Oleh Mujahid Yusof Rawa
Ada satu perkara yang kurang difahami oleh kebanyakan orang dalam hak untuk berhimpun. Mereka tidak dapat membezakan antara perhimpunan aman dengan perhimpunan haram.
Istilah “haram” hanyalah satu pengklasan himpunan yang dilabelkan sebagai tidak mendapat permit polis, manakala perhimpunan aman adalah satu istilah yang diperuntukkan oleh perlembagaan persekutuan sebagai satu hak.
Polis seolah-olah memperbodohkan dirinya di hadapan orang ramai kononnya berhujah dengan akta polis. Ya, Akta Polis memang ada tetapi semangat akta itu ialah memastikan perhimpunan berlaku secara aman bukan menghalang hak perhimpunan secara aman. Ketua Polis seharusnya meletakkan jawatan kerana gagal memahami ruh perlembagaan dan kerananya juga Perdana Menteri yang gagal mengawal semangat ini turut wajib meletakkan jawatan dalam kadar segera! Jika tidak, seluruh rakyat dimalukan dan dihina lantas PM tidak menjunjung perlembagaan persekutuan malah memperkakaskan polis menjadi alat pembunuh hak berhimpun.
Memburukkan lagi keadaan, adanya perintah RO (restriction order) yang jelas membataskan pergerakan hak rakyat secara bebas. Sekali lagi polis menunjukkan kebebalannya dengan berhujjah bahawa 91 orang yang diberikan RO itu berpotensi mencetuskan ketenteraman awam kerana menggalakkan orang ramai menyertai “perhimpunan haram”.
Apa yang membingungkan ialah apakah pihak polis bertindak demikian kerana ketenteraman awam ataukah kerana memelihara ketenteraman Umno/BN yang terancam.
Menentang Umno/BN bukan mengganggu ketenteraman awam ia urusan politik yang harus ditangani secara politik jua bukan menggunakan kekerasan polis. Sebab itu polis tidak kurang lebih daripada pencacai yang menjilat-jilat tuannya Umno/BN dan bukan bertindak sebagai pelindung ketenteraman awam.
9 Julai telah menunjukkan wajah polis yang sebenarnya, mereka umpama anjing-anjing yang terjelir lidahnya, jika tidak diberi makan mereka menjelir dan apabila diberi makan mereka menjelir juga. Keganasan mereka umpama robot-robot yang diprogramkan untuk bertindak sehendak hati mereka. Cuma bezanya polis-polis Malaysia ini manusia, dalam cerita-cerita Hollywod mereka adalah robot! Senarai keganasan polis semakin meningkat dan tidak menunjukkan trend menurun. Bayangkanlah apa akan jadi jika keganasan ini tidak diberhentikan, ramailah lagi akan menjadi mangsa. Apakah polis-polis ini lupa mereka juga manusia seperti mangsanya?
Ketua Polis harus membuat satu pencarian roh (soul searching), di manakah salah silapnya sehingga persepsi rakyat kepada polis begitu buruk sekali? Pakaian seragam biru lebih melambangkan sikap tidak professional, ganas dan rasuah walaupun bukan semua yang bersikap demikian. Polis harus mempelajari apa yang berlaku dalam kebangkitan rakyat di Mesir, Syria dan Negara Timur Tengah yang lain, rakyat bangkit kerana kezaliman pemerintah yang memperkakaskan instituisi kepolisian untuk terus kekal berkuasa.
Seorang pejuang rakyat di Mesir memberitahu saya, “kalau dulu polis mengejar kami tetapi kerana kebangkitan rakyat terhadap keganasan polis selama ini, kami pula mengejar polis!”
Ada juga yang menceritakan polis lari lintang pukang sambil buka uniform kerana takut dicari oleh rakyat yang tertindas selama ini dengan keganasan polis. Alangkah baiknya Ketua Polis bertafakur sejenak dan mencari-cari satu ketenangan atau berdoa di hadapan Kaabah supaya jadilah dia orang yang benar-benar menjaga ketenteraman awam yang bergantung kepadanya dan jauhi dirinya dari menjadi penjilat-penjilat regim yang hanya pandai menggunakan polis untuk kepentingan politik sempit mereka.
Polis juga harus sedar bahawa selalunya polis juga dikambing-hitamkan dalam beberapa keadaan apabila kerajaan nazak terdesak dan sebaliknya tidak mungkin berlaku. Untuk selamatkan maruah polis dari menjadi mangsa dikambing-hitamkan , wajarlah polis bersikap professional, bermaruah dan menghormati hak asasi manusia ketika melakukan penahanan.
No comments:
Post a Comment