Namun, sepandai-pandai tupai melompat, geng yang aktif sejak setahun lalu itu akhirnya tumpas selepas tiga daripada mereka termasuk ketua geng berkenaan ditahan, Jumaat lalu.
Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, bertindak atas maklumat awam, Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) mengesan tiga suspek di sebuah pangsapuri di Jalan Pasar Baru, Pudu di sini.
“Ketika serbuan kira-kira jam 6.15 petang, mereka yang berusia antara 38 hingga 55 tahun termasuk ketua kumpulan dikenali sebagai ‘Botak’ sedang menyusun barangan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah pada hari itu.
“Siasatan mendapati semua mereka memiliki pelbagai rekod jenayah lampau antaranya kes senjata api, samun dan dadah serta dua daripada mereka termasuk dalam senarai individu dikehendaki polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Ampang di sini, semalam.
Menurutnya, siasatan juga mendapati geng terbabit bergerak menggunakan dua kenderaan setiap kali memecah masuk rumah yang dijadikan sasaran.
“Suspek menggunakan walkie-talkie untuk berkomunikasi antara satu sama lain dengan satu kumpulan masuk ke dalam rumah manakala satu lagi menjadi pemerhati di luar.
“Mereka hanya mengambil masa kurang dari tiga minit untuk memecahkan pintu rumah dan menggeledah mencari barangan berharga dalam tempoh 10 hingga 20 minit sebelum mencari rumah sasaran seterusnya,” katanya yang mendapati geng ini akan memecah masuk sekurang-kurang tiga rumah setiap hari.
Abdul Jalil berkata, ketika serbuan pihaknya menemui sejumlah besar barangan dan dokumen berharga bernilai hampir RM200,000 antaranya telefon bimbit, kamera, jam tangan, pemain DVD, alat permainan elektronik, hamper, pasport antarabangsa, buku bank, kad kredit, kad ATM dan kad Touch ‘N Go.
“Turut dirampas dua kereta Toyota Vios dan Proton Waja yang dilaporkan dicuri di Pandan Indah dan Kajang serta beberapa keping nombor pendaftaran palsu serta dua set walkie-talkie di dalam kenderaan itu.
“Polis turut menemui pelbagai peralatan yang digunakan untuk kegiatan mereka seperti pahat, gergaji besi dan spanar,” katanya.
Katanya, pihaknya kini memburu sepasang suami isteri yang juga penyewa pangsapuri berusia antara 30 hingga 40 tahun yang juga dipercayai ahli geng terbabit.
“Ketiga-tiga suspek direman mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dipenjara 14 tahun dan denda,” katanya.
No comments:
Post a Comment