Oleh: Shirzad Lifeboat
Hakikat kapal selam Scorpene berharga RM6.7 bilion, sebagaimana penjelasan bertulis Menteri Pertahanan Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamid kepada soalan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua di Dewan Rakyat Selasa lalu bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.
Sebuah kapal selam dalam bentuknya paling kasar dan berteknologi rendah atau sama sekali tidak berteknologi seperti misalnya H.L. Hunley, kapal selam pertama di dunia dan digunakan pertama kali dalam pertempuran sewaktu Perang Saudara Amerika bukanlah diperbuat daripada papan lapis dan gam cap gajah.
Walaupun persenjataannya hanyalah rata-rata berteraskan prinsip balistik sebagaimana sebuah pistol berfungsi dan berkuasa bahan api fosil, seluruh badannya tetap diperbuat daripada keluli.
Namun itu tidak bermakna sesuatu yang mudah. Disebabkan ketumpatannya jauh lebih tinggi dari air, besi menang tenggelam dalam air. Tetapi untuk membuatkan sebuah struktur tidak terus tenggelam hingga ke dasarnya dan kedudukannya di bawah aras laut boleh diselaraskan menurut kehendak pengendalinya adalah merupakan cabaran berbeza.
Tapi itu tahun 1884 di mana pengetahuan mengenai metalurgi, perlindungan karat air masin masih lagi sedang bertatih dan pengetahuan mengenai senjata dan enjin nuklear serta peralatan elektronik masih lagi seabad ke belakang. Namun lebih daripada seabad kemudian apabila Malaysia memutuskan untuk turut sama tersenarai sebagai pemilik kapal selam, kesemua teknologi terbabit dalam pembinaan perkakasan kententeraan ini bukan sahaja telah mencapai kemajuan yang tidak pernah diimpikan tetapi menjadikan kos membina dan memilikinya di luar kemampuan negara membangun.
Daripada 43 buah negara di dunia yang memiliki kapal selam, hanya 11 buah sahaja dari kalangan negara membangun. Dan daripada jumlah 11 buah negara ini, 7 daripadanya adalah negara yang sering menerima ancaman luar termasuk daripada negara berjiranan seperti contohnya Pakistan dan India. Beberapa buah lagi pula memiliki kapal selam mereka secara mewarisi daripada pemerintahan masa lalu seperti Vietnam yang mewarisi kapal selamnya daripada Perancis dan negara bekas Soviet Union. Begitupun kebanyakan daripada kapal selam tersebut telah tidak ditauliahkan lagi untuk kegunaan.
Berlatar belakangkan hakikat ini, tidaklah diketahui dengan jelas mengapakah Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika adalah merupakan Menteri Pertahanan Malaysia memohon kelulusan Kabinet dan seterusnya memesan dua buah kapal selam Scorpene.
Malah segala-galanya mengenai pembelian kapal selam ini adalah samara-samar – dari jumlah komisyen dan siapa penerimanya sehinggalah kepada kos sebenar pembelian kapal selam tersebut.
Namun akhirnya setelah sebuah badan NGO Malaysia membuat aduan kepada pihak berkuasa Perancis tentang pemberian komisyen kepada sebuah syarikat yang dikatakan dikuasai oleh seorang yang amat rapat dengan Najib, satu penyiasatan telah dijalankan oleh pihak polis kewangan negara tersebut.
Di bawah undang-undang republik tersebut sebarang komisyen yang dibayar atau dikaitkan dengan mana-mana pemimpin negara luar yang membabitkan kontrak syarikat yang berdaftar atau beroperasi di Perancis adalah ditakrifkan sebagai rasuah.
Setelah berita pihak polis Perancis menggeledah premis syarkat pembuat senjata DCNS di negara itu, akhirnya terdedahlah maklumat bahawa kos sebenar pembelian kapal selam tersebut. Ia bukannya kira-kira RM1.5 bilion atau RM3 billion yang dianggar oleh sesetengah pihak tetapi RM6.7 billion (1.34 bilion Euros).
Menurut Menteri Kewangan dalam jawapan bertulis itu, kos menghampiri RM7 bilion ini tidak termasuk kos pengendalian yang pada mulanya dipersetujui sebanyak RM600 juta untuk tempoh enam tahun tetapi akhirnya dipinda menjadi RM270 juta setahun.
Pendedahan ini bukan sahaja menunjukkan perbelanjaan tidak berkhemah dari pihak kerajaan (kerana memiliki kapal selam bukanlah prioriti utama pertahanan kita), ia juga menunjukkan bagaimanakan kerajaan UMNO-BN tergamak membelanja dan seterusnya membazirkan wang awam dengan sebegitu banyak dan membenarkan individu tertentu menerima komisyen berpunca dari perbelanjaan sedemikian. Walaupun undang-undang Perancis tidak boleh mendakwa mana-mana individu bukan warganya atau pemastautin republik berkenaan dengan jenayah rasuah dan sekadar boleh mengambil tindakan dan membawa ke muka pengadilan kontraktor yang bertanggungjawab memberikan rasuah, namun hukuman lebih berat menanti kita.
Selagi penguatkuasa undang-undang kita sendiri memejamkan mata dan mengabaikan kes seperti ini sebagai rasuah, selagi itulah dunia akan menilai intergriti negara serta rakyat kita dan apatah lagi pemimpin kita yang sama ada terbabit secara langsung atau tidak. Inilah yang dikatakan oleh peribahasa Melayu, “seekor kerbau membawa lumpur, semuanya habis terpalit.”
Dan keadaan menjadi bertambah kronik dan memalukan apabila kerbau yang sama berkelakuan, “sambil menyelam minum air.”
No comments:
Post a Comment