" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Friday, April 23, 2010

Isu Hulu Selangor di tengah peristiwa-peristiwa

Oleh Dinsman

Beberapa hari ini telefon saya dihujani SMS dan panggilan yang memberi pandangan, bertanya dan menggesa dibuat sesuatu mengenai kempen pilihanraya kecil Hulu Selangor. Kebanyakannya tertumpu pada tiga isu – taktik kotor serangan peribadi terhadap Zaid Ibrahim calon PKR, isu Najib gunakan penasihat APCO dari Israel (yang cuba disembunyikan oleh pihak media pro-BN), dan isu Dr Halili Rahmat keluar PKR masuk Umno, yang pengumumannya dibuat bersama Salehuddin Hashim (seperti dalam peristiwa sebelumnya juga).

Saya sebenarnya kurang berminat untuk membincangkan isu-isu politik semasa yang bersifat sangat sementara itu, pada masa ini. Kebetulan pula ada beberapa cerita dan persoalan seni dan budaya yang sangat menarik, yang ingin saya bincangkan sebagai kesinambungan daripada perbincangan-perbincangan lalu.

Pertama, mengenai pameran lukisan “Kata Luhur” yang mempamerkan 100 karya seni lukis oleh Sasterawan Negara A Samad Said, yang sedang berlangsung di Balai Seni Lukis Negara, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, sejak 9 April lalu dan akan berakhir pada 10 Mei. (Datanglah!) Ini pameran lukisan solo yang kedua oleh Samad Said.

Kedua, mengenai Lajnah Kesenian dan Kebudayaan PAS pimpinan Dr Dzulkifli Ahmad, yang baru saja memulakan gerakannya tetapi selepas dua kali mesyuarat dan sekali perbincangan mengenai aktiviti-aktiviti seni-budaya yang akan dijalankannya, telah memperlihatkan tanda-tanda yang menjanjikan beberapa peristiwa penting akan berlaku dalam dunia seni budaya dan seni hiburan di negara kita tak lama lagi, terutamanya dengan penglibatan tenaga-tenaga muda yang mekar dari Nasyeed.com.

Ketiga, mengenai dua buah masjid yang berani menganjurkan aktiviti seni budaya. Pertama, Masjid Batu, Permatang Pauh, yang merupakan masjid pertama di dunia mementaskan teater di dalam ruang solatnya, iaitu teater Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT), pada 30 Mei 2009. Dan pada 23 April ini ia menganjurkan pula majlis Bicara Buku – bukan buku agama tetapi buku budaya, iaitu Kumpulan Esei Budayawan Bertindak (KEBB).

Satu masjid ialah Surau An-Nur, Bandar Baru Bangi. Keberaniannya bukan setakat menganjurkan persembahan teater dalam ruang solatnya (seperti Masjid Batu dan juga Masjid Al-Amaniah, Batu Caves), tetapi ia mengambil langkah yang lebih berani daripada itu, dengan meminta pihak kami (kumpulan yang mengadakan pementasan MKDT) menggunakan alat muzik biola dalam pementasan tersebut.

IKLAN PERCUTIAN - PURNAMA BEACH RESORT TELUK NIPAH

Biasanya apabila membuat pementasan dalam masjid atau surau, kami menggunakan alat muzik gendang sebagai ganti alat muzik biola yang digunakan dalam persembahan biasa. Sebabnya ialah kerana ulama-ulama kita percaya bahawa penggunaan alat muzik bertali tidak dibenarkan.

Walau bagaimanapun, pihak masjid ini di bawah pimpinan Hj Ahmad Razali, pengerusinya, telah meminta pandangan daripada Datuk Dr Harun Din (Timbalan Mursyidul Am PAS), samada boleh atau tidak menggunakan biola di dalam masjid, untuk mengiringi persembahan teater yang diolah daripada Hadis Nabi. Jawapan yang diberikan: boleh!

Berdasarkan pandangan berani Datuk Dr Harun Din itu, maka pada 17 April lalu Sani Sudin pun buat pertama kalinya menggunakan biola dalam persembahan MKDT di dalam masjid, bersama dengan Sabri Yunus yang melakonkan watak Ka’ab bin Malik.

Pastinya itu adalah suatu titik-tolak penting dalam perkembangan seni-budaya kita, khasnya seni-budaya Islam. Sekian lama penggiat seni muzik yang ingin mematuhi batas-batas syariah berteka-teki mengenai apa yang dikatakan “muzik bertali itu haram di sisi Islam” – kini mereka tentunya bergembira dengan langkah yang dibuat oleh Surau An-Nur ini.

Bahawa muzik bertali tidak haram dimainkan sekiranya ia tidak disertai dengan aktiviti-aktiviti yang ditegah oleh Islam. Itulah pendapat tegas yang dipegang oleh pihak pentadbir masjid yang terkenal di Bandar Baru Bangi itu.

Samada pendapat ini akan diterima atau ditentang oleh pihak lain, itu kita belum pasti. Mungkin ada yang menerima dan ada yang menentang. Tak mengapa. Sekurang-kurangnya, bagi pihak penggiat-penggiat seni kita sudah ada satu sumber rujukan berwibawa yang boleh dirujuk.

Itu tiga perkara. Yang keempat, pada 1 Mei ini akan berlangsung satu perjumpaan seniman dan budayawan dari tiga kelompok penting, di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kota Bharu. Mereka ialah Persatuan Penulis Kelantan (PPK), Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (Asasi), dan Budayawan Bertindak (BB) yang berpusat di Kuala Lumpur. Antara lain aktivitinya ialah diskusi buku KEBB.

Sesi diskusi buku dalam kumpulan kecil-kecilan secara santai dan tidak formal yang dicadangkan oleh anak-anak muda kelompok Zaidi dan Jihan itu, rupa-rupanya bertukar menjadi suatu sesi yang agak besar begitu, setelah mendapat sentuhan Anbakri dan Fattah Mahmud. Tidak mengapalah. Asalkan jadi. Mungkin selepas ini kita boleh buat lagi.

Dan satu lagi peristiwa seni-budaya yang ingin saya sebut (di celah-celah kempen politik Hulu Selangor itu) ialah komitmen Samad Said untuk berdakwah. Ini diakuinya sendiri di hadapan umum dalam majlis penting gilang-gemilang perasmian “Kata Luhur”nya di Balai Seni Lukis Negara pada malam 9 April lalu. Ketika umurnya sudah 75, katanya, dia ingin berdakwah.

Dan dia memilih skrip teater Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT) sebagai bahan dan alat dakwahnya. Mengajak dan mengajar manusia supaya berkata benar. Itulah intisari mesej dari teater MKDT, yang ingin didakwah oleh Samad Said, bermula pertengahan Mei ini.

Dan mulai malam 20 April, Samad memulakan sesi latihannya di ruang lakon sebenar (di DBP), setelah kira-kira dua bulan dia menghafal skrip itu di rumah dan juga di masjid. Sama-samalah kita tunggu saat penting ini.

Dan sementara itu saya memohon maaf kerana tidak sempat hendak menulis mengenai PRK Hulu Selangor yang bahangnya semakin membara itu. Apa pun, kita doakan kemenangan di pihak Pakatan Rakyat, yang diwakili Zaid Ibrahim. Semoga Allah membantu perjuangan kita.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111