Oleh Subky Latif
TUN Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun dan Zaine al Abidene jadi Presiden Tunisia selama 25 tahun. Kira-kira sama lama.
Zaine al Abidene sebelum menjadi Presiden adalah Perdana Menteri di bawah Presiden Habib Bourgiba. Keduanya berbalah. Sebelum dia dipecat Presiden, dia merampus kuasa dan menjadi Presiden.
Dr. Mahathir berbalah dengan pemimpinnya Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra. Dia dipecat dari partinya, Umno. Selepas Tunku dipaksa berundur, Dr. Mahathir dapat kembali dalam Umno dan kemudiannya jadi Perdana Menteri.
Kedua-duanya sama-sama keras terhadap orang bawah dan rakyat.
Ada satu lagi persamaan antara keduanya. Dr. Mahathir dikatakan bertanya Presiden Ben Ali bagaimana dia menghadapi kaum muda yang berpelajaran tinggi sehingga mereka menyoal kepimpinannya dan pemerintahannya.
Senang saja. Ben Ali menjadikan mereka orang yang berhutang sepanjang hidup. Sebaik mereka lulus universiti dan mendapat pekerjaan dan yang tidak lulus universiti pun dapat pekerjaan, maka mereka diberi kemudahan untuk membeli kenderaan.
Mereka pun jadi orang yang berhutang. Sebahagian dari pendapatan mereka digunakan untuk membayar ansuran hutang motokar. Menampung perbelanjaan motokar seperti menampung seorang isteri.
Selagi hutang motokar itu tidak selesai, maka tidak banyak memikirkan hal lain selain dari menjelaskan hutang itu. Mereka akan menghadapi masalah kiranya hutung motokar tidak dijelaskan. Biasanya mereka menunaikan beban itu.
Sekali seseorang itu bermotokar, maka dia mesti sepanjang hidupnya bermotokar. Sebaik hutang itu selesai motokar pula tua terpaksa diganti baru. Maka dia menyambung hutang lagi sehingga tua.
Kemudian mereka diberi kemudahan pinjaman membeli rumah. Kadang-kadang sampai usia bersara hutang rumah belum selesai.
Sepanjang hidup rakyat seperti itu sebok menanggung hutang. Justeru itu mereka tidak boleh berfikir untuk berlawan dengan kerajaan kerana ada risiko berlawan dengan kerajaan. Kalau ditakdirkan dia hilang pekerjaan, maka bagaimana dia hendak menjelaskan ansuran hutang motokar dan rumah?
Oleh kerana itu orang cerdik pandai yang berhutang itu tidak banyak memikirkan kerajaan dan pimpinannya baik atau tidak, kerana tanggungjawab utama mereka ialah sebok menjelaskan hutang.
Dr. Mahathir pun berkongsi pengalaman yang sama. Sebelum Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, lulusan sekolah menengah dan lulusan unversiti yang bekerja membeli motokar dulu. Mereka juga ada kemudahan membeli rumah.
Kerajaan menyediakan pinjaman itu.
Kerajaan Dr. Mahathir membuka peluang mudah memiliki motokar. Kerana Malaysia sendiri membina lebih dari satu kilang membuat motokar, bukan saja orang senang membeli motokar, orang juga senang bertukar motokar.
Dr. Mahathir juga menukar sistem biasiswa bagi mahasiswa berjalan sejak di zaman British dulu kepada sistem pinjaman. Setiap pelajar diberi hak untuk membuat pijaman pelajaran.
Maka sebelum pelajar itu keluar universiti, mereka sudah jadi orang yang berhutang. Sebaik saja mereka dapat pekerjaan, maka mereka mula membayar hutang.
Rakyat Tunisia hanya menjadi orang yang berhutang selepas keluar dari universiti. Rakyat Malaysia sudah jadi orang yang berhutang sebaik saja masuk universiti. Beban hutang itu akan bertambah apabila mereka membeli motokar dan membeli rumah.
Oleh itu mereka sebok sepanjang hidup bekerja untuk menyelesaikan hutang. Beban hutang itu mungkin selesai apabila masing-masing bersara. Orang masuk usia bersara tidak lagi banyak memikirkan tentang politik dan kerajaan. Orang yang penat ini biasanya memilih untuk berehat.
Apa yang dibuat oleh Ben Ali itu berjaya menyelamatkan politiknya hingga sampai 23 tahun. Memang pelannya lojik dan menasabah.
Tetapi rakyat Tunisia akhirnya tidak lagi memikirkan mereka berhutang atau tidak. Dimulai oleh orang tidak ada pekerjaan di jalan-jalan bangkit menyoal pemerintahan Ben Ali. Mereka disokong oleh orang-orang yang berhutang, mereka hambat Ben Ali hingga tidak ada negara hendak menerimanya sebagai orang buangan.
Dr. Mahathir lebih cerdik. Sebelum orang berhutang hambat dia, dia berhenti dulu. Ben Ali bukan tidak cerdik, tetapi dia pun tidak sangka rakyat Tunisia rupanya sudah cerdik belaka.
No comments:
Post a Comment