Oleh RAYUSA
JANGGAL apabila rakyat diminta menghormati serta mengamalkan Perlembangaan Persekutuan, tetapi masa sama pemimpin negara mencabulinya! Bukti terbaharu, apabila Kerajaan Umno-BN meluluskan Akta Perhimpunan Aman 2011 walaupun ditentang oleh Pakatan Rakyat semasa masih dalam peringkat rang undang-undang lagi.
Perkara 10 Perlembagaan menjamin hak rakyat berhimpun secara aman, tetapi Kerajaan Umno-BN menggubal satu lagi akta yang lebih menyekat hak tersebut.Ironisnya, saranan menghormati, dan mengamalkan Perlembagaan itu terkandung dalam matlamat pertama Perhimpunan Penulis Muda Nasional III (PPMN III) pada 16 hingga 18 Disember lalu, iaitu menjadikan sastera kebangsaan sebagai medium utama untuk melangsungkan tradisi kepengarangan negara dengan mengangkatnya sebagai medium, wacana, dan pemikiran dalam menjelaskan isu-isu semasa ke arah pengukuhan masyarakat yang saling menghormati, dan mengamalkan Perlembagaan.
Nah, anak muda, khususnya yang menjadi penulis turut dilibatkan!
Tiga matlamat lain ialah membina keperibadian, kreativiti, dan kebijaksanaan pengarang muda agar sentiasa aktif dalam menjawab persoalan yang meliputi kesusasteraan dan bukan kesusasteraan; membentuk kesatuan dan makna diri penulis generasi baharu dalam soal prinsip dan cita-cita pengkaryaan/penulisan demi kepentingan bersama yang lebih luas; dan meningkatkan keupayaan untuk penghasilan karya kreatif yang bernas kepada masyarakat sebagai satu kesinambungan dalam tradisi kesusasteraan/persuratan Melayu.
PPMN III di Akademi Kenegaraan, Jalan Bellamy, Kuala Lumpur itu adalah kesinambungan PPMN I di Tanjung Piai, Johor (2005), dan PPMN II di Ayer Keroh, Melaka (2009) yang menghimpunkan pengarang muda di Malaysia.
Bertemakan Pengukuhan Makna Diri Pengarang Muda, PPMN III anjuran bersama Persatuan Penulis Nasional (PENA), Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), DBP, Percetakan Nasional Malaysia Berhad, dan Biro Tata Negara Malaysia itu juga bertujuan melihat perkembangan dunia kesusasteraan, cabaran masa kini, dan fungsi pengarang muda.
PPMN III yang menghimpunkan kira-kira 150 peserta itu dirasmikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak serentak dengan sambutan ulang tahun ke-50 PENA pada 16 Disember di Hotel Intercontinental, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Keterlibatan Najib dalam PPMN III amat menarik perhatian. Beliau dan kepimpinannya yang ditolak majoriti anak muda, secara tersirat cuba memikat kembali golongan tersebut apabila menganugerahkan dana RM5 juta untuk penerbitan buku, terutama karya asli penulis muda tanah air walaupun wang itu masih entah di mana!
Dana itu diberikan secara berperingkat, iaitu RM3 juta pada tahun ini, dan selebihnya pada tahun depan menerusi ITNM. PENA sendiri memperoleh RM1 juta.
Namun, boleh disimpulkan dana itu adalah ‘umpan’ PRU13!
Ucaptama PPMN III, Pengarang Muda dan Makna Diri disampaikan oleh Profesor Md Salleh Yaapar pada 17 Disember.
Antara makalah yang dibentangkan termasuklah Materialisme, Islam dan Nilai Kesusasteraan: Satu Penelitian Terhadap Novel-novel Popular Islami Terbitan PTS Sdn Bhd berdasarkan Persuratan Baru oleh Dr Zariat Abdul Rani, Risalah Tarbiah dalam Tradisi dan Pengalaman Kepengarangan Islam sebagai Teras Pemikiran dan Pengucapan: Penelitian Terhadap Pengarang Muslimah Mutakhir Pilihan (Dr Kamariah Kamarudin), Pengisian Dasar Kebudayaan Kebangsaan Menuntut Keprihatinan Penulis Muda (Mohd Arif Atan), Cabaran Naratif Melayu Baharu Generasi Milenium (Ariff Mohamad), dan Pandangan Jagat Penulis Muda Mendepani Dunia Baharu (pemenang Anugerah Penulisan SEA 2011, SM Zakir).
Sementara itu, lapan resolusi PPMN III yang dibentangkan Pengarah PPMN III, Muhammad Lutfi Ishak sebelum Presiden PENA, Dr Mohammad Saleeh Rahamad berucap menutup program termasuklah memanfaatkan nilai sejagat sebagai teras pemikiran dan pengucapan dalam pengkaryaan selaras dengan Islam sebagai teras utama Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK), Kerajaan Malaysia mesti mewartakan DKK dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai satu manifestasi kerangka kebudayaan yang jelas, menerima nilai-nilai asing yang tidak melanggari Islam dan Perlembagaan Persekutuan bagi memperkukuhkan perpaduan masyarakat, Kementerian Pelajaran Malaysia perlu memartabatkan sastera kebangsaan dalam sistem pendidikan negara dengan memberi penekanan seimbang antara aliran sastera dengan sains.
No comments:
Post a Comment