Oleh Chung Hosanna
Seperti ramai pekerja yang sebaya dengannya, Johan (bukan nama sebenar) tidak mampu membeli rumah. Johan dan teman wanitanya sedang merancang untuk berkahwin, mereka mengharapkan bantuan kedua-dua ibu bapa untuk memberi sedikit sumbangan kepada bayaran muka rumah pengantin baru. Jika tidak, mereka perlu terus menyewa.
Yang jelasnya, satu keajaiban diperlukan untuk mengangkat tahap ekonomi berjuta-juta rakyat jelata Malaysia. Menjelang pilihan raya umum ke-13, Pakatan Rakyat perlu mengambil langkah yang radikal dalam Bajet Alternatif yang bakal diumumkannya.
Bajet Alternatif 2012 menumpu kepada cara terbaik untuk memaksimakan ringgit kita.
Kerajaan boros menghabiskan duit rakyat
Rakyat biasa seperti Johan rata-rata mengalami kehidupan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, sementara kerajaan terus berbelanja boros, mengakibatkan keadaan ekonomi negara semakin tenat.
Menurut pusat penyelidikan REFSA, 2011 merupakan tahun ke-13 berturut-turut di mana kerajaan terlebih belanja, istilah sebenar keadaan tersebut digelar “defisit”.
Sebenarnya, sejak tahun 1969, kerajaan hanya pernah mengumumkan lima bajet lebihan (positif) – kesemua bajet yang lain merupakan bajet defisit. Dalam ertikata lain, Kerajaan BN selalu membelanjakan lebih daripada pendapatannya.
Jumlah keseluruhan wang yang terlebih belanja oleh kerajaan kini ditakrifkan sebagai lebih kurang RM290 billion, iaitu kira-kira RM10,000 untuk setiap rakyat Malaysia.
Walau bagaimana pun, apakah impak yang dirasai oleh rakyat jelata? Tidak seberapa. Ke manakah duit kita dibelanjakan?
Perbelanjaan berhemat untungkan rakyat
Pakatan Rakyat percaya bahawa tumpuan harus ditukar dari fokus “perbelanjaan” kepada tumpuan “nilai” setiap ringgit yang dibelanjakan. Bagi memaksimakan nilai ringgit kita, PR komited untuk mengurangkan perbelanjaan yang tidak patut, di samping mengelak pembaziran.
Baru-baru ini negara dikejutkan dengan berita bahawa Kementerian Pelancongan sanggup membelanjakan RM1.8juta untuk sebuah laman web Facebook percuma. Laporan Audit Negara juga mendedahkan perbelanjaan boros RM42,320 untuk sebuah komputer riba – mungkin harga yang paling mahal dalam dunia!
Sebaliknya perbelanjaan di negeri-negeri yang diperintah oleh PR mementingkan ketelusan dan nilai setiap perbelanjaan harus berbaloi.
Majalah The Economist telah memuji pentadbiran Pulau Pinang yang merekodkan bajet berbaki lebihan sejak PR mengambil-alih tampuk kuasa pada 2008, menyebabkan penjimatan kos sebanyak RM20 juta setahun.
Pada 2011, kerajaan negeri Selangor telah meningkatkan rizab tunai negeri kepada RM1.1billion, rekod terbaik yang pernah dialami negeri tersebut. Kedah juga telah meningkatkan pendapatan negeri sejak 3 tahun pemerintahan PR.
Mementingkan rakyat, bukan projek
Teras utama Bajet Alternatif 2012 adalah untuk memperkasakan rakyat Malaysia dan memberi kesejahteraan kepada semua golongan.
Untuk memastikan perbelanjaan bajet menjanjikan nilai untuk setiap ringgit, bajet alternatif memberi tumpuan kepada projek yang memanfaatkan rakyat, bukan kroni.
Memandangkan kelembapan ekonomi, jumlah perbelanjaan akan dikekalkan pada tahan RM220 billion. Tetapi perbelanjaan berkesan (effective spending) akan ditingkatkan sebanyak 20%.
Justeru, polisi yang berani perlu diambil. Contohnya penjimatan boleh dibuat dengan membuang projek besar yang menguntungkan kroni. Manakala hasil penjimatan boleh disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
Orang kaya perlu subsidi?
Polisi sedia ada tentang subsidi mempunyai banyak kekurangannya. Kerajaan membelanjakan kira-kira RM25 bilion setahun untuk membiayai kos subsidi. Iaitu lebih kurang RM2,000 sebulan untuk 1 juta isi rumah termiskin. Tetapi, mengapa rakyat masih dibelenggui kemiskinan?
Kebanyakan daripada RM25 bilion ini dihabiskan untuk subsidi sejagat, yang cenderung menyebelahi orang kaya daripada orang miskin.
Contohnya, pemandu kereta Porche lebih mendapat manfaat daripada subsidi minyak, berbanding dengan pemandu Proton Saga. Selain minyak, tepung, gula, dan barang-barang lain disubsidikan untuk semua rakyat tidak mengira tahap pendapatan.
Untuk memanfaatkan orang yang memerlukan, subsidi harus disalurkan terus kepada orang miskin. Menurut anggaran PR, jika susidi disalurkan dengan terus, 1 juta isi rumah termiskin bakal menerima RM25,000 setahun.
Sistem kebajikan yang lebih berkesan harus diamalkan. Selain daripada membekalkan pendidikan dan kemudahan kesihatan kepada rakyat, kerajaan harus menyediakan tahap kehidupan asas kepada semua rakyat –terutama dalam iklim ekonomi yang semakin memudaratkan.
Bajet alternatif berusaha memastikan bahawa setiap rakyat Malaysia layak menikmati tahap kesejahteraan, walau miskin atau kaya.
Duit anda, anda belanjakanlah!
Fokus Bajet Alternatif kali ini kemungkinan melibatkan dasar tender terbuka untuk meningkatkan produktiviti, memupuk kecemerlangan perkhidmatan awam dan mengurangkan karenah birokrasi, mengkaji semula konsesi yang berat sebelah untuk meningkatkan daya saing, cadangan untuk projek perumahan “bina, baru jual”, serta desentralisasi fiskal.
Bajet Alternatif 2012 bakal menjadi dokumen polisi unik yang mempamerkan solidariti parti-parti Pakatan Rakyat. Ia juga melambangkan keyakinan parti-parti PR terhadap Dasar Bersama PR.
Kejayaan ini hasil kerjasama parti komponen yang masing-masing memegang pelbagai ideologi ekonomi untuk mencapai persetujuan tentang sebuah dokumen sepenting belanjawan negara.
Perpaduan PR semakin kukuh selepas perjuangan Bersih 2.0, mendorong PR kini mengembangkan idea-idea di dalam Buku Jingga dan mengambil langkah awal menggubal polisi seakan-akan ia menjadi kerajaan.
Menjelang pilihan raya, penyatuan menjadi sasaran utama gabungan PR. Rakyat perlu ketepikan isu remeh serta isu emosi yang tidak akan membantu kewangan keluarga dan masyarakat.
Sudah tentu para pengundi yang sedang memerhatikan Pakatan Rakyat amat mengalu-alukan pembaharuan ekonomi yang PR bawakan kerana Najib telah gagal melaksanakan apa yang dijanjikannya selama ini. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment