Oleh Adil Mat Selamat
Bezanya kali ini, Jawatankuasa Inkues tidak mengklasifikasikannya sebagai bunuh diri, barangkali oleh kerana logik bunuh diri bagi orang Islam itu sukar diterima oleh masyarakat dan keluarga, maka kematian arwah Sarbini dianggap sebagai mati mengejut.
Apa-apa maksud dalam kedua-dua kes itu belum dapat digarap sepenuhnya oleh kalangan orang yang rasional akal fikiran.
Dalam kes Ahmad Sarbaini, mungkin bunyinya begini, secara teknikalnya, Allahyarham mati kerana jatuh dari tempat yang tinggi. Tergantung sekali kenyataan hasil dari siasatan ini.
Contohnya, mati kerana sakit jantung atau mati kerana dilanggar kereta pada hakikatnya hanya menunjukkan punca kematian, bukannya sebab dan motif.
Pesakit jantung boleh mati jika tidak makan ubat atau kerana gangguan-gangguan lain sama ada secara mengejut atau tidak. Begitu juga dengan kematian yang melibatkan kemalangan jalan raya.
Yang menjadi persoalan, bagaimana dan mengapa ia berlaku, dan apa rentetan peristiwa itu berlaku.
Satu lagi contoh, kapal terbang tidak akan terus menjunam jatuh hanya kerana satu skru tercabut atau hanya kerana cuaca. Ada banyak faktor yang mana gabungan faktor-faktor ini kemudiannya membentuk satu krisis, baik secara teknikal mahu pun secara prosedur keselamatan yang akhirnya menjadi pendorong berlakunya bencana atau malapetaka.
Skop siasatan, bukan takdir.
Mutu penyiasatan, kaedah penyiasatan dan motif penyiasatan haruslah telus dan jelas. Yang menyiasat, yang menilai, yang menganalisa ini adalah satu badan atau institusi yang terbina atas undang-undang yang sah di sisi Perlembagaan dan atas dukungan keyakinan rakyat. Institusi ini bukan syarikat swasta yang hanya bertanggungjawab kepada sesuatu kelompok sahaja.
SPRM, PDRM dan Mahkamah adalah institusi yang memberi perlindungan kepada semua insan. Operasi setiap badan-badan ini harus bermutu. Dengan maksud lain, proses kerja dan hasil kerja badan-badan ini mesti bagus.
Tiada pilihan untuk sekadar melaksanakan kerja, tanpa mengambil kira tahap professional dan hasil kerja yang jelas ada justifikasinya.
Bayangkanlah jika SPRM menyiasat sesiapa jua suspek kes rasuah dengan mengikut standard operating procedure (SOP) yang benar dan betul. Pasti tidak akan berulang kes-kes sebegini.
Bayangkan pula jika pihak PDRM di semua tempat dan semua pihak, menyiasat siapa pun, juga dengan cara yang profesional dan ikhlas, risiko terjadinya kematian di dalam tahanan polis akan kecil, malah mungkin hampir mustahil akan terjadi.
Bayangkalah pula jika mahkamah atau apa-apa jawatankuasa inkues kematian bagi kes-kes seperti ini, ditubuhkan bukan sekadar hendak menentukan secara teknikal mengapa mangsa mati, sebaliknya menyiasat secara komprehensif termasuk motif dan rentetan bagaimana hal seperti ini terjadi.
Sudah tentu ia akan melibatkan kerjasama dari semua pihak, baik pihak SPRM sendiri, unit sains forensik PDRM dan saksi-saksi dalam kejadian tersebut.
Menyoal doktor untuk memastikan si mangsa mati kerana pecah kepala atau tertelan biji nangka samalah dengan merendah-rendahkan intelek kita. Seolah-olah, kita diajar menerima sesuatu takdir itu kerana ia satu suratan nasib. Terimalah dengan redha tanpa banyak soal, begitu?
Dalam dunia yang serba fakta dan rasional, tiada tempat untuk sesuatu kejadian itu berlaku tanpa sebab yang wajar. Ini bukan fenomena alam yang memerlukan kumpulan saintis menunggu 20-30 tahun untuk mengkaji dan mengesahkannya.
Cabaran sebenar kita dalam kes seperti adalah kewibawaan baik pihak Jawatankuasa Inkues atau mana-mana Suruhanjaya DiRaja yang ditubuhkan termasuklah badan kehakiman/mahkamah, PDRM dan SPRM harus segera direformasikan. Begitu jugalah dengan Suruhanjaya Pilihanraya SPR, kebanyakkan institusi kita sudah semakin hilang kewibawaan. Maka untuk melaksanakan reformasi ini, kerajaan baru harus segera dibentuk.
Kita tidak sanggup untuk menanggung kos kesilapan dan kecuaian yang dibuat oleh institusi dengan nyawa rakyat lagi. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment