Malangnya pihak media atau wartawan-wartawan meminta komen sumpah laknat ini dari orang yang tidak alim dalam ilmu agama sehinggakan banyak pandangan mereka tersasar dari kaedah yang telah ditetapkan oleh Islam. Mereka menganggap sumpah laknat ini adalah salah satu dari hukum Islam. Jika melakukan zina, pembunuhan, mencuri dan sebagainya maka kena sumpah laknat. Lama-lama rosak agama ini dengan pandangan orang-orang yang tidak mahir dalam hukum-hukum jenayah Islam.
Sumpah laknat atau li’an ini dilakukan oleh suami isteri sahaja kerana si suami menuduh isterinya melakukan zina dengan sipulan-sipulan tanpa membawa 4 orang saksi yang baik bukan fasiq. Cara sumpahnya mestilah mengikup kaedah yang ditetapkan dalam kitab fiqh bukan main bedal begitu sahaja seperti yang dilakukan oleh Datuk Shazryl Eskay. Firman Allah yang bermaksud :
“Dan orang-orang Yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada Syarak) bagi seseorang Yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah Dengan nama Allah, empat kali, Bahawa Sesungguhnya ia dari orang-orang Yang benar. Dan sumpah Yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang Yang dusta.” (An-Nur : 6-7)
Lian atau sumpah laknat boleh terjadi dalam dua keadaan :
- Suami menuduh isterinya berzina, tetapi dia tidak mempunyai empat orang saksi lelaki yang dapat menyokong kebenaran dakwaan tersebut.
- Suami tidak mengakui kehamilan isterinya sebagai hasil dari benihnya.
- Sumpah laknat ini mestilah dilakukan dimahkamah, disamping mengingatkan dan menasihati si isteri, sepertimana yang telah disebut dalam hadis yang bermaksud :“Mana-mana perempuan yang menerima lelaki bukan mahramnya, maka Allah tidak akan menjaganya sama sekali, dan Allah tidak akan memasukkannya ke dalam syurga dan mana-mana lelaki yang mengingkari anaknya, padahal dia tahu bahawa itu adalah anaknya sendiri, maka Allah akan menjauhkan daripadanya dan memalukannya dihadapan seluruh umat manusia dari generasi dahulu hingga generasi kemudian”. (Riwayat Abu Daud, An-Nasai, Ibnu Majjah)
Diantara syarat-syarat sumpah mubahalah ialah :
- Ia sebagai alternatif terakhir setelah semua alternatif lain dilaksanakan bagi meleraikan pertikaian.
- Masing-masing pihak membawa bersama ahli keluarganya yang terdekat.
- Masing-masing pihak bersama ahli keluarga terdekat hadir secara berhadapan.
- Masing-masing pihak bersumpah, umpama: “Demi Allah! Aku bersumpah aku tidak bersalah dalam tuduhan ini. Ya Allah! Yang menuduh telah berdusta dalam membuat tuduhan, maka jatuhkanlah laknat-Mu ke atas penuduh dan ahli keluarganya.” Pihak kedua pula bersumpah, umpama: “Demi Allah! Aku tidak berdusta dalam membuat tuduhan ini. Ya Allah! Yang tertuduh telah berdusta dalam menafikan tuduhan, maka jatuhkanlah laknat-Mu ke atas tertuduh dan ahli keluarganya.”
“Sumpah yang dikira terpakai dan sah dalam kes yang dirujuk adalah hanya sumpah biasa, bukan sumpah laknat. Sumpah biasa boleh dianggap sah apabila dimulakan dengan lafaz “wabillahi, wattallahi” atau salah satu antara lafaz tersebut juga sudah mencukupi. Namun SUMPAH BIASA ini sepatutnya hanya dilakukan sesudahkan ‘bayyinah’ atau bukti yang diiktiraf oleh syarak dikemukan di mahkamah. ”
Malangnya pihak yang menuduh tidak dapat membawa apa-apa bukti yang diiktiraf oleh syarak seperti 4 orang saksi yang sah dan orang yang ada semasa berlakunya perbuatan perzinaan itu adalah Datuk Shazryl Eskay sahaja. Video boleh atau tidak dijadikan bukti di dalam hukum Islam. Di sini ada dua pendapat tentang masalah ini :
- Pendapat pertama menyatakan bahawa video tidak boleh dijadikan bukti, kerana video boleh diolah dan boleh dipotong-potong dan boleh diedit mengikut cita rasa orang tersebut.
- Pendapat kedua menyatakan video boleh dijadikan bukti dengan syarat mesti 4 orang saksi yang sah dan tidak fasiq melihatnya. Maka dari ini boleh dijatuhkan hukuman hudud atau takzir.
Sebenarnya, kes seperti ini boleh dibicarakan mengikut hukum qazaf iaitu menuduh orang berzina. Qazaf ini bertujuan untuk menjaga nama baik dan memelihara kemuliaan orang yang dituduh. Islam dengan kerasnya telah melarang menyebarkan gosip atau fitnah pada diri orang beriman atau orang lain. Firman Allah yang bermaksud :
"Letakkanlah anakmu di Dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya; dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya Engkau dibela dan dipelihara Dengan pengawasanKu.” (At-Thaha : 39)
Tetapi malangnya sistem undang-undang yang ada dalam negara ini tidak 100% hukum Islam, yang ada sebahagian-sebahagian sahaja tapi itupun belum lagi dinamakan sebagai hukum Islam. Sebab itulah kes ini tidak boleh dibawa kepada perbicaraan qazaf kerana peruntukan undang-undang yang ada belum cukup lagi untuk membawa kes itu ke mahkamah syariah.
Dalam hal ini juga, saya sangat kesal sebab video itu didedahkan kepada orang awam dan sedikit sebanyak gambar-gambar adegan video tersebut dimuatkan dalam akhbar harian. Ini memalukan bangsa melayu agama Islam. Apa-apapun kita serah kes ini kepada pihak yang berkuasa untuk membuktikan video tersebut. Bagi pihak yang tidak sepatutnya, lebih baik ia menutup mulutnya dan jangan mengeluarkan apa-apa komen mengenai video tersebut, malah dia pulak mengambil alih tokoh-tokoh agama yang ada untuk mengeluarkan fatwa yang songsang. Letakkan fahaman politik dibelakang, jadikan agama sebagai dasar menentukan sesuatu hukum dan sesuatu keputusan dalam kehidupan kita. Jika Agama Islam dijadikan rujukan, maka selamatlah dunia dan masyarakat yang jahil Islam pada masa sekarang ini.
No comments:
Post a Comment