" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Wednesday, September 21, 2011

Mengapa Najib terpaksa mansuh ISA?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Banyak pihak menyifatkan pengumuman Datuk Seri Najib Razak untuk memanhttp://media1.malaysiakini.com/29/f847ec23e41b5f6f20bba87fc9ab222b.jpgsuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada "malam bersejarah" 16 September lalu umpama peribahasa Inggeris, "old wine in new bottle", namun saya tetap memilih untuk merakamkan tahniah dan penghargaan.

Yang pasti, ucapan terima kasih itu bukan buat Najib (yang mewarisi kezaliman tahanan tanpa bicara sejak zaman berzaman, daripada era Tunku Abdul Rahman, 1960 dan makin diperketatkan terutama oleh Dr Mahathir Mohamad) tetapi sekalung tahniah buat ribuan pejuang kebebasan yang sebahagian besarnya menderita dikurung ISA, termasuk generasi awalan seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy.

Semasa ramai bersikap skeptikal sambil menunggu (sebelum membuat ulasan) untuk melihat draf dua undang-undang baru yang disifatkan Perdana Menteri "untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memeliharan ketenteraman dan keselamatan awam", saya tanpa ragu menyifatkan tindakan terdesak Najib - yang sarat dengan motif politik itu - berpunca daripada siri tekanan berterusan, yang tidak mampu lagi dipikul pemerintah. Akhirnya terpaksa akur dengan perjuangan hak asasi rakyat.

Maka, benarlah seperti kata Azmin Ali, Timbalan Presiden KeADILan, pengumuman Najib itu bukannya suatu kurnia pemerintah kepada rakyat sempena Hari Malaysia, "... sebagaimana kita tidak memberikan tahniah kepada British kerana memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 tetapi tarikh tersebut kita rayakan sebagai kemuncak kejayaan perjuagan menentang penjajahan."

Najib sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan. Sekiranya bukan difaktorkan oleh tarikh pembubaran Parlimen yang semakin dekat, dan keghairahan untuk mengutip sokongan atas tindakan populis itu, gelombang pendemokrasian yang menjadi trend global tetap mengasaknya, apatah lagi kesedaran masyarakat terhadap isu-isu hak asasi semakin menebal.

Pada hemat saya, kalaupun ISA tidak dimansuhkan, penggunaannya semakin terbatas. Selain momokan memerangi keganasan, akta rimba itu kian sukar untuk diperalatkan bagi berdepan dengan seteru politik Umno. Maknanya, ISA yang telah menjadi beban politik sejak sekian lama kepada pemimpin BN, tetapi "bertambah sukar" untuk dimanipulasikan. Justeru, daripada menanggung "biawak hidup" tanpa mendapat sebarang keuntungan politik, lebih baik sahaja dimansuhkan sahaja.

Selepas tahanan borong membabitkan aktivis reformasi, seperti Saari Sungip dan Hishamuddin Rais, lebih kurang 10 tahun lalu, yang menerima penentangan hebat daripada masyarakat, rasanya, yang membabitkan tokoh politik hanya pemimpin kanan DAP, Teresa Kok, yang juga Ahli Parlimen Siputeh dan anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, yang dikurung ISA pada 12 September 2008; itu pun hanya selama seminggu. Turut ditahan bersamanya adalah pengendali laman Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng. Tan sekadar ditahan selama sehari.


Dari sisi lain, Perdana Menteri terpaksa mengalah dengan suara rakyat, suara keramat yang menggemakan kebenaran luhur. Politik baru yang muncul secara ketara pada akhir 1990-an, yang ditandai dengan laungan reformasi di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, tidak mampu disekat lagi. Zaman rakyat termakan dengan gula-gula politik sudah berlalu.

Suara rakyat itu dizahirkan secara jelas dan lantang dalam rangkaian demonstrasi besar-besaran, bermula dengan perhimpunan aman Bersih 1.0, menuntut sistem pilihan raya yang bersih dan adil pada 10 Oktober 2007, disusuli perarakan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 7 Mac 2009, seterusnya diikuti tuntutan pemansuhan ISA pada 1 Ogos 2009 dan terkini, 9 Julai 2011, Bersih 2.0 menggemparkan negara.

Tanpa bantahan berterusan rakyat, yang direncanakan secara sistematik oleh pihak penganjur, melibatkan semua lapisan kaum - yang pastinya menagih pengorbanan dan komitmen cukup tinggi - regim pemerintah tentu tidak semudah itu untuk memenuhi tuntutan prodemokrasi.

Amaran, ugutan, tembakan gas pemedih mata, pancutan air, gari, sepak-terajang polis dan tangkapan langsung tidak memudarkan semangat, malah membekal azimat demi kelangsungan perjuangan.

Dalam konteks penentangan terhadap ISA, inisiatif parti-parti politik pembangkang dan masyarakat sivil, khususnya dengan penubuhan NGO tertentu seperti Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), tidak pernah kendur. (Secara peribadi, saya tetap mengenang Assyahid Ibrahim Libya yang terkorban bersama 13 anak muridnya di Memali pada 19 November 1985 sebagai tokoh penentang ISA terulung, yang tidak bersedia dikurung tanpa bicara, malah bersedia menggadaikan nyawanya). Demonstrasi raksasa 1 Ogos 2009 hanya salah satu acara kemuncak. Selain itu, mereka tetap istiqamah untuk "lawan tetap lawan".

Jika tidak "diasak ke dinding" atau bukan kerana tersepit dengan kemungkinan kehilangan kuasa dalam PRU13 nanti, saya yakin Najib dan rakan-rakannya dalam BN langsung tidak tercuit dengan sebarang idea transformasi politik. Selagi boleh ditangguhkan agenda perubahan itu, BN akan terus "bersilat lidah" menabur umpan dan janji manis.

Nota ringkas ini bertujuan merakamkan sejuta penghargaan dan tahniah buat semua pihak yang terbabit berjuang tanpa mengenal lelah sehingga ISA dimansuhkan. Persetankan segala sanggahan Najib dan sepupunya, Hishammuddin Hussein, yang berusaha mempertahankan kesombongan daripada mengakui hakikat bahawa pemansuhan itu adalah kejayaan rakyat.

Apa pun, SMS rakan saya petang Jumaat lalu agak menarik: "Selamat tinggal ISA, selamat datang GST. Orang Umno marah betul Najib umum mansuh ISA, nampak sangat dekat PRU13. Kisah tuntutan mansuh ISA perlu didokumentasikan sebab 20 tahun lagi Umno akan dakwa mereka yang berusaha mansuhkan ISA."

Seorang lagi teman memberi respons: "Itu tandanya pembangkang kena kuat dan mengasak, barulah berlaku perubahan."

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111