Oleh Haris Zalkapli
Ulasan tentang serangan tentera Israel ke atas kapal aktivis untuk membantu Gaza telah mengundang pelbagai reaksi tegas dari seluruh dunia kecuali Amerika Syarikat, yang satu kenyataan rasminya menjelaskan keperluan menyiasat apa yang berlaku di kapal Mavi Marmara.
Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan menyifatkan serangan itu sebagai "terorisme negara" dan Menteri Luar Ahmet Davutoglu mengaitkan tuduhan itu sebagai tindakan seperti lanun.
Kenyataan keras daripada sekutu utama Israel di Asia Barat dan pelanggan terbesar peralatan dan teknologi tenteranya memberi implikasi yang besar.
Selepas tindakan Recep di pentas Forum Ekonomi Dunia di Switzerland awal tahun lalu, insiden di perairan luar Gaza ini menjadi petanda lebih jelas dalam pergeseran Turki dengan Israel, walaupun kesannya perlu dinilai dengan cermat.
Dari sudut isu Palestin, kejadian ini memberi sebab lebih kukuh untuk Turki berperanan lebih aktif, ketika pendapat awam global menyebelahinya dalam isu penting dunia Islam ini.
Hal ini dijelaskan oleh Sami Kohen, seorang kolumnis di akhbar Turki: “Turkey’s hand in the region is strengthened now. There is now more reason for Turkey to take a more active part in the events of the Middle East, since it has suffered personally from this attack. Now it can justify its anti-Israeli positions, which get a good deal of sympathy in the Arab and Islamic world.”
Dalam kalangan negara-negara Asia Barat, imej Turki pasti melonjak tinggi, ketika negara-negara Arab seperti Mesir dan lain-lain tidak menunjukkan aktivisme yang sama, sekiranya ada, dengan apa yang ditunjukkan oleh Turki.
Peristiwa ini juga boleh meningkatkan lagi sokongan kepada Turki untuk memainkan peranan kepimpinan dalam politik Asia Barat. Satu tinjauan pendapat mendapati sikap positif terhadap Turki mencapai 60 peratus dalam kalangan penduduk Arab.
Dalam agenda besar dasar luar baharu Turki, serangan Israel itu yang mensasarkan kapal dengan bendera Turki bukan sahaja membolehkan Ankara bertindak lebih jauh lagi, tetapi juga membawa isu Palestin ke hadapan dan mengikatnya lagi dengan satu agenda dasar luar Turki.
Perhatian ke Gaza meningkat seiring dengan aktivisme baharu Turki, yang dalam kes ini melibatkan sebuah kumpulan hak asasi manusia yang didokong kelompok sama yang menyokong dan memenangkan AKP.
Dari segi politik dalam negara Turki, credential Islam AKP meningkat lagi dengan isu ini, memberikan parti itu kedua-dua imej liberal dan juga pejuang Islam antarabangsa.
Hubungan dengan Israel yang telah sedia terjejas kini menjadi lebih buruk, tetapi sejauh mana hubungan kedua-dua negara akan terjejas masih belum boleh disimpulkan dengan segera. Pandangan-pandangan yang menceritakan berakhirnya aliansi Turki-Israel tidak boleh diterima begitu sahaja.
Hubungan dengan Israel memberikan imej honest broker kepada Turki dalam kalangan dunia Barat dalam meneruskan peranan diplomasi seperti menemukan Israel dengan Syria pada 2008.
Tetapi apapun yang berlaku, sukar untuk melihat Israel dikenakan tindakan yang benar-benar bermakna, kerana sokongan kuat Washington. Setakat ini, Israel hanya terjejas akibat kekalahan dalam pertembungan di medan pendapat umum antarabangsa.
No comments:
Post a Comment