" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Thursday, October 29, 2009

xnak umno : Spesis ISA dalam PAS

Aminah sedang memvakum karpet di rumahnya. Segala debu terbang menghuni di dalam beg kotoran. Satu ketika, Aminah melihat kotoran masih tersisa di atas lantai. Puas disedutnya namun hampa. Aminah melihat alat penyedut. Rupa-rupanya terdapat banyak rambut melekat yang menghalang kotoran lain disedut melaluinya. Aminah membuang rambut-rambut itu dan meneruskan semula kerja membersih.

*******************

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

al-Hujurat; 6

Tatkala menyalin surah al-Hujurat, ayat 6 , hati tergugah mengenang dugaan Allah pada diri. Di zaman belajar dahulu, ayat ini sentiasa diulangi lewat usrah dan tamrin yang bertubi-tubi. Menjadi sunnatullah, setiap perkataan pasti diuji, maka berhati-hatilah apabila mahu berkata-kata agar hati tidak mati.

I.S.A

Hati tersayat setiap kali melihat jentera PAS melaung-laung hapuskan ISA… mansuhkan ISA. Pelbagai usaha dibuat dari doa hinggalah proses teknikal undang-undang. Saya sendiri pernah diancam ISA. Saya dengan suami stress semacam. Kebetulan kami ada ‘family day’ jabatan di sebuah kawasan peranginan, dapatlah melegakan sedikit perasaan. Masing-masing bungkam tidak dapat berkata apa-apa. Satu insiden kecil berlaku, di bilik chalet, air panas tercurah di atas lengan semasa membuat susu si kecil (Aesya pada masa itu). Perasaan tertekan tergugah kembali. Alhamdulillah, gel gamat sentiasa dibawa bekal. Selepas melumur gel gamat, kulit yang kepanasan segera dingin dan tiada kesan lagi. Hanya merah-merah sekejap. Peristiwa yang menyebabkan kami berdepan dengan ancaman ISA tidak perlu diceritakan di sini buat masa ini. Apa yang pasti, peguam sendiri yang menyatakan demikian. Hal remeh -temeh yang kami lakukan berdepan risiko dikenakan ISA.

Merasai kemungkinan dikenakan ISA sudah pun menganggu ketenteraman hidup, apatah lagi mereka yang benar-benar melaluinya. Hati turut benci dan bersemangat setiap kali kempen-kempen mengenainya diutarakan di media. Siapa yang suka dizalimi? Siapa yang suka dianiaya? Tanyalah pada binatang sekalipun, jawapannya, “Oh No!” Pasti. Iya sudah pasti. Kerana itu, Islam mengharamkan kezaliman walaupun pada tumbuhan dan haiwan yang tidak berakal. Apatah lagi bersifat zalim sesama manusia yang punya nilai kebebasan dalam hidup mereka.

Abi Zar r.a melaporkan bahawa Nabi S.A.W berkata, ”Allah Taala berkata,

’Wahai hamba-hamba-Ku, Aku telah haramkan ke atas diri-Ku sifat zalim dan Aku jadikan kezaliman itu juga haram ke atas kamu semua maka janganlah berlaku zalim sesama sendiri.

Direkodkan oleh Muslim

Zalim adalah HARAM MUTLAK selama-lamanya. Namun itulah, ramai manusia menzalimi diri sendiri. Setinggi mana tahap kezaliman pada diri sendiri, setinggi itu pulalah penzalim akan menganiaya orang lain. Setiap individu tidak akan berlaku zalim pada orang lain selagi mana dia adil pada diri sendiri. Zalim tahap pertama seseorang pada diri sendiri adalah melupakan Allah, maka Allah lupakan mereka. Allah menyarankan di dalam surah al-Baqarah, ayat 152,

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُواْ لِي وَلاَ تَكْفُرُونِ

Maksudnya:

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi syariatKu), Aku akan ingat kamu (yakni Aku membalas kamu dengan kebaikan) serta bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).

Apabila dengan Allah manusia tidak takut, tiada lagi kuasa lain yang dapat menghalangnya berbuat jahat. Apabila Allah melupakan kita, maka tiada lagi kuasa yang dapat menahan kita dari berbuat maksiat kecuali kita hanya akan dibantu iblis semata-mata. Apabila Allah lupakan kita, maka iblis bebas berkeliaran menguasai hati kita. Tiada kuasa yang dapat menghalang tipu daya iblis KECUALI ALlah. Hanya ALlah yang maha tahu dan melihat gerakgeri iblis.

Tanyalah seluruh manusia di dunia, siapa yang pernah melihat iblis dengan rupanya yang sebenar? Kalau rupanya sahaja kita tidak mampu melihat, bagaimana kita mampu melawan musuh yang tidak nampak? Tidak dapat tidak kita ‘terpaksa’ baik dengan Allah dan memohon pertolongan zat yang dapat melihat musuh tersebut.

Dalam membara semangat mahu ISA dihapuskan, hati disayat-sayat lagi. Akal meneroka peristiwa demi peristiwa kezaliman ahli PAS sesama ahli. Zalim yang tersembunyi namun cukup menjadi barah kepada perjuangan PAS.

Berikut adalah contoh-contoh yang pernah berlaku;

Peristiwa 1

Si fulan suka menuduh si fulan tanpa usul periksa. Hanya semata-mata sahabat menguzurkan diri dari menghadiri program, kata-kata berikut dilepaskan, “Si fulan sudah tercicir dari perjuangan”.

Andai kata-kata itu tidak dilepaskan di lisan, tiada siapa yang akan mengetahui. Si penuduh juga masih sempat beristighfar dan membersihkan hati. Namun bila sudah terlancar kata, benarlah ungkapan,

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya

Jika sedikit empati dan sangka baik ada dalam diri, si penuduh boleh sahaja berfikir, “Kenapa si fulan tidak hadir ye? Apa yang telah terjadi padanya? Mungkin dia sedang menghadapi masalah berat. Aku akan bertanya sendiri padanya bila bersua”.

Cuba fikir, satu ketika yang lain, si penuduh berhadapan dengan masalah sehingga tidak dapat menghadiri program, apakah dia gembira rakan-rakannya membuat tuduhan yang sama dan menyebarkan pula pada orang lain?

Peristiwa 2

Di satu kawasan, si ibu memegang jawatan bahagian muslimat. Si bapa juga memegang jawatan penting dalam parti. Anak teruna pula memegang jawatan penting dalam Pemuda. Menantu pula pegang jawatan dalam sayap kiri.

Seorang yang pendek akal fikirannya (kerana lupa kepada mati) berkata, “Hai… si fulan ini melantik kroni dia sahaja pegang jawatan itu dan ini”. Sebelum disebarkan kata-kata yang tiada hujjah itu, adalah baik menyelidik dahulu perkara yang menimbulkan keraguan tersebut. Jika mereka benar-benar layak memikul amanah tersebut, tidak timbul lagi soal kroni atau nepotisme.

Ungkapan ini bila sudah didengar merata-riti, ia menjadi fitnah kepada mangsa. Ia akan menusuk dan menguasai hati pendengar. Seterusnya menimbulkan kebencian dan perpecahan. Anak buah yang termakan kata-kata itu akan kurang thiqah pada pemimpin itu lagi.

Akibatnya sungguh buruk sekali.

Tuduhan itu merupakan satu bentuk hukuman sebelum mangsa dibicarakan. Mangsa fitnah tidak ditanya terlebih dahulu tentang rasional dan justifikasi hal itu berlaku, kemudian tersebar khabar bahawa dia seorang kronisme dan nepotisme.

Bagaimana jika penyebar fitnah itu rasa bila seseorang menyebarkan berita buruk mengenainya, sedangkan dia sendiri tidak pernah ditanya dan diberi peluang membuat penjelasan. Tup..tup keluar kesimpulan menyatakan dia seorang yang berat sebelah dan berbagai fitnah lagi.

Fitnah itu lebih berat dari membunuh. C4 yang membunuh Altantuya kita nampak, fitnah yang membunuh sesama saudara kita pejamkan mata.

Peristiwa 3

Seorang ulama yang ikhlas didermakan (baca: dipinjamkan) kereta mewah oleh jutawan pemurah. Hasad dengki yang merasuk jiwa mula meluncurkan kata-kata, “Ulama itu terima rasuah”.

Alangkah mudahnya lidah tidak bertulang menghukum seseorang.

Adakah sama menerima derma (baca: dipinjamkan) dengan menerima rasuah?

Sungguh jelik pemikiran orang yang menuduh dan membuat fitnah. Hati diselaputi buruk sangka atau Phd (Pingat Hasad Dengki), maka dia menyangka ulama itu sanggup/tergamak melakukan dosa besar itu. Kemungkinan besar yang ada, si pemfitnah itu sendiri yang tergila-gila kereta mewah tetapi tidak dapat memperolehinya atau jika ada, dia mendapat dengan susah payah.

Menyangka seseorang yang alim dan takutkan Allah sanggup melakukan dosa besar adalah kesalahan besar. Ulama bertaqwa tidak maksum namun mereka bukanlah golongan yang akan sengaja berbuat dosa. Lazimnya perbuatan dosa berlaku dalam 3 keadaan yang diampunkan Allah;

  1. Tidak tahu.
  2. Terlupa.
  3. Tidak sengaja.

Nabi s.a.w berkata;

Telah diangkat dosa dari ummatku bila mengerjakan sesuatu kerana tersalah, terlupa dan dipaksa.

Hadis direkodkan oleh Ibn Mâjah, aT-Thabarani dan al-kim

Allah berkata di dalam surah al-Ahzab ayat 5,

Dan tidak ada dosa atas kamu mengenai pekerjaan-pekerjaan yang kamu kerjakan kerana silap, yang salah ke atas kamu ialah perkara-perkara yang kamu kerjakan dengan sengaja.

Peristiwa 4

Seorang guru digantung jawatannya atas kesalahan yang dia sendiri tidak tahu mengenainya. Guru itu tidak pernah dipanggil dan ditanya mengenai aduan tentang kelakuan yang dianggap menyalahi etika.

Sekadar mendengar dakwaan dan aduan dari pihak yang tidak dapat dipastikan niatnya, guru tersebut menerima surat digantung kerja berbulan-bulan. Dalam tempoh digantung, gajinya hanya separuh dari kadar biasa yang sememangnya tidak banyak.

Guru tersebut punya keluarga yang harus ditanggung.

Bukankah ini satu bentuk hukuman ala-ala ISA? Dihukum tanpa dibicarakan. Cuma tidak dipenjarakan.

Untuk direnung

Semua contoh peristiwa di atas menyalahi etika menyelidik sebagaimana yang diaktakan ayat 6 surah al-Hujurat. Maka bergelimpangan mangsa-mangsa ala-ala ISA yang menerima hukuman dari pimpinan mereka sendiri baik dalam situasi rumahtangga (isteri menuduh suami, suami menuduh isteri), kerjaya, suasana kerja dalam parti dan lain-lain. Ia muncul dari sikap zalim pada diri sendiri; gopoh, pongah, hasad dengki, suka ‘laser-laser’, suka bawa cerita, tidak cermat menerima khabar, terburu-buru pula buat keputusan, tidak suka bertanya perkara yang tidak faham sebaliknya terus menuduh yang bukan-bukan. Cubalah buat kajian di kalangan ahli dan pendokong PAS, berapa ramai yang pernah diISA kan dalam PAS. Selidik sahaja dari pucuk pimpinan tertinggi parti hingga ke akar umbi. Selami hati mereka dan kembali kepada Islam bagaimana cara menyucikannya.

Sejak dahulu, kini dan ‘moga bukan selamanya’, insiden-insiden begini sering berlaku. Mangsa aniaya sering sabar dan sabar dengan kerenah sahabat-sahabat sejemaah, namun aduan dan keluhan mereka yang teraniaya ini kepada Allah sedikit sebanyak memberi kesan kepada perjuangan umum. Sudah tentu mereka tidak berdoa agar Allah memayahkan perjuangan PAS namun kezaliman adalah sesuatu yang diharamkan oleh Allah pada sesiapa pun jua. Sebelum Allah membantu PAS menghapuskan ISA ciptaan UMNO, ragam dan kerenah ala-ala ISA yang wujud di dalam PAS lah yang WAJIB dihapuskan dahulu. Barulah Allah akan memberi kunci pertolongan yang tidak disangka-sangka. Pertolongan Allah itu memang dekat namun kitalah yang meletakkan tabir hijab yang tidak kelihatan itu sehingga yang dekat terasa jauh.

Hanya vakum yang bersih dapat membersihkan kotoran di luarnya. Kalau beg vakum sendiri sudah penuh kotorannya dan alat penyedut juga tersumbat, kotoran diluar tetap akan tinggal diluar. Sebanyak mana kotoran luar dapat disedut bergantung kepada sekadar mana ada ruang-ruang kosong di dalamnya. Mana mungkin disedut-sedut selagi kotoran di dalam beg dan yang melekat di alat penyedut tidak dibuang.

Laluan taqwa itu memang payah namun itulah titian ke syurga.

Ayat 2 dan 3 dari surah al-Talaq menyebut,

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Islam itu mendamaikan sesama ummah.  Biarkan merpati itu bebas kerana mereka juga punya hak peribadi.  Foto Aziz dan merpati di taman berhampiran Opera House Sydney 2007

Islam itu mendamaikan sesama ummah. Biarkan camar itu bebas kerana mereka juga punya hak peribadi. Foto Aziz dan camar di taman berhampiran Opera House Sydney 2007

Abu Hurairah r.a melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w berkata,

لَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَنَاجَشُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ وَلَا يَحْقِرُهُ التَّقْوَى هَاهُنَا وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنْ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ

Maksudnya: “Janganlah kamu saling berdengki. Janganlah kamu saling menjatuhkan. Janganlah kamu saling membenci. Janganlah kamu saling bermusuhan. Janganlah sebahagian kamu menjual di atas jualan sebahagian yang lain. Maka jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara.

Setiap muslim merupakan saudara kepada muslim yang lain; dia tidak boleh menganiaya dan tidak boleh menghinanya. Taqwa itu berada di sini.” (sambil Rasulullah s.a.w mengisyaratkan tangannya ke dada sebanyak 3 kali).

“Cukuplah seseorang itu dianggap jahat bila dia menghina saudaranya sesama muslim. Setiap muslim atas muslim yang lain haram darahnya, hartanya dan kehormatannya”.

Hadis direkod oleh Muslim.

Selidik, semak, periksa

Konsep ‘tabayyanu’ itu perlu diteliti dan diperhalusi. Kes yang sering terjadi ialah mereka yang diadukan tentang si fulan dan si fulan, hanya mendengar dari sebelah pihak. Ada yang terus menerima. Sebahagian mereka menyelidik dan mendapatkan saksi namun mereka tetap mendengar sebelah pihak sahaja. Mereka mendengar dari individu yang ‘bias’. Sedangkan antara syarat saksi ialah adil.

Di dalam mahkamah sendiri, hakim tidak akan menjatuhkan hukuman sebelum mendengar hujjah kedua belah pihak. Meskipun pihak pendakwa mempunyai bukti kukuh, namun ia dibaca dan dipertontonkan di hadapan tertuduh. Tertuduh tahu apa yang diperkatakan mengenainya dan tahu sumber-sumber tuduhan itu dikenakan ke atasnya.

Konsep kehakiman ini perlu diperluaskan amalannya di dalam mana-mana institusi; persahabatan, keluarga, jemaah, parti, jabatan dan lain-lain.

Para pemimpin mana-mana peringkat sekalipun (seperti ibu dengan anak-anaknya dan lain-lain) perlu lebih berhati-hati dalam memutuskan sesuatu perkara. Selidiklah dengan cermat dan dengar keterangan dari kedua belah pihak. Banyak perkara yang berlaku, hukuman dijatuhkan kepada yang didakwa sebelum mendengar penjelasannya terlebih dahulu. Insan yang didakwa pula menerima hukuman tanpa mengetahui asal usul tuduhan yang dikenakan. Ia sungguh membingungkan dan betapa melemaskan perasaan. Nasib baik Allah sering memujuk untuk membela hamba yang dianiaya meskipun mereka kafir sekalipun. Jangan main-main!

Budaya cepat menghukum ini diakui berleluasa juga di medan internet dan media cetak. Namun tulisan ini tidak bermaksud melihat ‘ke luar’, sebaliknya mahu mengajak pembaca melihat ke dalam diri sendiri.

Semaklah amalan diri selama ini, adakah aku pernah menganiaya sesiapa sama ada secara sengaja atau tidak? Isteriku…suamiku…anak-anakku… sabahat-sahabatku…anak buahku di dalam jemaah mahu pun di alam kerjaya. Jika sedar pernah melakukannya, segeralah bertaubat, memohon maaf dari mangsa dan perbaiki akhlak diri. Buang mazmumah di hati dan bersiap diri untuk mati. Orang yang paling cerdik ialah yang paling banyak mengingati mati. Bila bertambah ramai ahli PAS yang cerdik hasil banyak ingat mati ini, hijab dosa-dosa ahli akan semakin menipis. Bila hijab menipis, akan jelas kelihatan pertolongan Allah itu.

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا. يُرْسِلِ السَّمَاء عَلَيْكُم مِّدْرَارًا

Sehingga aku berkata (kepada mereka), “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.”
“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu.”

Surah Nuh: 10-11

Hadis Abu Zar di atas diakhiri dengan kalimah berikut;

Wahai hamba-hamba-Ku, kamu semua melakukan salah dan silap setiap masa dan Aku adalah pengampun dosa-dosa, maka pohonlah keampunan daripada-Ku nescaya Aku akan ampunkan…”

Direkodkan oleh Muslim

sumber:

http://keranacinta.wordpress.com/2009/10/21/spesis-isa-dalam-pas/

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111