" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Sunday, March 21, 2010

Pengusiran Kongres SMM adalah penghinaan!

Sumber
Adik-adik, umat mahasiswa yang dikasihi,

Saya baru balik dari Pesta Buku, lalu singgah di sebuah restoren Jalan Raja Abdullah, Kg. Baru kerana mahu melepaskan ikatan dahaga dan menendang keluar kelaparan daripada kejang perut.


Jalan Raja Abdullah ini, dahulunya dikenali sebagai Jalan Hale adalah tempat berpuaka yang menyaksikan lebatnya pertumpahan darah dan sengketa merah antara Melayu - Cina ketika peristiwa 13 Mei.

Ya, selesai makan-makan di sini, saya menggodam komputer bimbit lalu tercium berita yang menyatakan bahawa tempat kongres kalian telah dipindahkan.

Sejak semalam, ketika meneliti berita itu di Facebook, saya terpinga-pinga, termenung agak lama.

Berita berhubung kongres ini, telah saya ketahui sejak Hilman hadir dalam acara Sesar di bilik mesyuarat Harakah.

"Kita nak buat Kongres Mahasiswa Nasional, 20 Mac ni, nak himpunkan mahasiswa, bincang semula hala tuju kita.

"Mungkin nak buat kabinet mahasiswa seluruh negara. Kita tengok semangat makin perlahan, kena ada 'event', baru timbul balik semangat itu," kata beliau.

Sebetulnya, saya mahu menulis berita itu ketika itu juga, tapi hajat itu saya tunda. Entah kenapa. Saya banyak bertindak mengikut suara hati dalam keadaan tertentu.

Tapi, itulah kali pertama saya mendengar hal kongres ini akan diadakan. Saya andaikan, mungkin saya antara pengamal media yang mendengar kongres ini dibuat.

Kali kedua, saya mendapat tahu mengenainya, apabila menghadiri program anjuran Sepakat di Hotel Armada, Petaling Jaya.

Kali ini, saya bertemu rakan lama; Shazeera namanya. Dahulunya, dia pencetus Isrec, sebuah pertubuhan anak muda yang berjuang untuk pembebasan kes ISA7.

Saya tidak tahu apa terjadi lepada Isrec selepas itu.

Tapi, daripada Shazeera, seorang anak muda lulusan ijazah guaman Universiti Malaya itulah, saya terdengar untuk kali kedua bahawa kalian sedang bergerak untuk menjadikan kongres SMM itu suatu kenyataan.

"Saya bantu mereka sikit-sikit dalam menguruskan kongres itu," kata beliau yang kini sedang mengendalikan sebuah syarikat atau NGO.

Untuk Perubahan atau United People agaknya nama pertubuhan itu. Saya pun tidak terfikir nak tanya, apa dah jadi dengan Isrec itu?

Dan, kali ketiga, ialah ketiga bertemu Hilman, Shazni dan Ridhuan di cafeteria Akademi Pengajian Islam pada suatu petang.

Agak mengejutkan kerana, tiada seorang pun pengamal media dan wartawan yang hadir ke sidang media itu!

Cuma saya satu-satunya yang hadir, itu pun agak lewat. Namun, yang menariknya hari itu, saya mendengar syor yang menarik!

Saudara sudah mahu mementaskan teater pergerakan mahasiswa rupa-rupanya! Bagus dan tahniah! Ini suatu perkembangan.

Lalu, saya teringatkan saudara Ahmad Lutfi yang pernah dihubungi Erma Fatima sebelum ini. Ringkas cerita, saya hubungi beliau seketika itu juga selepas mendapatkan nombor itu.

Saya memang suka kalau saudara semua dapat susun suatu acara baharu, supaya tidak dilihat pergerakan kita ini cuma demonstrasi semata-mata. Kita mesti bergerak di bidang kebudayaan, bidang kewartawanan, lapangan penulisan dan lain-lain lagi.

Tapi, rupa-rupanya, sutradara teater Natrah itu sibuk. Dia mahu ke Mekah ketika saya memohon peruntukan agar saudara dapat bertemu dengannya.

"Erma balik 19 Mac, bulan 7 ada pementasan teater lagi di Istana Budaya," katanya.

"Teater bulan 7 dah ada tajuk ke puan," tanya saya lagi.

"Belum ada tajuknya lagi, tengah fikir..."

Selang beberapa hari, baru saya ketahui bahawa beliau ke Mekah kerana kebetulan meraikan perkahwinan adik beliau di Mekah. Barulah saya faham letak duduk hal itu.

Kalau tak ada harapan di Istana Budaya, kita ada orang kuat Paksi; Dinsman yang mungkin boleh membantu.

Saya difahamkan, dengan kedudukan beliau sebagai Karyawan Tamu di UUM itu, dia diminta mementaskan 2 teater dan mengarang sebuah buku teater.

Apakah salah satu teater itu boleh dikembangkan sebagai kisah perjuangan mahasiswa, hal itu tidak saya tahu. Namun, kita mesti terus mencuba.

MAAF KERANA TAK HADIR

Ya, buat pertamanya, dalam sidang 'Pengakuan Kaab' ini, biarlah saya minta maaf terlebih dahulu kerana tidak hadir di dalam kongres anjuran saudara itu.

Padahal, ketika saudara datang membuat sidang media berhubung kongres tersebut, tiada satu pun wakil media yang datang kecuali saya.

Ya, jika dihitung-hitung, sudah tiga kali kongres itu sudah diteriakkan di gegendang telinga saya. Saya sudah pun maklum dengan kehendak saudara itu.

Bagaimanapun, telah saya kirimkan seorang wartawan lain kerana nampaknya dia berminat memburu kisah-kisah saudara. Dalam hubungan ini, sila beri kerjasama kepada beliau, apatah lagi, dia adalah lulusan UM, iaitu tempat di mana kampus saudara sendiri.

Saya pula mahu menggali kisah-kisah di Gapena hari ini, tapi, jiwa saya nampaknya lebih cenderung membuat liputan mengenai Kamus Cam - Melayu di Pesta Buku di PDDP hari ini.

Maka, kami berpecah. Wartawan saya itu ke sana dan saya pula ke sini. Kami sangat kurang tenaga kerja dan tidak sempat memburu dan tak sempat membuat liputan ke semua tempat lapangan.

PENGUSIRAN ADALAH PENGHINAAN

Dan, malam ini, saat bebola mata masih terpaku ke atas laporan Facebook, saya dapat memahami bagaimana perasaan orang-orang yang terusir, berpindah-randah mencari tempat perlindungan, mencari tempat melabuh pemikiran.

Kalian mencari tempat yang baik untuk melabuhkan tirai u***** fikiran dan perbincangan. Kalian telah memintanya secara baik, tapi entah jenis kuasa semacam apa yang sanggup menutup ruang debat ini.

Kalian telah dihambat, diusir keluar daripada kolej-kolej kediaman seperti dihambat keluar dari daerah kampung halaman sendiri.

Inilah antara nasib yang menimpa orang-orang terdahulu yang berjuang membela agama. Saya pernah diusir, beg digeledah polis dan kamera dipegang polis, seolah-olah kita ini penjenayah. Ya, mereka melayan kita bagai penjenayah!

Rasa sungguh terhina dan azab sekali kerana terpaksa menunduk, menyembah kebodohan dan kesombongan orang lain.

Semoga geram di hati kalian ini akan menjadi garam benih-benih yang mencambahkan tunas-tunas dendam berpanjangan. Bersikap redho dan putus asa ke atas kejadian ini, saya haramkan.

Ya, jangan sesekali kalian melupakan peristiwa hitam ini. Walau Islam tak haramkan, tapi saya haramkan!

Sekali lagi saya tegaskan, pengusiran adalah salah satu bentuk penghinaan. Jangan sesekali anda memaafkan. Saya haramkan saudara memaafkan orang-orang yang menghina saudara ini.

Rasulullah bersabda, tiada lagi hijrah selepas ini. Maka, sepatutnya tiada lagi pengusiran selepas ini, kerana hal pengusiran ini adalah suatu simbol kepada penghinaan.

Saya tunda dahulu isi surat ini, dan kita bertemu semula pada waktu bila-bila yang ditentukan Tuhan.

Ada banyak hal, kisah-kisah yang bersifat sejarah yang sepatutnya saya tuliskan lagi kepada saudara. Tetapi, biarlah saya tunda nota kuliah ini ke suatu masa lain pula.

Nota kuliah ini tampallah di papan kenyataan kampus, di tandas-tandas kampus supaya, sambil melengung dan termenung di tandas itu, boleh juga siswa itu mencerap segala buah fikiran yang terkandung dalam catatan ini.

11:45 malam, 20 Mac, 2010
Sekolah Pemikiran Kg Baru

Nota: Sambil minum-minum di sebuah restoren di Jalan Raja Abdullah, Kg Baru di sini, saya terfikir juga jika anda boleh usahakan kempen untuk mewujudkan pilihan raya untuk memilih NC, TNC (khasnya HEP) dan Dekan Fakulti.

Promosi Anda Bayar RM100 PRUDENTIAL BSN TAKAFUL bagi anda lebih Setengah Juta Cover

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111