SERANGAN Umno terhadap Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu hanyalah taktik jahat Umno untuk mengelabui mata rakyat di negara ini. Umno cuba menanamkan persepsi buruk bahawa PAS kini menyokong komunis.
Realitinya tidak begitu. Dalam ucapan Mohamad Sabu di Kg Manora Pulau Pinang, tiada maksud yang membawa ke arah itu. Umno dengan sengaja membesarkan isu ini untuk menangguk di air keruh.
Komunisme adalah satu fahaman internasional. Peleburan pemberontakan di Malaya tidak akan bererti bahawa faham itu akan hancur. Ini kerana faham itu bercorak internasional.
Apa lagi faham itu timbul dan lahir dari kemelaratan dalam masyarakat, akibat ia lahir dari masyarakat, dari kemelaratan masyarakat, maka ia harus dibasmi dengan pengetahuan kemasyarakatan pula, bukan dengan pengetahuan ketenteraan, bukan dengan kekerasan senjata.
PAS menyifatkan faham komunis bercanggah dengan Islam. Islam dan komunisme tidak dan tidak akan dapat disesuaikan.
Tetapi ini tidak pula bererti bahawa PAS tidak mempunyai sikapnya sendiri terhadap masalah komunisme dan terhadap masalah pemberontakan Parti Komunis Malaya (PKM).
PAS menganggap komunis adalah satu penyakit dalam masyarakat, satu penyakit yang lahir dari kemelaratan dan kesengsaraan dalam masyarakat kita sendiri.
Oleh kerana itulah PAS menghendaki penyelesaian aman damai kepada soal komunisme, menghendaki agar ideologi komunis itu ditentang dengan aman, demi kepentingan keamanan dan kesejahteraan rakyat Malaya sendiri.
Selama lapan tahun peperangan membasmi komunisme di Malaya telah dijalankan penjajah, dengan corak penjajah.
Masanya telah tiba sekarang untuk menyelesaikan soal itu, dengan cara rakyat, dengan corak rakyat, kata Dr Burhanuddin dalam ucapannya "Memperjuangkan dan mengisi kemerdekaan."
Seluruh dunia bergerak berikhtiar menegakkan keamanan dan perdamaian. Konferensi Afro-Asia di Bandung menjadi titik sejarah dalam perjuangan manusia untuk menegakkan keamanan dan perdamaian.
Tenaga-tenaga manusia yang mengingini, yang mencintai keamanan, yang mencintai demokrasi, dan yang mencintai kesejahteraan umat manusia, makin kuat dan makin kukuh, Malaya dan rakyatnya harus memberikan sumbangan kepada usaha maha besar, kepada tugas maha suci untuk menegakkan keamanan dan perdamaian dunia.
Dan bagaimanakah dapat kita memberikan sumbangan itu kalau kita sendiri tidak dapat memecahkan soal rumah tangga kita sendiri secara aman dan damai? Itulah sikap PAS ketika itu.
Cara memecahkan dan menyelesaikan satu-satu problem, satu-satu kerumitan yang dihadapi oleh umat manusia tidak lagi berdasarkan kekerasan, tidak lagi berdasarkan senjata atom, kereta kebal, senapang dan mesingan.
Segala kesulitan kerumitan dan kekusutan dunia, kesulitan dan kerumitan dan kekusutan umat manusia kini dipecahkan dan diselesaikan di meja perundingan, dengan bertolak ansur, dengan hormat-menghormati sikap dan pendirian satu sama lain.
Jalan kekerasan tidaklah lagi jalan yang sesuai untuk menyelesaikan segala soal hidup manusia.
PAS menentang kekerasan kerana kekerasan adalah bertentangan dengan dasar dan ideologi PAS. Perjuangan kemerdekaan tanah air akan diteruskan oleh PAS dengan jalan aman dan damai, dengan jalan perlembagaan.
Dan PAS juga tidak merasa dan tidak mensifatkan dirinya sajalah yang mempunyai kesanggupan, yang mempunyai kelayakan, yang mempunyai tenaga dan kebijaksanaan untuk berjuang mencapai kemerdekaan dan kedaulatan bangsa dan tanahairnya.
PAS tidak merasa dan tidak mensifatkan dirinya sajalah yang berkewajipan memikul tugas suci kemerdekaan, bangsa dan tanah airnya kerana itu adalah tugas rakyat bersama.
Dr Burhanuddin pernah menegaskan, penjajahan adalah bercorak internasional, satu gergasi yang pengaruh dan kekuatan nya dirasakan di seluruh dunia. Kerana itu penjajah tidak boleh ditentang hanya dengan tenaga satu golongan saja, satu parti saja tetapi sebaliknya hanya dengan tenaga-tenaga anti-imperialis seluruh dunia, tenaga-tenaga anti-imperialis seluruh masyarakat.
Oleh kerana itulah PAS sanggup bekerjasama dengan siapa saja golongan, apa saja parti, apa saja aliran dalam masyarakat atas dasar kepentingan kemerdekaan bangsa dan tanah air.
No comments:
Post a Comment