Sepanjang Ramadan saya tidak menulis kolum ini. Sepatutnya bulan penuh keberkatan dan keampunan itu mampu mendorong untuk lebih berkarya, sekali gus menabur bakti, namun saya terpaksa akur dengan keuzuran.
Saya berhasrat untuk mengisi ruangan ini selepas Aidilfitri. Madrasah Ramadan dilihat berupaya membekalkan semangat dan keazaman baru untuk melakukan perubahan. Lagi pun, banyak pihak mengandaikan pilihan raya umum ke-13 bakal diadakan dalam tempoh 100 hari dari sekarang
Kandungan dan persembahan Harakah pastinya ditagih menampilkan sesuatu yang berbeza.Kami sedang menyiapkan beberapa cadangan perubahan menjelang pilihan raya paling kritikal dan getir itu. Semua pihak mengakui kepentingan dan pengaruh media, bukan sahaja bagi membentuk pandangan umum masyarakat terhadap sesuatu isu, tetapi juga boleh menentukan siapa pemenang dalam pilihan raya. Harakah cuba berperanan sebaiknya bagi menjayakan misi besar Pakatan ke Putrajaya.
Bagaimanapun, tugas itu tentunya tidak mudah. Ia memerlukan perancangan, strategi, wawasan, kebijaksanaan dan kesungguhan berlipat ganda. Malah, ada kalanya parti yang sering melakukan kesilapan, mudah alpa dan tidak terkesan dengan riak pengundi, akan mudah ditewaskan, meskipun nampak hebat luarannya.
Demonstrasi Bersih 9 Julai menampakkan impak positif apabila SPR dan kerajaan terpaksa memikirkan untuk melakukan usaha penambahbaikan, biarpun mungkin ia hanya bersifat kosmetik. Senarai daftar pemilih yang mengelirukan dan selama ini menjadi aset besar Umno-BN untuk meraih kemenangan mudah diteropong halus. Tahniah Dewan Pemuda PAS Pusat yang berjaya membongkar taktik jahat itu.
Sebenarnya tulisan ringkas ini bukannya untuk berbicara soal politik. Ia lebih kepada usaha merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Azizi Hj Abdullah, seorang penulis dan sasterawan besar lagi prolifik. Bayangkan, untuk tempoh 1969-99, beliau menghasilkan 27 novel. Azizi pernah menulis tiga cerpen dalam satu malam, bermula jam 9.00 hingga 3.00 pagi!
Sentuhannya, sama ada dalam karya kreatif mahupun rencana politiknya cukup mengesankan. Kritikan sosialnya dalam Jiwa Hamba, Luka Rakyat dan Mustadh'afin patut dibahaskan. Sudut pandangan Azizi mampu mencetuskan idea baru atau sekurang-kurangnya membuka polemik. Bagaimanapun, lebih terasa apabila isu-isu rakyat berjaya diungkapkan dengan cukup bertenaga. Kritikannya keras tanpa selindung tetapi berfakta dan beralas.
Azizi serius dalam berkarya walaupun beliau mengakui gopoh dan terburu-buru mahu menyiapkannya. Banyak cerpen dan novel Azizi ada kaitan dengan pengalaman hidup beliau terutama menyentuh kisah bapa dan emaknya seperti dalam teks sastera Seorang Tua di Kaki Gunung.
Untuk menghasilkan novel Anak Belantara Tropika, Azizi ke Kg Uma Bawang, di daerah Baram, Sarawak bagi merasai sendiri keperitan masyarakat Penan. Di sana sajian makanannya hanya nasi dengan sayur kangkung berlendir, dengan daging babi disalai di belakang rumah penginapannya.
Kami sering bertanya khabar selepas saya menjalani rawatan jantung melalui operasi angioplasti, Disember 2009. Azizi juga menghadapi masalah jantung. Beliau kerap mengingatkan saya tentang petua dan pantang larang, malah turut mengirimkan "bawang putih bakar" untuk menurunkan paras kolestrol saya.
Azizi menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Pulau Pinang selepas setahun saya melaluinya di HUKM. Apabila dimaklumkan beliau tidak dapat keluar daripada ICU walaupun setelah sebulan dibedah, saya mula bimbang.
Selalunya pesakit biasa hanya memerlukan tiga hari sahaja sebelum dipindahkan ke wad biasa. Tambah merisaukan saya apabila diberitahu Azizi berdepan komplikasi ginjal. Amat melegakan apabila suatu hari saya menerima SMS daripadanya yang meminta alamat emel saya. Azizi mahu menghantar gambarnya tersenyum ceria bersama anak perempuannya, dan ia disiarkan Harakah.
Seminggu sebelum kematiannya, SMS saya kepada Azizi tidak berbalas lagi. Sehinggalah saya dikejutkan dengan pemergian seorang sasterawan rakyat, yang cukup merendah diri, dan jika pegangan politiknya tidak diambil kira, beliau tentu telah dinobatkan sebagai sasterawan negara lebih awal daripada beberapa orang penyandangnya.
Salam Aidilfitri, maaf zahir batin.
No comments:
Post a Comment