" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Thursday, June 9, 2011

Saya tak malu digelar ahli politik jalanan

Wawancara eksklusif dengan pemimpin muda PKR Badrul Hisham Shahrin atau lebih dikenali dengan nama Chegubard. Beliau juga adalah Ketua Cabang PKR Rembahttp://www.keadilandaily.com/wp-content/uploads/2011/03/chegubard_thumb3.jpgu dan pernah menjadi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR.Pemimpin muda PKR Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali dengan panggilan Chegubard yang dikatakan akan keluar parti untuk menyertai DAP atau PAS, masih kekal dengan PKR yang disertainya sejak 1999.

Ketua Cabang PKR Rembau itu menjelaskan bahawa selagi beliau tidak dipecat oleh PKR, selagi itu beliau akan terus bersama dengan parti berkenaan.

Saudara dikenali sebagai ahli politik yang suka berdemonstrasi, ada yang menggelar saudara sebagai ahli politik jalanan. Apa komen saudara?

Pertama sekali, konotasi pada gelaran itu boleh saja menjadi negatif atau positif, tetapi bagi saya, saya tak kisah orang nak gelar saya apa. Kita kena faham, latar belakang saya sejak dari sekolah yang aktif dalam banyak organisasi belia dan kebudayaan. Sebagai orang muda, kita perlu ada semangat perlawanan dan semangat radikalisme, malah saya dibantu dengan bahan-bahan bacaan dan buku-buku aliran kiri. Contohnya ‘Motorcycle Diaries’ karya Che Guevara, kisah tentang (pemimpin kemerdekaan Indonesia) Bung Hatta, Tan Melaka dan sebagainya. Saya baca semua itu ketika di sekolah menengah lagi. Saya tak nafikan saya pernah terfikir nak jadi macam Che Guevera. Akhirnya reformasi 1998, Anwar Ibrahim dilihat sebagai ikon bagi orang muda, tiba-tiba ia menyentak, gerakan itu diwajahkan dengan wajah kebangkitan rakyat yang pada akhirnya saya tersebut ke dalam arus gerakan reformasi.

Hakikatnya ketika itu, saya tak pernah pun berjumpa dan mempunyai hubungan dengan Anwar Ibrahim. Saya memilih untuk turun ke jalanraya kerana (ketika itu) tidak ada banyak pilihan lain, bukan kerana kita sengaja pilih untuk tujuan suka-suka. Ketika itu, itu menjadi trend, itu jiwa orang muda dengan imaginasi-imaginasi perlawanan, ia ‘cool’. Tidak mudalah mereka jika tidak turun ke jalan raya. Akhirnya kita mengikut struktur parti apabila ia ditubuhkan. Pada masa itu Parti Keadilan Nasional, ia merupakan parti politik yang pertama saya sertai. Saya tak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum itu.

Ketika itu saya sedang mengajar (sebagai guru), momentum pada masa itu sebenarnya ialah kelompok muda yang tak punya kepentingan politik, yang hanya ingin melihat, ini kesempatan terbaik untuk mengubah negara. Kes Anwar, semua elemen kerajaan digunakan untuk menangani kes itu. Maka anak muda telah bersatu hingga keadaan itu mengangkat Anwar sebagai ikon dan simbolik pada perlawanan itu.

Apa yang kita boleh buat? Hinggalah parti (PKR) vakum bila tangkapan ISA dibuat ke atas pemimpin parti, saya betul-betul aktif ketika ISA 10 (2001), ketika itu keadaan bagai tiada harapan untuk menang. Maka kita lah yang sama-sama membina parti ini sebagai orang kecil, kena ingat saya masuk Keadilan bukan sebagai pimpinan besar, saya tidak disambut dan dirai, kita hanya budak yang gantung bendera, yang bersama lari di tepi jalan bagi memastikan isu Anwar terus hidup, untuk menarik perhatian orang ramai dan bermain dengan simpati rakyat. Kita ‘attract media’, pada masa itu cukup dengan sekadar ‘mainstream media’ melaporkan ada 10 orang ditangkap berdemonstrasi, itu kejayaan kita pada ketika itu dalam keadaan parti yang vakum, susah ada yang lari dan sebagainya. Saya tidak rasa ralat jika digelar pejuang jalan raya hanya kerana pada masa itu saya tiada pilihan. Saya tidak dilatih di dalam kelas-kelas atau sekolah politik, saya tak dilatih di hotel-hotel dalam kursus politik. Saya matang di jalan raya, saya dilatih erti perjuangan dari lokap-lokap polis dan saya tak pernah menyesal dan ralat kerana hari ini saya dapat merasakan latihan yang saya dapat itu membuatkan saya faham derita raktyat yang sebenarnya.

Maka saudara terus mengetuai demonstrasi seterusnya?

Ia membawa kepada fasa kedua, selepas pilihan raya umum 2008, semua orang memikirkan untuk ubah ‘stail’ politik dan pendekatan. Bagi saya orang muda ini isunya ialah perlawanan. Kalau kita nak pergi kepada orang muda yang teknokrat dan sebagainya, UMNO sudah menangani perkara ini sudah lama dan berjaya, saya melihat perlawanan itu perlu ‘real’ dan secara fizikal. Ini imaginasi orang muda, ia perlu dikekalkan.

Contohnya isu Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil), sama ada kita sedar atau tidak antara impak keputusan PRU 2008 adalah kerana himpunan Bersih 2007. Kalaulah selepas PRU 2008 kita teruskan demo dan kempen yang sama dengan menggunakan kekuatan rakyat secara fizikal untuk turun ke jalan raya bertujuan untuk memperbetulkan sistem pilihanraya, mungkin hari ini keadaannya sudah berubah. Tetapi oleh kerana pada ketika itu (selepas PRU 2008) kita memikirkan perlu ada pendekatan lain, yang lebih profesional dan sebagainya. Akhirnya baru hari ini kita kembali nak bercakap semula tentang Bersih, ia agak tertinggal dan janggal. Dan, sekali lagi saya tidak malu digelar sebagai ahli politik jalanan hanya kerana kita merupakan penyambung survival. Ia dilihat lebih ‘real’ dan berkesinambungan.

Kepercayaan saya satu sahaja, usaha menggembleng rakyat untuk turun ke jalan raya tidak harus berhenti. Siapa juga yang jadi kerajaan atau pemerintah, mereka harus berhadapan dengan kuasa rakyat. Benda ini juga dipelajari oleh UMNO-BN, walau pun usaha mereka di atas ‘fake ground’, tetapi apa yang penting, mereka (UMNO-BN) secara tidak langsung sudah mengiktiraf strategi politik mobilisasi rakyat ini. Dalam pada itu, kita sebagi pelopor tidak harus meninggalkan ‘ground’ kekuatan kita ini.

Apa yang sebenarnya berlaku sewaktu pemilihan PKR 2010?

Saya bercakap soal prinsip, jika kita tidak boleh bercakap, maka parti ini akan gagal. Tapi saya yakin, jika saya dalam UMNO, sudah lama saya kena tending. Maksudnya dalam PKR masih ada ruang untuk memprotes. Cuma mungkin cara saya yang agak radikal dan penerimaan parti yang agak perlahan, itu yang melihatkan agak kontra yang begitu banyak. Saya tak ketepikan semua parti politik menghadapi masalah politiking dalaman, nama pun dah parti politik. Bagi saya mudah saja, kita bercakap mengenai demokrasi, proses pemerkasaan, hokum; dan kita harus melakukan itu. Saya tertarik dengan ungkapan ‘perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata’. Jika ditanya, adakah isu tersebut tiada penyelesaian? Saya jawab, ada penyelesaiannya.

Secara prinsipnya, saudara tiada masalah dengan pelaksanaan pemilihan secara demokrasi langsung dalam PKR?

Dari aspek membuka ruang demokrasi, saya menyokong, malah ketika kaedah ini hendak digubal saya berada dalam Majlis Pimpinan Tertinggi PKR dan memang saya menyokongnya. Tetapi malangnya mungkin ada pihak yang berkepentingan melihat ada ruang untuk memanipulasi beberapa kelemahan di mana kita tak bersedia. Itu saja yang saya suarakan dan saya yakin saya bercakap berdasarkan bukti dan fakta. Ada yang saya tak puas hati? Ya ada, namun biarlah ia dilalui dan diselesaikan di dalam parti. Cuma cara mana kita menangani komen dan teguran itu.

Apa saranan saudara?

Jika bercakap tentang PRU, kita minta SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) bebas, buka ruang kempen, bagi masa kempen yangg adil, benda ini maknanya apa? Adakah kita dalam parti benar-benar berani dan bersedia untuk buka ruang demokrasi? Maksud saya ialah kita sedang bercakap satu benda yang dalam negara ini kita tak pernah lakukan. Benda ini ibarat eksperimen. Soalnya (dalam parti) kita hendak atau tidak? Berani atau tidak?

Dalam proses demokrasi yang lebih besar pula, umpamanya pilihan raya kerajaan tempatan, apa yang boleh kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat lakukan?

Mengenai pemilihan di peringkat kerajaan tempatan, soal dasarnya masih sama, adakah kita berani dan bersedia untuk melaksanakannya? Contohnya, adakah kita bersedia jika ada kerusi yang menang itu dari kalangan politik yang condong kepada UMNO-BN? Jika kita bersedia, silakan. Maknanya kita sudah cukup terbuka.

Jika kembali kepada asas, perubahan itu harus datang dari pendidikan politik kepada rakyat. Berapa ramai rakyat yang bersedia untuk menyertai pilihan raya kerajaan tempatan? Berapa ramai yang sedar kepentingan itu kerana mereka adalah pembayar cukai dalam kawasan tersebut. Begitu juga dalam parti. Berapa ramai ahli yang sedar bahawa mereka boleh memilih presiden, berapa ramai ahli yang sedar bahawa undi mereka tidak ada orang boleh ganggu, atau berapa ramai yang sedar mereka harus memilih ke mana parti hendak dibawa?

Persoalan dalam tuntutan Bersih, kita desak PRU diumumkan lebih awal. Itu kita minta dengan kerajaan pusat. Kita seharusnya bersikap berani dan ‘gentlemen’. Kita kena buat, contohnya, pada 2013, pada tarikh sekian, kita akan bubar kerajaan negeri Selangor atau jika itu terlalu awal, kita boleh pinda peraturan atau perlembagaan dengan memasukkan fasal, pilihan raya perlu diumumkan 6 bulan lebih awal. Kita tunjuk kita berani dan kita dah buat, rakyat akan tengok kita.

Chegubard bersama Dr Boo Cheng Hau sewaktu PRN Sarawak 2011

Saya rasa PR ini kukuh tapi dari segi ikatan itu masih lemah kerana ia masih berdasarkan isu. Di peringkat tertentu, di tempat-tempat tertentu keadaan berbeza. Ada negeri yang ikatan Pakatannya kuat tetapi di peringkat cabang lemah. Ada negeri di peringkat Parlimen, bahagian atau kawasan kukuh tapi di peringkat negerinya lemah, hingga tak wujud langsung sekretariat Pakatan Rakyat. Saya lihat suasanan ini tidak sihat. Ia perlu ditangani segera, jika ini tidak dilakukan, menjelang PRU akan datang, saya lihat ada sedikit lopong ruang yang patut kita ‘explore’ tapi kita tertinggal dan kita berdepan dengan PRU dalam keadaan ada lagi senjata-senjata yang tidak kita gunakan sepenuhnya.

Contoh beberapa kawasan yang masih lemah?

Tidak adil jika saya beri contoh tempat dengan menyebut secara spesifik. Tetapi hakikatnya benda ini wujud kerana pembawaan masing-masing. Contohnya, ada tempat yang masih merasakan mereka harus dapat kerusi tersebut, ada tempat yang merasakan mereka mempunyai tokoh yang lebih layak. Ada juga tempat yang masih terkesan dengan pemecahan masyarakat mengikut kaum dengan menganggap ini kelompok Cina, ini kelompok Melayu atau kelompok kaum tertentu. Ia masih dibawa (fahaman ini). Tetapi ini amat minima, kita kena faham kekuatan sebenar kita, kenapa kita bergabung? Kerana kita punya kekuatan yang berbeza. Setiap parti mempunyai keistimewaan-keistimewaan tertentu. Itu kepelbagaian dan itu kekuatan kita.

Pandangan saudara terhadap Pakatan Rakyat dari aspek pencapaian dan pentadbiran?

Bila bercakap tentang kesepakatan PR, persoalannya ialah, sebagai contoh, susah sangatkah di Pulau Pinang untuk kita memberi kerusi exco kepada PAS hanya sekadar menghormati PAS sebagai parti komponen PR? Dan susah sangatkah di Kedah untuk kita memberi kerusi exco kepada DAP sebagai penghormatan sebagai parti komponen PR dan menarik DAP supaya terus berkubu di Kedah dan mempertahankan Kedah sebagai kerajaan PR. Jika kita nak bercakap soal kesepakatan, benda ini pun kita tak dapat tangani, maka kita bermasalah.

Apa yang istimewa dengan Pakatan Rakyat?

Kita kena faham keistimewaan PR. Pada 2008, tiada PR tetapi selepas PRU 2008, kita nak bina kerajaan di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan, ia perlu gabungan semua. Maka itu PR lahir. Rakyat di semua negeri-negeri ini telah memaksa PR dilahirkan. PR adalah hasil dari desakan rakyat yang bangkit. Ini merupakan sejarah yang harus diangkat. Jadi apakah cabaran besar PR? Cabaranya ialah pilihan raya yang akan datang, 2011 atau 2012, yang bakal dihadapi sebagai kerajaan PR, ini cabaran pertamanya.

Kerana itu saya balik kepada asas tadi, kita kena berdepan BN sebagai jentera PR, di setiap tempat perlu ada PAS, DAP dan PKR yang kuat. Dalam maksud persefahaman dan jentera. Jika di sesebuah kawasan PAS kuat, PAS kena bantu memperkukuhkan PKR atau DAP di kawasan itu. Contohnya di Permatang Pauh, PKR kuat di kawasan itu dan perlu lihat PAS atau DAP juga perlu kuat di situ. Kita akan jadi PR yang benar-benar kuat dan bersedia untuk memerintah negara.

Apa peranan yang saudara ingin ambil?

Pertama sekali, jika bercakap soal demokrasi atau kematangan politik, saya ingin katakan, kita seperti baru saja merdeka semalam. Kenapa? Kerana kita tidak memberi penumpuan membina kesedaran orang muda dalam aspek politik kenegaraan. Kerana itu perjuangan saya jelas. Sejak tahun 2007 kita menubuhkan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM). Tujuan pertama ialah kita ingin menggarap imaginasi radikal anak muda. Anak muda yang tidak radikal ialah anak muda yang sebenarnya gagal, dia tidak cool, tidak muda.

Kedua, sasaran saya ialah membina sebuah negara, saya akan berjuang seluruh kudrat yang saya ada untuk membina sebuah negara yang menjadi tempat yang ada daya saing berdasarkan kopitensi rakyat yang sebenarnya. Kerana itu, apa pun yang berlaku dalam politik, ia tak menggugat langsung semangat saya, kerana matlamat saya jelas, kita org muda bermain dengan masa dan kita tidak harus rasa kecewa. Selagi saya tak dapat ruang untuk menunaikan harapan saya, saya tak akan undur walau setapak.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111