Oleh Dinsman
Isu APCO dan kegelabahan Umno-BN pimpinan PM Najib Razak yang begitu sekali terdesak hingga terpaksa dan sanggup menggunakan khidmat Yahudi Israel itu nampaknya mendapat reaksi yang panas daripada pembaca.
Seorang bernama Ishak dari Kedah menghantar SMS begini: “Saya harap pihak tuan syorkan kepada pemimpin-pemimpin PAS untuk berdemonstrasi besar-besaran supaya kerajaan hentikan segera hubungan dengan syarikat APCO Yahudi. Walaupun sebelum ini saya tak pernah berdemo, tapi kali ini demi Islam saya sanggup turun ke jalan raya.”
Seorang lagi SMSnya begini: “Tahukah sdr, hanya pembaca Harakah sahaja yang tahu isu APCO yang sedang hangat? Penyokong PR pun terkejut, bila kita tanya – tak tahu. Mereka hanya tahu sesuatu isu melalui TV, radio dan akhbar pro-BN. Kalau orang PAS pun tak tahu, orang Umno tak payah tanyalah. Harakah mereka tak baca. Masalahnya, bagaimana nak bagi semua orang, tak kira fahaman, tahu suatu isu dengan cepat dan berkesan?
“Nak harap Harakah atau akhbar pro-PR, tak mampu. Kampung saya penduduk 400 orang, yang baca Harakah 2 orang. Walaupun mereka sokong PR, tapi tak minat baca Harakah. Minta sdr, rakan-rakan, pemimpin-pemimpin, fikir untuk selesaikan masalah ini. Selagi maklumat tak sampai, tak menang. Buat demo, okey.”
Dan satu lagi dari kawan saya Bakar di Shah Alam. “Dah banyak kita cakap tentang APCO dan syarikat-syarikat yang berkaitan,” katanya melalui SMS. “Tapi yang bising-bising hanya akhbar-akhbar alternatif, termasuk blog. Akhbar-akhbar aliran perdana tak ada, dan kita pun faham pasal apa tak ada. Rakyat terbanyak tak berapa tahu. Aku ada tanya beberapa orang, memang tak tahu. Bila aku bagi Harakah dan Suara Keadilan, baru mereka terkejut.
“Parti PR, khususnya PAS kena gembleng tenaga cepat-cepat dan serentak di sana-sini, seluruh negara. Buat demonstrasi aman lepas Jumaat, dan majlis-majlis penerangan. Jadikan macam satu ‘pesta’, lebih-lebih lagi masa kempen di Hulu Selangor. Aku yakin keseluruhan rakyat, khususnya Islam, marah apa-apa yang berkaitan dengan Yahudi.”
Barangkali Dewan Pemuda PAS Pusat sedar akan masalah ini, maka kita dengar mereka sedang mengatur road-show ke seluruh negara untuk menerangkan isu ini kepada rakyat. Tapi begitu pun, saya segera panjangkan juga beberapa SMS pembaca yang relevan kepada Suhaizan, ketua penerangannya.
Dan apabila saya maklumkan hal itu kepada Bakar, dia memberi komen: “Kena bertindak cepat, kurangkan mesyuarat, segera tangkap momentum yang ada.” Ya, betul. Saya setuju.
Tapi ada pula kawan saya dari Terengganu yang meminta supaya berhati-hati. Jangan fikir hanya berdasarkan sentimen di pihak kita sahaja, katanya. Memang betul sentiemen orang Melayu marah kepada Yahudi Israel. Tetapi PRK Hulu Selangor ini juga merupakan lapangan ujian bagi keberkesanan strategi dan nasihat daripada pakar-pakar APCO yang digunakan oleh pihak Najib bagi memulihkan kembali kemenangan Umno-BN.
“Jangan kita lupa akan faktor itu,” katanya, mengingatkan. “Dan kau jangan terkejut kalau BN menang dalam PRK ini.”
Ah, begitu pula! Apa pun, hal-hal politik itu orang-orang politiklah yang lebih mengetahui-nya, dan tahu bagaimana hendak mengurusnya. Orang-orang budaya sekadar membantu mana-mana yang sesuai sahajalah.
Apa lagi dalam situasi PRK seperti ini! Kalau dalam PRK Kuala Terengganu dulu orang-orang budaya turun membantu rakyat dengan membawa isu PPSMI, mungkinkah dalam PRK Hulu Selangor ini orang-orang budaya turun membawa isu APCO?
Isu PPSMI dulu itu memang isu budaya. Tetapi isu APCO ini bukan isu budaya. Ia isu politik, agama dan keselamatan negara. Ia bukanlah isu yang boleh “dibawa” oleh orang-orang budaya. Namun itu tidak bermakna orang-orang budaya tidak perlu turun membantu rakyat di Hulu Selangor pada saat-saat mereka dipertanggungjawabkan untuk membuat pilihan di antara dua komponen parti yang sedang berebut kuasa di negara ini.
Kawan-kawan dalam Budayawan Bertindak (BB) saling bertanya-tanya – bilakah kita akan turun ke Hulu Selangor? Secara kebetulan sebenarnya BB, melalui Prof Shaharir, sedang merancang untuk membuat sanggahan dan menjawab hujah-hujah Dr Mahathir dan Ibrahim Ali mengenai Perkasa, iaitu bagi menyatakan dan menjelaskan bahawa orang Melayu hari ini sebenarnya tidak memerlukan Perkasa.
Selain itu, Sasterawan Negara A Samad Said yang baru saja mempamerkan “Kata Luhur”nya yang pekat dengan warna hitam dan merah yang meluahkan amarahnya kepada beberapa peristiwa khianat terhadap budaya dan bahasa, melalui karya-karya “lukisan”nya di Balai Seni Lukis Negara pada 9 April lalu (sempena usianya 75 tahun), rupa-rupanya masih lagi menyimpan lara qalbu yang terdera.
“Sepatutnya saya gembira,” katanya dalam entri terbaru blognya Wirabukit. “Tapi qalbu saya terdera, kerana sepanjang hidup dewasa saya asyik saja menyaksikan negara resah.”
“Malaysia sepatutnya sudah mewah, malah bahagia,” katanya lagi. “Orang Melayu dengan segala peluang dan dana dulang emasnya sepatutnya makmur dan bahagia. Mereka menjadi akar segar kebahagiaan bagi semua rakyat Malaysia. Tapi realitasnya sangat membingungkan. Pedih malah. Ekuiti bangsa sendiri pun kini tercatat tinggal hanya RM2 bilion. Awalnya RM54 bilion. Siapa penggogoknya?”
“Dan, renungilah, kita sudah 6 dekad Merdeka di bawah 6 PM Melayu - (saya ulangi: di bawah 6 PM Melayu) - yang kesemuanya wira Umno! Jika sesudah perjalanan sejauh itu dengan kuasa amat lama di tangan, tiba-tiba kita masih juga perlu diselamatkan Perkasa, apakah hikmahnya 5 dekad kita berkuasa?”
Demikianlah catatan harijadi yang sepatutnya ceria dan meriah itu pun bertukar menjadi percikan api yang membahang. Maka Samad Said pun menyatakan kesediaannya untuk tampil di atas pentas PRK Hulu Selangor pada 21 April (di Kuala Kubu Baru). Mungkin bersama-sama dengan penyair-penyair dalam Budayawan Bertindak dari seluruh negara.
Siapa menang siapa kalah – itu biarlah orang-orang politik yang memikirkan dan mengurusnya. Orang-orang budaya hanya akan membantu rakyat untuk memahami dan menghayati perkara-perkara tertentu, melalui pernyataan seni dan budaya, khasnya melalui persembahan Baca Puisi.
(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)
No comments:
Post a Comment