KUALA LUMPUR : PAS negeri Sabah sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dengan menampilkan calon yang setia dalam perjuangan serta beramanah dalam memikul tanggungjawab rakyat.
Perkara itu didedahkan Pesuruhjaya PAS Sabah, Tuan Haji Muhammad Abdullah ketika dihubungi erapakatan.com.
Menurutnya, calon berkenaan juga akan melalui proses baiah (aku janji) terhadap parti sebagai tanda taat dan setia selain tidak mengkhianati amanah rakyat walaupun selepas memenangi pilihanraya.
“Rekod menunjukkan ahli PAS yang menang dalam pilihanraya bukan sahaja tidak keluar parti tetapi juga berjaya menunjukkan prestasi yang baik
Rakyat Sabah boleh menilai sendiri bagaimana isu keluar parti yang berlaku ketika ini langsung tidak melibatkan PAS.
Namun, saya tetap yakin apa yang dialami PKR sebagai satu proses pembersihan pengkhianat dalam parti itu,” katanya yang juga Ahli Perniagaan.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sabah agar mengundi calon PAS dan Pakatan Rakyat pada PRU akan datang bagi memastikan hak mereka dipelihara sekaligus menumbangkan Barisan Nasional.
Beliau turut menjelaskan, calon dari parti itu yang akan ditawarkan kepada rakyat Sabah kelak merupakan gabungan golongan professional dan tokoh agama yang memiliki keperibadian akhlak yang baik serta sanggup berkorban memperjuangkan rakyat.
“Kita akui calon amat ramai untuk bertanding, namun kita akan tapis dengan cermat dan teliti sebelum dikemukakan kepada Presiden parti, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang melawat Sabah bersama Pengarah Pilihanraya PAS Pusat April ini.
Selepas itu, kita akan muktamadkan calon yang disenarai pendek. Tetapi yang pasti, calon yang akan kita tawarkan terdiri daripada calon yang terbaik untuk rakyat Sabah,” tambahnya.
Bekas calon PAS pada PRU lalu itu turut memberitahu bahawa mesyuarat PAS Sabah baru-baru ini memutuskan untuk bertanding 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Sembilan kerusi Parlimen pada pilihanraya akan datang.
“Kerusi-kerusi itu ditetapkan selepas melihat sokongan dari akar umbi selain penerimaan rakyat Sabah yang semakin baik terhadap PAS terutamanya selepas 8 Mac 2008.
Walaupun begitu, kita di pihak PAS tetap mementingkan perbincangan yang baik bersama komponen PR kerana ‘mood’ rakyat Sabah ketika ini mahu BN didiganti oleh kerajaan PR, namun semua itu memerlukan kerjasama yang baik diperingkat parti-parti pembangkang di Sabah,” jelas beliau.
Pada PRU lalu, PAS hanya bertanding di dua kerusi Dun masing-masing di Merotai dan Sukau yang menyaksikan calon-calon parti itu ditentang lima dan lapan penjuru.
Pengerusi BN, Najib Razak semasa berkempen di Sarawak pada tahun 2008 pernah berkata, beliau tidak risau jika parti pembangkang lain menang, tetapi beliau lebih risau jika PAS menang, kerana sekali menang, parti itu akan terus merebak dan membiak.
Walaupun PAS hanya memasuki Sabah pada tahun 1986, namun prestasi parti itu di Sabah cukup membanggakan apabila institusi pendidikan PAS negeri melalui tadika Pusat Asuhan Tunas Islamnya (PASTI) bagi kawasan Tawau, Sabah dinobatkan sebagai PASTI terbaik seluruh negara sempena sambutan Jubli Perak PASTI Malaysia pada 31 Oktober tahun lalu.
Malah hadiah kemenangan itu disampaikan sendiri oleh Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar (MB) Kelantan Tuan Guru, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai menghargai komitmen PAS memartabatkan pendidikan Islam di negeri itu.
EraPakatan
No comments:
Post a Comment