itu yang dihendaki oleh PAS. PAS ada citarasa dan wibawa yang berlainan.
Sesiapa saja boleh bertanding untuk apa-apa jawatan dalam PAS termasuk untuk Presiden. Tetapi penghormatan dan keyakinan orang ramai di luar PAS juga perlu diambil kira. Untuk mendapat keyakinan seperti yang diberikan kepada Haji Yusof Rawa, Ustaz Fadzil, Ustaz Nik Aziz dan Ustaz Hadi adalah sukar.
Presiden PAS bukan sekadar pemimpin PAS saja, tetapi dia juga adalah pemimpin masyarakat semua kaum yang dihormati semua. Dia bukan saja disanjung oleh orang Melayu dan orang Islam, tetapi dia juga disegani dan dihormati oleh orang bukan Melayu dan orang bukan Islam.
PAS bertuah kerana Tok Guru Nik Aziz yang kurang ditonjolkan untuk menjadi pelapis di zaman sebelum kepimpinan ulama, tetapi muncul sebagai orang yang lebih bertenaga dari yang pernah ditunjukkan oleh Dato Asri.
Tuah seperti itu tetap menolong, tetapi persediaan perlu difikirkan sebagaimana persediaan zaman Yusof Rawa menyediakan Ustaz Fadzil dan Ustaz Hadi di belakangnya.
PAS jangan sekadar menunggu tuah tetapi pimpinan masa depan juga mesti dicanai. Ini yang perlukan difikirkan oleh segenap lapis anggota parti. Bukan menumpukan masa bagi menggantikan pimpinan yang ada, tetapi mesti memikir dan mencari bentuk pimpinan yang akan datang.
Orang itu mestilah dari kalangan ulama yang cekap perhitungan politik dan diplomatiknya, mahir sebanyak cabang ilmu, menguasai teknologi alam maya dan tahu bagaiamana memasarkan produknya. Masa depan politik kita dan di mana-mana dunia juga ialah siapa yang menguasai pasaran politik dan diplomatik.Angkatan dan orang seperti itu mesti dicari, bukan ditunggu.
No comments:
Post a Comment