Oleh Mohd Sayuti Omar
PENGISTYHARAN pemasyuran Duli Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Fariz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, 41 yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Bentara Setia Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertempat di Istana Balai Besar Kota Bharu hari ini, 4 Syawal 1431H bersamaan 13 September 2010, merupakan Sultan Kelantan yang ke-29 dalam sejarah kesultanan Kelantan.
Baginda Tengku Faris diputerakan pada 6 Oktober 1969 di Kota Bharu Kelantan. Baginda dilantik menjadi Tengku Mahkota Kelatan tanggal 6 Oktober 1985 dalam usia baginda 16 tahun.
Baginda mempunyai tiga orang adik beradik, Tengku Muhammad Faiz Petra, Tengku Muhamad Fakry dan Tengku Amalin A'Ishah Puteri.
Tengku Faris yang dianggap sebagai anak raja yang berjiwa rakyat dan kuat beragama, tidak menghairankan kerana baginda mendapat didikan agama sejak dari kecil lagi. Sejak kecil lagi baginda diasuh dengan didikan agama di istana dan diajar oleh beberapa ulamak terbilang.
Baginda mendapat pendidikan sekolah di Sekolah Sultan Ismail I, Kota Bharu (1976 - 1981). Selepas mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR dengan mendapat 5A, baginda dimasukkan di Sekolah Alice Smith School Association Jalan Balemy Kuala Lumpur (1981 - 1983).
Sebelum berangkat ke England untuk melanjutkan pelajaran di Okham School Rutlanda sehingga tingkatan 3. Baginda juga menamatkan A Lavel di sekolah yang sama pada tahun 1987. Sebenarnya sebelum berangkat ke England baginda sudah khatam Quran.
Pemilihan baginda sebagai Sultan Kelantan bagi mengganti ayahandanya, Tengku Ismail Petra Ibni Amarhum Sultan Yahaya Petra dilihat tepat kena pada masanya. Pemilihan baginda juga seperti sireh dipulangkan ke ganggang kerana baginda adalah anakanda Sultan Ismail Petra yang pertama dan baginda juga merupakan Tengku Mahkota Kelantan. Permasyuran hari ini juga dinanti-nanti dan ditunggu sekalian rakyat Kelantan.
Sesungguhnya selain dari pemasyuran hari ini yang dibuat dibawah Perkara 22A Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua), mencatat sejarah tersendiri, ia juga memberi signifiken lain kepada kerajaan Kelantan yang diperintah Pas hari ini. Semasa menjujung duli pada upacara pemasyuran itu perkataan atau laungan lazim didengar, iaitu Daulat Tuanku diganti dengan takbir Allahuakbar sebanyak tiga kali. Kejadian ini belum pernah berlaku pada upacara-upacara persis itu selama ini.
Pertukaran ini menunjukkan betapa Baginda Sultan Kelantan ingin mengubah atau meletak sesuatu yang tinggi nilainya ditempatnya dan menggambarkan kehambaan beliau sebagai seorang hamba Allah dan tidak mahu bersubahat dengan sesuatu yang syirik dan biadaah.
Seperti mana kata Nik Aziz upacara penabalan akan dilakukan tidak lama lagi. Apapun majlis pada hari ini sangat penting kerana ia akan menamatkan kemelut dan pergeseran Istana Kelantan yang berlaku sejak lebih setahun lalu.
Pergeseran berlaku bila mana ada pihak tertentu yang kurang senang sekiranya pengganti kepada kepada Sultan Ismail diambil alih oleh Tengku Fariz Petra. Justeru ada beberapa tindakan mahkamah untuk menghalang taradisi berkenaan. Di mana mengikut perlembagaan tubuh kerajaan Kelantan, sepatutnya anakanda sulung yang sihat, bersih dan mulia budi pekertinya diangkat menjadi sultan sebagai mengganti ayahanda baginda.
Mengenai perwatakan dan syaksiah Tengku Faris ini ia memang mendapat pujian dan sanjungan rakyat jelata. Kemurahan dan kerajinan baginda berangkat dan mencemar duli, melihat sendiri keadaan hidup rakyat dengan mata kepala sendiri menjadi sebutan dan sanjungan. Baginda juga tidak mementingkan protokol dan senantiasa membuat lawatan dalam keadaan mengejut.
Apa yang pernah saya sendiri saksikan sungguh mengejutkan. Semasa Tuan Guru Abdullah Abdul Rahman (Pondok Lubuk Tapah) meninggal dunia, baginda berangkat menziarahi jenazah kemudian berangkat sekali lagi untuk sama-sama menyembahyangi jenazah Allahyarham. Tok Guru Abdullah Lubuk Tapah dianggap sebagai tok gurunya sendiri. Semasa Allahyarham hidup baginda kerap mengunjungi tuan guru berkenaan.
Baginda datang tanpa ada protokol, dengan berpakaian jubah putih dan kopiah banginda berada di saf hadapan menyembahyangi jenazah bersama orang ramai. Tidak ada kelihatan baginda mengutamakan kedudukan dan darjatnya. Tempat duduknya juga sama seperti makmu lain saja. Baginda juga senang bersalam dengan sesiapa saja.
Begitu juga semasa Ramadhan tahun lalu baginda turut sama bersembahyang tarawaih di Qhariah Ramadhan di perkarangan Stadium Sultan Mohamamad ke-IV bersama segenap lapisan rakyat. Kedatangan baginda secara mengejut itu benar-benar memeranjatkan para pegawai istana dan juga pegawai kerajaan dan orang politik Kelantan.
Bayangkan bagaimana gelabahnya para pegawai kerajaan dan pemimpin politik apabila tahu yang baginda sudah berada di Qhariah Ramadhan itu tanpa dibentangkan apa-apa carpet merah untuk lalauan baginda, dan keberangkatan itu pun tidak dihebahkan.
Selain itu baginda juga sering turun ke daerah-daerah untuk mendirikan solat Jumaat. Baginda Tunku Faris akan membuat kunjungan rambang untuk mendirikan solat tanpa memberi tahu terlebih dahulu kepada imam atau pembesar setempat. Cara begitu untuk membolehkan baginda mengetahui realiti sebenar di masjid berkenaan dan tidak mahu menyusahkan rakyat menyambut keberangkatannya.
Misalnya seperti mana dituturkan Datuk Speaker DUN Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud, semasa baginda berangkat ke masjid Siram, Pasir Mas baru-baru ini tidak semena-mena selepas solat Jumaat baginda menziarahi seorang Guru Pondok, Haji Sulaiman yang sakit. Baginda tidak pun ada jadual untuk melawat Haji Sulaiman tetapi sebaik diberitahu baginda terus ke rumah Guru Pondok itu.
Lawatan secara tiba-tiba itu menyebabkan para pegawai istana, pegawai daerah yang menjadi pengiring sedikit kelam kabut dan rasa bersalah. Namun baginda tidak peduli kepada protokol itu dan tidak berkecil hati atas apa yang berlaku. Apa yang penting baginda dapat berjumpa dan melakukan ziarahi tuan guru berkenaan.
"Tuanku tidak sagan silu dan kekok. Baginda duduk di kerusi buruk saja di samping Tok Guru Haji Sulaiman dan bertanya khabar penuh ramah mesra," begitulah cerita Nasaruddin.
Pada masa lain baginda juga pernah bersama rakyat melakukan korban Aidiadha. Apa yang meruja dan mengejutkan rakyat, baginda sendiri yang melalukan penyembelihan. Darah lembu yang mercik ke jubah baginda dilihat rakyat sebagai indah dan disitulah kerendahan budi dan kebesaran hati Tengku Faris sebagai seorang raja.
Atas kemurahan, kerajinan dan mesra rakyat baginda itu semualah menggambarkan kehambaan dan sikap tawaduk yang tinggi yang ada kepada Tengku Muhammad Faris Petra, Sultan Kelantan yang baru
No comments:
Post a Comment