Oleh Nobisha
Menteri Kewangan Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengumumkan kerajaan tidak akan membentangkan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) di Parlimen untuk bacaan kedua kerana ingin mendapatkan input rakyat. Katanya, kerajaan telah mendapat input dari sektor swasta dan rata-rata pandangannya adalah positif walaupun ada beberapa badan yang mengkritik.
Saya mengenali Husni sebagai seorang pemimpin yang pintar dan menyifatkan keputusan tersebut sebagai baik. Pada masa yang sama, saya mempersoalkan mengapakah kerajaan hendak mendapatkan input awam pada tahap ini. Sepatutnya input awam diperolehi sebelum GST dibawa ke Parlimen
Saya pernah mengatakan ada keperluan untuk kerajaan adakan pertemuan ala “town hall meeting” bagi mendengar pandangan rakyat. Berikan peluang kepada mereka bersuara secara langsung. Melalui pertemuan begini, kerajaan boleh mendengar pandangan awam. Apabila mengetahui apa yang ada yang ada di fikiran rakyat, kerajaan boleh melakukan intervensi dan modifikasi sesuatu cadangan. Saya fikir ini tak sukar dilaksanakan. Entah kenapa ia tidak dilaksanakan, saya tak pasti. Pemimpin politik kita lebih suka mengadakan sesi penerangan dan taklimat yang bersifat satu hala.
Seperkara lagi, saya melihat ada satu keghairahan untuk bergantung kepada pendapat konsultan dalam menguruskan isu. Kritikan saya terhadap konsultan ini ialah mereka mereka tidak mempunyai “political sense”. Kerajaan tidak boleh diuruskan seperti syarikat swasta dengan hanya mendapatkan input melalui makmal!
Betulkan sekiranya saya silap. Hampir kesemua konsultan kerajaan hari ini tidak mempunyai latarbelakang perkhidmatan awam. Saya tak pasti berapa ramai konsultan di sektor awam mempunyai latarbelakang polisi awam. Menguruskan kerajaan dan organisasi swasta adalah dua perkara yang berbeza. Dalam sektor swasta, “boss” ialah pemegang saham. Dalam sektor awam, “boss” sebenar ialah rakyat; bukannya anggota kabinet atau pegawai kanan kerajaan.
Sektor awam adalah monopolistik. Sektor swasta (sebahagian besar organisasi) tidak begitu. Seseorang yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan sebuah organisasi swasta boleh berpindah ke organisasi lain. Bagaimanapun, rakyat yang menggunakan perkhidmatan sesebuah jabatan kerajaan tidak boleh berbuat demikian begitu. Suka tak suka mereka terpaksa pejamkan mata dan pekakkan telinga. Akhir sekali, mereka melepaskan rasa tidak berpuas hati dalam pilihanraya.
Pada masa yang sama, pegawai-pegawai kerajaan pula janganlah menjadi pak angguk saja dan “saya yang menurut perintah.” Saya yakin pegawai kerajaan lebih mengetahui sektor awam berbanding konsultan; dan atas sebab itulah mereka perlu memberikan input yang jujur kepada sesuatu inisiatif yang dicadangkan. Menteri pula hendaklah lebih membuka telinga kepada pegawai.
Isu GST bukanlah satu-satunya isu di mana kerajaan terpaksa “menekan brek” di tengah jalan. Sebelum ini, kerajaan membatalkan mekanisme penjualan minyak petrol dua peringkat (two-tier pricing) dan program subsidi beras untuk rakyat (SUBUR). Program SUBUR terencat di tengah jalan walaupun ia telah dilancarkan. Pun begitu, saya percaya perkara ini boleh dielakkan sekiranya kerajaan mempunyai satu mekanisme mendapatkan input rakyat pada peringkat idea lagi.
Apa pun, saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mendengar pendapat rakyat (yang disalurkan oleh penyokong kerajaan, pembangkang, melalui media sosial dan lain-lain) walaupun agak terlewat. Sekurang-kurangnya ia membuktikan pemimpin negara tidak tidur. Belajarlah dari pengalaman dan usah biarkan pisang berbuah dua kali!
No comments:
Post a Comment