BESAR keberangkalian semacam ada standing order atau perintah tetap (tak pasti sama ada dalam bentuk lisan atau bertulis) daripada pemimpin Umno berautoriti kepada pihak media seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan TV3 supaya meninjau apa sahaja kenyataan, ucapan, ceramah malahan juga perbuatan yang dilakukan oleh pemimpin oposisi agar ia dapat diterjemahkan, diolah, diputarbelitkan dengan tujuan mendiskredit parti oposisi dan pemimpin mereka dengan cara yang agak kelakar tetapi dalam masa sama cukup menjijikkan.
Mengutip beberapa petikan ayat sana sini daripada pemimpin oposisi dan kemudian memandaimandai menokok-nambah dan menggunakan logik bodoh bukanlah cara terbaik untuk memancing kepercayaan rakyat.
Contoh logik bodoh terbaru ialah berdasarkan kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mengusulkan agar Mat Indera diiktiraf secara rasmi sebagai pejuang kemerdekaan.
Maka deduksi yang dibuat oleh media berkenaan adalah, ‘oleh itu Mat Sabu adalah seorang komunis’. Dan deduktif itu diperkembangkan lagi dengan dah PAS pulak sebuah parti yang menyokong sama ada PKM atau mungkin juga dimaksudkan menyokong fahaman komunisme.
Kecuali segelintir manusia yang sukar untuk difahami minda jenis apa yang mereka miliki, bukan mudah untuk mengkhadam deduksi yang cukup kelakar, dangkal dan daif seperti ini. Anda tak perlu menamatkan persekolahan Darjah 6 bagi memahami betapa tidak logiknya deduktif seperti ini. Ia ibarat jika seorang rakyat Malaysia beragama Islam mengkagumi kemahiran Yossi Benayun, pemain tengah Arsenal (yang dipinjamkan oleh Chelsea), maka oleh itu si rakyat berkenaan adalah penyokong Gerakan Zionisme.
Namun, dalam persekitaran media sebagaimana yang ditakrif dan diamalkan media Umno-BN, taktik propaganda murahan ini sudah menjadi sesuatu yang lumrah dan mendapat pengiktirafan oleh pemilik dan sidang editorialnya sebagai bukan sahaja sebagai prinsip panduan tetapi merupakan satu prinsip piawaian yang perlu dipatuhi dalam keadaan apa sekalipun.
(Umum sendiri telah melihat bagaimana isu Surau Al-Musyrikin telah didramatasikan menerusi pro duksi yang lengkap dengan prop berupa sepanduk dan seba- gainya supaya kelihatan seperti sebuah klip video berita yang autentik.
Dan umumnya juga telah melihat bagaimana hukum Tuhan sanggup digambarkan dan diperlekehkan menerusi lakaran kartun muka depan akhbar).
Justeru, bukanlah sesuatu bersifat fenomena jika akhbar Melayu yang suatu ketika dulu diyakini kebenarannya oleh kebanyakan orang Melayu dan siaran berita dari sebuah rangkaian TV kehilangan semakin banyak audien pembaca/penonton.
Walaupun gelagat media yang dikatakan itu melucukan, apa yang lebih tragik tetapi tidak kurang melucukan seperti membaca drama Comedy of Errors (bermaksud ‘Kelucuan Akibat daripada Kesilapan’) karya William Shakespeare (jangan pulak nanti ada pihak yang mengatakan saya melanggan kepada agama Kristian kerana Shakespeare adalah seorang beragama Kristian), ialah hakikat betapa hasrat untuk mengampu dan mempamerkan kononnya kehandalan sebagai alat propaganda Umno-BN tetapi sebaliknya mengakibatkan pemimpin Umno terkapar-kapar untuk terpaksa menjawab atau mengeluarkan kenyataan bagi menyokong apa sahaja yang telah diputarbelitkan oleh media berkenaan.
Contoh terkini ialah kenyataan Menteri Besar Johor merangkap Ketua Perhubungan Umno Negeri yang terpaksa berputar 360 darjah bagi menyangkal kandungan buku Pengukir Nama Johor yang turut menyenaraikan Mat Indera.
Kenyataan Dato’ Abdul Ghani Othman nampak begitu berbelitbelit. Perkataan ‘pengukir’ dalam judul buku yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor itu tentulah membawa konotasi kepahlawanan atau mereka yang telah memberi jasa. Kalau dah tahu seseorang itu petualang negara nak buat apa sibuk-sibuk dan bersusah payah turut menyenaraikan Mat Indera sebagai antara 22 nama yang terpenting dan mengukir nama atau keharuman negeri Johor.
Kasihan Abdul Ghani kerana terpaksa tertangkap dalam keadaan seluar yang terlondeh.
Andai kata bola kristal Umno Johor sudah awal-awal lagi menujumkan suatu ketika nanti seorang pemimpin PAS akan membuat kenyataan berdasarkan buku tersebut dan media Umno- BN tersilap langkah dengan cuba mengaitkan PAS dengan fahaman komunisme dan gerakan gerila bawah tanah PKM, sudah tentu beliau sudah mengarahkan agar nama Mat Indera dikeluarkan daripada senarai mereka yang mengukir nama negeri Johor dalam buku tersebut.
Kini, kerosakan besar telah pun berlaku dan kawalan kerosakan atau damage control yang cuba diusahakan oleh Umno dan ajen-ajen mereka sama ada dengan penghujahan di ruang maya, di media milik Umno-BN serta mereka yang membuat laporan polis sudah tidak berguna lagi.
Sekiranya media tersebut tidak memilih untuk memutarbelitkan ceramah Mat Sabu dan tidak mengekstrapolasikan dengan merumuskan Mat Sabu dan PAS penyokong komunis, maka tidak ada siapa yang mahu mengkaji semula kebenaran sejarah yang berlaku - ‘sejarah atau penulisan sejarah’ - meminjam judul entri terbaru blog Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen Parit Buntar.
Setelah pengampuan media berkenaan menjadi kesilapan besar (tetapi tidak diakui), tiba-tiba sahaja begitu ramai orang yang melayari apa sahaja laman web mengenai perihal Mat Indera (dan juga pejuang kemerdekaan bukan- Umno lain terutama yang dipancung dan dilabelkan oleh British sebagai petualang).
Ketika kolum ini ditulis, enjin pencari Google misalnya menyenarikan 874,000 laman web di bawah nama Muhammad Indera dan 358,000 di bawah nama Mat Indera. Pelbagai pihak tampil bukan sahaja memberikan ulasan tetapi juga memuat-naikkan pelbagai bahan dan fakta sejarah yang selama ini tidak pernah ditulis dalam mana-mana buku sejarah Malaysia. Meninjau laman sosial FB, mereka yang turut serta berbincang atau memberikan komen adalah generasi baru rakyat Malaysia yang dilahirkan selepas Merdeka.
No comments:
Post a Comment