Oleh Ali Bukhari Amir
"Jadi ka nak mai petang ni," sms dari Ahmad Lutfi (Gambar :Ahmad Lutfi Bersama Isteri menziarah isteri mangsa ISA )berdenyut-denyut di nadi telefon bimbit. Sebenarnya, beberapa hari yang lalu, kami sudah janji hendak bertemu, tapi ruang kesempatan itu hanya terjelma hari ini.
Petang dan hujan lebat menggigit tubuh. Motor Kriss sudah melepasi Ampang Point dan sekitar 5 petang kurang lebih, saya sudah nekad, apa pun yang terjadi, mesti jumpa bos! Sebab... esok pagi, saya sudah mahu ke LCCT dalam perjalanan pulang ke desa.
Petang ini juga, Zahir Wangsamaju sudah telefon, mengajak bertemu kalau-kalau saya ada di sekitar Jalan Pahang Barat. Tetapi, apa nak dibuat, janji telah dipahat dengan pihak satu lagi sejak sekian lama.
Sudah dua tiga hari janji-janji itu dipaku dan disemai oleh pesanan kiriman sms antara kami. Lagi pula, keuzuran beliau tidak mengizinkan mereka sekeluarga pulang beraya di kampung.
MUZIUM ISA?
"Ana baru balik dari suatu tempat, polis jahat betul, masuk dan pecahkan rumah dia(gambar:di sisi pintu yang dipecahkan oleh segerombolan polis yang x kenal ihsan tanpa memberi salam), usik kawasan sembahyang. Ana ingat kena buat Muzium ISA kat tempat ni," kata awalnya itu sebagai perencah mula bualan antara kami.
Bercakap mengenai perjalanan tertentu dalam Ramadhan ini, beliau nampaknya berpuas hati kerana banyak menemui bekas tahanan ISA dan menyampaikan sumbangan kepada pihak-pihak tertentu.
"Jahat SB ni. Depa kadang beritahu tahanan bahawa isteri tahanan dah ada hubungan dengan lelaki lain. Mula-mula, tahanan itu mungkin tidak percaya. Tapi, lama-kelamaan percaya juga.
"Kemudian, kalau isteri nak berjumpa suami, depa bagitahu isteri, datang jumpa hari Sabtu. Kemudian, depa bagitahu suami yang isteri nak jumpa mereka hari Ahad.
"Kemudian, tak bertembunglah mereka itu. Jadi, semakin kuatlah sangkaan suami bahawa isteri mereka dah ada lelaki lain. Lemah semangat tahanan ini," katanya panjang lebar.
Kita pun mengurut dada. Apakah hukumnya para SB dan pegawai penjara yang buat kerja-kerja jahat sehingga porak-peranda rumah tangga bekas tahanan ISA ini?
SB DENGAN AHLI SIHIR LEBIH KURANG SAMA SAHAJA
"...Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh MENCERAIKAN ANTARA SEORANG SUAMI DENGAN ISTERINYA...- (Al-Baqarah: 102)
Apa bezanya antara mereka dengan ahli-ahli sihir yang disebutkan dalam Al-Baqarah, ayat 102 ini? Sama sahaja. Pecah-belahkan hubungan kekeluargaan. Ahli sihir belajar ilmu untuk meruntuhkan masjid. SB pun lebih kurang saja. Bezanya, mereka tidaklah syirik seperti ahli sihir, tapi matlamat akhirnya sama - memusnahkan institusi kekeluargaan di Malaysia.
Kerana sifat takbur manusia ini, saya selalu merenung sendirian - kalau bukan kerana Iblis itu dari api, dan manusia itu dari tanah, maka tiada beza lagi antara insan dan iblis itu. Sama sahaja; takbur! Yang membezakan antara mereka adalah disebabkan api dan tanah sahaja.
Jadi, demikianlah bezanya ahli sihir zaman Babilon yang yang terangkum dalam surah Al-Baqarah ayat 102 di atas dengan SB era hadhari-glokal ini, iaitu bezanya cuma SB tidak membaca mantera sahaja dan tidak syirik sahaja. Tetapi, sama sahaja zalimnya kerana tergamak memisahkan ikatan dan kasih sayang sesama manusia.
Entah bagaimana kedudukan rezeki mereka di sisi Allah!?( ana rasa haram - 26ramd ) Rezeki SB yang dibawa pulang ke rumah, dimasak oleh isteri juga anak-anak mereka sendiri. Tak kan tak ada SB yang sedar dan insaf dengan kejahatan yang mereka lakukan ini?
"Dulu, Hasan Al-Banna pun polis mai rumah dia syeikh, siap nak tangkap Al-Banna lagi," kata saya, mula berkhutbah kepada bos saya itu. "Tapi, Al-Banna pun tasykil dan bayan SB bawwab tu sekejap, teruslah polis tu jadi insaf dan bertaubat."
Rakan saya itu pun terdiam. Lalu dia berkata, bahawa memang ada perubahan di pihak pegawai-pegawai penjara pun akibat bergaul dengan bekas tahanan ISA itu.
"Imej Kitingan di tahanan Kamunting itu sangat dihormati," katanya. "Dia nampak tenang... tidak keluh kesah." Program dakwah dan tarbiyyah dan ta'dib ke atas SB Bukit Aman ini memang perlu diteruskan supaya mereka tidak digemukkan oleh sumber gaji yang tidak berkat yang datang daripada hasil percukaian rakyat itu.
Mungkin selepas era kejatuhan Musa Hassan di Bukit Aman ini, kita boleh bersama melakukan sesuatu agaknya. Insya Allah...
KAMI DIIKTIRAF KERAJAAN SELANGOR
Tubuhnya nampak kembali berisi sedikit, tapi suaranya agak serak-serak basah kerana demam beberapa hari ini, tapi masih juga bertenaga menegur ketidakhadiran saya dalam mesyuarat KAMI (Kumpulan Aktivis Media Independen) beberapa kali belakangan ini.
"Kerajaan Selangor dah iktiraf KAMI ini," katanya. "Dan, memang draf enakmen peruntukan undang-undang Akta Kebebasan Maklumat itu, mereka perlukan pengisian daripada KAMI juga."
Berbual seputar kisah perjuangan, maka bualan kami pun selanjutnya berpindah randah kepada filem Doctor Zhivago yang tersohor itu. Kebetulan saya menontonnya juga di TV2 Ahad lalu. Beliau tercari-cari kalau-kalau ada novel itu di dalam bahasa Melayu.
Mungkinkah tiada syarikat yang berani menerbitkannya lantaran takut risiko tidak laku di pasaran? Kalau kita tahu kaedah dan prosedurnya, mungkin sudah boleh kita terjemah sendiri, memandangkan peruntukan memang ada di pihak rakan saya itu. Itu pun, kalaulah dia berminat.
Tapi, cara bagaimana kita mahu tahu sesebuah karya itu sudah diterjemahkan atau tidak, sangat memeningkan kepala. Kami sama-sama tidak tahu.
"Selain Doctor Zhivago, ada drama Indonesia, Mencari Tuhan. Dialognya lucu, tak nampak macam berkhutbah, Deddy Mizwar ucapkan hadis dan cuba terapkan penghayatan itu dalam hidup seharian.
"Agak cantik gaya bahasa ucapan mereka itu disampaikan. 'Maid' ana pun cara bercakap itu macam dalam drama itulah," katanya.
Hujan petang itu masih juga rintik-rintik. Sakitnya nampak berkurangan, namun dia tidak balik desa kerana sakit. Namun beliau diberikan cuti lagi dua bulan atas saranan dan pertimbangan doktor yang menyatakan bahawa sakitnya belum pulih benar.
"Inilah nikmatnya sakit... kita boleh khatam Al-Quran tiga kali. Bila dah tidak sunting tulisan orang, kita pun boleh menulis satu halaman. Tapi, ana berhajat sangat nak tinggalkan satu karya yang dianggap berautoriti dan bukan popular," katanya.
Ketika hampir mahu pulang, sempat disentuh isu UKM4. Ada pihak-pihak yang menyatakan bahawa Kelab Sains Politik sudah bubar?
Bualan kami beralih kepada lingkaran ketakutan - pensyarah takut dekan, dekan takut NC, NC ada hati nak melobi untuk menjadi menteri, dan menteri itu takut pula kepada mahasiswa!
"Akhirnya, kita mesti cari orang yang tiada apa-apa kepentingan langsung untuk buat perubahan ini," kata saya. Sesal sungguh. Pada hari baik dan bulan baik ini, tidak bolehkah pihak universiti mengampunkan segala 'kesalahan' mahasiswa itu?
Saling bermaaf-maafanlah sesama kita hendaknya. Janganlah disimpan dan dipendam dendam itu berkubang sehingga berkeladak di dalam tangki hati sampai membiakkan lumut jaki dan menternak dengki di dalam diri.
Wah! Petang sudah merangkak dan awan gelap masih juga berlayar mencurahkan dendam hujan ke bumi. Matahari berlabuh perlahan. Saya harus segera pulang, walaupun sudah banyak hari gagal mendapatkan bubur lambuk Masjid Jamek Kg Baru.
Akhir Ramadan ini, bubur lambuk pun sudah sikit diedarkan. Orang sudah tidak ramai. Sudah dua tiga petang saya tidak mendapat apa-apa. Jadi, petang ini di Ampang, hati ini sudah tiada risau dan berkuburlah rasa ralat jika tiada mendapat apa-apa lagi!
Bait dialog dalam drama 'Tanah Di Baruh' selalu menjentik rasa geli hati di dalam diri...Kita ini sudah pun kehilangan banyak perkara, sehinggakan kita tidak perlu risaukan kehilangan apa-apa lagi selepas ini!
"Aku tidak mahu shokong (sokong) sapa-sapa yang tidak berikan aku apa-apa..."
Lalu, kenyataan ini dijawab oleh rakannya, "Siapa yang beri kau apa-apa, kalau (pun) engkau shokong (sokong) dia!?"
Fikir-fikirkan... renung-renung dan tenung-tenung dan menung-menungkanlah sendiri...
No comments:
Post a Comment