Oleh Khalid Samad
Keputusan pilihan Raya kecil Hulu Selangor sudah diketahui umum. Ramai para penyokong dan para pengundi yang merasa duka cita dengan kekalahan yang dialami serta tertanya-tanya apakah yang telah menyebabkan kekalahan kali ini. Apakah yang telah tersilap dan siapakah yang melakukan kesilapan tersebut?
Sememangnya kelemahan dan kekurangan sudah pasti wujud. Pada pendapat saya, ianya wujud dan akan terus wujud pada setiap ketika dan tempat. Cuma bezanya, bagaimanakah kita mengimbangi kekuatan dan kelemahan ini
Maka, adakalanya kelemahan itu menyebabkan kekalahan, kerana di sebabkan kekuatan yang ada tidak mampu mengatasi kelemahan berkenaan. Dalam pada itu, adakalanya kelemahan yang sama, pada tempat dan suasana yang lain, dapat pula disulami oleh kekuatan yang ada pada ketika itu, sehingga kekalahan dapat dielak dan kemenangan dikecapi. Dalam erti kata yang lain, janganlah pula tercari-cari sebab dan alasan yang tertentu yang tidak wujud dan mula menyalahkan di antara satu sama lain.
Hakikatnya semua pihak telah turun dengan sehebatnya, walaupun ada kelemahan yang semakin terserlah dan ini isyaAllah sudah pasti akan ditangani, namun secara dasarnya tiada ‘kesilapan’ besar yang dilakukan oleh mana mana pihak di dalam pakatan semasa PrK Hulu Selangor yang lepas.
Hulu Selangor memang Parlimen yang sukar di menangi pihak lawan. Kebanyakkan dari kita juga sedar, bahawa pada 2008 kerusi tersebut dimenangi bukan oleh kerana sokongan terhadap PR yang mantap, tetapi oleh kerana faktor undi protes UMNO yang sudah jemu dengan wakil rakyat yang sama selama 4 penggal. Pada masa yang sama mereka inginkan kerusi itu diserahkan kepada UMNO. Fakta ini terbukti apabila dilihat bahawa ketiga-tiga DUN dimenangi BN. Jika dijumlahkan undi majoriti BN di ketiga-tiga DUN berkenaan, BN sepatutnya menang di Parlimen pada 2008 dengan majoriti melebihi 6,000 undi! Namun undi protes berlaku melalui undi rosak dan undi protes untuk calon PKR ketika itu, maka Parlimen dimenangi dengan majoriti tidak lebih dari 200 undi.
Sememangnya, undi protes sebegini amat sukar untuk dikekalkan, lebih lebih lagi dalam Pilihan Raya kecil. Bertambah sukar apabila sebahagian besar undi protes tersebut datangnya dari penyokong UMNO sendiri yang mempunyai motif politik. Ianya mudah ditangani oleh UMNO sendiri semasa PrK dengan berbagai cara mengikut budaya dan adat resam UMNO telah sedia diketahui umum.
Pada masa yang sama, saya juga berpendapat bahawa strategi UMNO menukar calon memang strategi yang bijak. Calon baru, walaupun dari MIC, memberi gambaran protes ‘didengari dan diambil kira’. Bukan semuanya, tetapi sebahagian kecil darinya. Kerusi tidak diserah kepada UMNO tetapi tidak juga kembali kepada pemimpin MIC yang sama. Orang baru yang lebih muda dan kononnya lebih mampu membawa perubahan. Dalam masa yang sama, ‘hak’ MIC sebagai rakan BN dipertahankan. Undi Melayu dipujuk dengan pertukaran calon; undi masyarakat India dan Cina pula dengan mempertahankan hak parti rakan parti komponen BN. Melalui kemenangan ini juga, rayuan dan desakan UMNO untuk serahkan kerusi Parlimen Hulu Selangor kepada UMNO boleh dianggap menemui ajalnya.
Strategi PR meletakkan Dato’ Zaid pun tiada salahnya. Pencalonan beliau menyebabkan majoriti BN hanya 1,725 dan bukan 6,000 seperti yang sepatutnya. Tanpa undi rosak dan undi protes, kecuali sedikit, Dato’ Zaid dapat menarik sebahagian dari pengundi yang mengundi BN dulu untuk mengundi PR kali ini. Di beberapa saluran memang tercatit penambahan, bukan pengurangan. Ini berlaku dalam keadaan pencalonan Dato’ Zaid dihujani serangan yang bertubi-tubi dan juga pengkhianatan oleh pimpinan cabang PKR sendiri, yang terhebat oleh Dr. Halili. Dalam keadaan sebegitupun, pencapaian PR di Hulu Selangor boleh dibanggakan.
Hakikatnya, di Hulu Selangor masih ramai yang menyokong BN. Inilah keadaannya sejak dahulu lagi, tetapi amat jelas sokongan terhadap BN semakin terhakis hari demi hari.
Walaubagaimanapu, bagi Pakatan Rakyat, hasil dari keputusan ini, ia sepatutnya menyedarkan diri dari dibuai mimpi, bahawa masih banyak lagi kerja penerangan yang perlu dilakukan. Masih ramai lagi, lebih lebih lagi yang di kawasan pendalaman, yang tidak memahami hasrat perjuangan PR dan kekejaman BN. Jentera penerangan Negeri mestilah dipertingkatkan dan jentera parti mesti turun padang lebih kerap lagi. Kekurangan ini perlu diatasi sebelum tibanya PRU ke 13.
Semestinya kekalahan ini ada hikmahnya. Hikmah yang jelas ialah supaya PR tidak merasa leka dan tidak berpeluk tubuh serta berpuas hati dengan apa yang ada. Banyak lagi kerja yang perlu kita lakukan dan banyak lagi kelemahan dalaman dan organisasi yang perlu di atasi bersama.
Saya juga berharap agar kekalahan yang terbaru ini tidak menyebabkan para penyokong PR berlemah semangat dan berduka cita. Sebaliknya menjadi pemangkin agar lebih bersungguh-sungguh dalam mengharungi perjuangan ke arah mencapai kemenangan yang akan datang. Tiada siapa yang menjanjikan laluan yang mudah. Kalau inginkan perubahan, sudah pasti perlu berusaha; dan kepadaNya kita berserah.
WaLlahu 'Alam
No comments:
Post a Comment