Oleh Shirzad Lifeboat
Tanggal 3 Mei kembali menemui kita. Bagi kebanyakan orang ia mungkin tidak sepenting tanggal 1 Mei yang bersamanya membawa cuti umum.
Namun bagi mereka yang terbabit dalam dunia media terutamanya dunia kewartawanan serta para pengusaha akhbar yang mempertahankan nilai kebenaran dan tidak mudah diperalatkan oleh tangan-tangan kotor pihak tertentu yang menyalahgunakan media sehingga menjadikannya sebagai alat sebaran fitnah dan wadah penyampaian berita palsu, tanggal 3 Mei ini cukup bermakna. Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan tanggal 3 Mei ini sebagai Hari Kebebasan Akhbar Sedunia (‘akhbar’ dibaca sebagai meliputi seluruh genre media penyiaran).
Tanggal sambutan ini diwujudkan bagi memberikan kesedaran kepada dunia akan peri pentingnya kebebasan akhbar serta peringatan kepada setiap kerajaan di dunia ini bahawa adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk menghormati dan mempertahankan kebebasan media sebagaimana termaktub dalam Artikel 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia.
Bagi pengamal media, Hari Kebebasan Akhbar Sedunia ini sudah tentu mengingatkan mereka akan tragedi yang menimpa ke atas wartawan Colombia, Guillermo Cano Isaza yang telah dibunuh secara kejam di hadapan pejabat akhbar El Espectador, Bogota, tempat dia mencari sesuap nasi untuk menyara kehidupan tetapi tidak sekali-kali berkompromi dengan sebarang usaha memblackoutkan kebenaran. Isaza dibunuh kerana laporannya mengenai perkaitan dadah dengan kerajaan Colombia, yang mana telah mengundang kemarahan kepada mereka yang terlibat dalam industri haram bernilai berbilion ringgit ini.
Seseorang mungkin tertanya, mengapakah Colombia diambil sebagai rujukan sedangkan Colombia adalah merupakan sebuah negara Amerika Selatan yang dirundung dengan pelbagai masalah – daripada masalah politik sehinggalah masalah ekonomi.
Barangkali jawapannya terdapat pada hakikat betapa pembunuhan Isaza mempamerkan status kebebasan dan amalan media yang begitu tenat, tidak-bertamadun serta penuh dengan niat-niat kesyaitanan dari kumpulan tertentu termasuk mereka yang berkuasa.
Namun demikian, sejak pembunuhan Isaza pada 17 Disember 1986 sehingga kini keadaan kebebasan media di negara berkenaan tidak banyak mengorak langkah lebih positif.
Untuk tahun penilaian 2009, Reporters Without Borders, pertubuhan NGO yang berpengkalan di Paris masih menyenaraikan Colombia pada ranking di atas kedudukan ke-100 dalam Indeks Kebebesan Akhbar Dunia.
Tetapi apa yang lebih pelik lagi, Malaysia yang dibangga-banggakan oleh pemimpin kerajaannya tentang tahap kebebasan media serta kepandaian mereka mentadbir dan mengawal-selia media berada pada ranking ke-131, iaitu 5 kedudukan di bawah Colombia. Ini bermakna negara kita berada pada ranking ke-21 tercorot dari 150 buah negara yang tersenarai dalam Indeks berkenaan. Ranking seperti ini untuk Malaysia mungkin aneh di sebalik cita-cita dan keghairan pemimpin UMNO-BN yang menghasratkan kepimpinannya ditandai dengan itu ini ‘yang terbesar’, ‘yang terpanjang’, ‘yang tertinggi’ dan yang bermacam-macam ‘ter’ lagi. Tetapi ia bukanlah sesuatu yang menghairankan. Ini kerana kebebasan media di Malaysia mempunyai takrif yang berbeza dari kebebasan yang dimaksudkan oleh PBB.
Sementara kebebasan media menurut PBB dan menurut konvesyen media dan persuratkhbaran melanggan kepada kesejagatan prinsip penyebaran kebenaran dalam Islam, kebebasan media di Malaysia memperlihatkan seolah-olah ada perlepasan atau departure daripada prinsip ini. Dalam Islam, penyebaran kebenaran diabadikan dalam sabda Nabi Muhammad s.a.w. bermaksud: “Sesiapa yg melihat sesuatu kemungkaran,hendaklah dia merubah dgn tangannya(kuasa), jika tidak mampu hendaklah dgn lidahnya, dan juga jika tidak mampu,maka hendaklah melakukan dengan hatinya:yg demikian selemah-lemah iman.” (HR Bukhari & Muslim).
Tapi apa yang dilihat berlaku dalam dunia media arus perdana Malaysia ialah bagaimana tangan-tangan digunakan untuk memfitnah dan menyebarkan fitnah ini sebagai berita dan disajikan kepada umum sebagai kebenaran.
Tangan-tangan juga digunakan bagi merobah gambar orang tertentu agar tangan orang berkenaan digambarkan sedang memegang botol arak sedangkan pada gambar asal, orang tersebut tidak memegang apa-apapun. Gambar yang telah diubah oleh tangan-tangan kotor ini kemudiannya dipaparkan sebagai lead story di muka hadapan akhbar arus perdana.
Itu belum lagi mengambil-kira pemutar-belitan berita dan kenyataan pemimpin pembangkang, berita-berita hodoh mengenai UMNO-BN yang diblackoutkan atas arahan penguasa tertentu dan adakalanya pembohongan terang-terangan yang dilakukan oleh akhbar dan media penyiaran.
Menyambut kedatangan Hari Kebebasan Media Sedunia ini, Malaysia sekali ditandai oleh kebebasan media takrifannya sendiri apabila seorang producer kanan NTV7, Joshua Wong Ngee Choong meletakkan jawatannya pada 22 April lalu kerana, menurut laporan (Malaysiakini, 27 April 2010), sebagai reaksi kepada aduan isteri Perdana Menteri mengenai dua buah rancangan perbualan yang tersiar baru-baru ini mengenai perkembangan politik muktahir.
Menyusuli Joshua ialah producer TV2 yang meletakkan jawatannya 27 April lalu kerana filem dokumentari TV yang dihasilkannya mengenai Ampangan Bakun yang turut memaparkan wawancara dengan penduduk Sungai Asap, Sarawak dibatalkan penyiarannya sebagaimana dijadualkan kerana menurut Ketua Jabatannya, Jumat Engson dokumentari berkenaan dibatalkan kerana ia mengandungi unsur sensitif yang boleh memberi kesan negatif terhadap BN dalam pilihanraya kecil Sibu yang akan datang serta pilihanraya umum negeri tersebut.
Begitulah antara ciri-ciri kebebasan yang diamalkan di Malaysia. Semuanya perlu menurut acuan UMNO-BN atas nama kerajaan yang memerintah. Seseorang boleh berhujah dengan pemimpin UMNO-BN dalam kerajaan ‘sehingga lembu pulang ke rumah’, tapi mereka dengan ‘tersenyum’ cuba meyakinkan betapa Malaysia mengamalkan kebebasan media yang tidak ada tolok bandingnya.
Justeru Hari Kebebasan Media Sedunia tidak membawa erti kepada mereka. Malaysia seolah-olah berada di dunia terasing dari yang lainnya. Maka itulah sebabnya apabila tanggal 3 Mei kembali menemui dunia, pemimpin UMNO-BN bersama-sama juak-juak medianya hanya mampu mengukir senyuman kambing.
No comments:
Post a Comment