" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Sunday, August 21, 2011

Politik, birokrasi punca agihan wang zakat bermasalah

MASIH terdapat kecelaruan dalam pengagihan wang zakat di negara ini melihat kepada senario ramai di kalangan fakir miskin yang tidak menerima bantuan tersebut. Ada dakwaan menyatakan mereka terpaksa berhadapan dengan karenah birokrasi. Tidak dinafi ada di kalangan fakir miskin terpaksa mendapat bantuan daripada badan agama lain demi meneruskan penghidupan. Untuk mendapatkan jawapan mengapa berlaku keadaan tersebut , ROY RASUL mengutip pandangan Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

Zakat satu ibadah yang diwajibkan ke atas orang Islam. Boleh Dato’ sebutkan secara ringkas pengagihannya dan sepatutnya siapa yang berhak mendapatkan bantuan zakat?

TUAN IBRAHIM: Soal agihan zakat itu ialah ketentuan Allah. Dalam al-Quran Allah menyebut ada lapan asnaf yang layak menerima zakat.

Dalam al-Quran Allah menyebut orang fakir, amil, mualaf dan mualaf ini terbahagi kepada tiga golongan. Pertamanya, mereka yang belum masuk Islam tetapi berjinak-jinak dengan Islam dan walaupun belum masuk Islam, mereka layak diberi zakat sekiranya mereka orang susah. Kedua, orang baru masuk Islam dan belum kukuh lagi pegangan akidah untuk perkukuh akidahnya boleh diberi zakat kepadanya. Ketiga, mereka yang hebat lawan Islam dan sekira kita beri bantuan agar kurang sedikit tekanan kepada Islam.

Kata ulama, mualaf itu mereka termasuk dalam kategori itu. Kemudiannya hamba dan seterusnya orang yang berhutang yakni orang yang menanggung hutang untuk keperluan asas dirinya, kemudian terpaksa berhutang untuk sambung pengajian, belajar atau berhutang untuk keperluan makan minum dan sebagainya.

Selain itu, mereka yang berjuang di jalan Allah (fisabilillah) dan akhirnya orang yang dalam perjalanan, orang yang terlantar dalam perjalanan contoh untuk pergi menuntut ilmu ataupun hendak pergi belajar kemudian tidak ada bantuan dan kewangan untuk menyambung pengajian menyebabkan mengalami kesususahan.

Dalam konteks yang ada pada hari ini kita dapati keperluan besar sekarang ini golongan fakir miskin dan golongan sabilillah sebab sabillillah ini konteksnya luas iaitu semua golongan yang perjuangkan Islam. Seperti pusat pengajian bahkan setengahtengah pandangan mengatakan mereka yang duduk sepenuh masa untuk Islam dan mereka yang berjuang untuk Islam.

Jadi orang ini disebut juga dalam al-Quran, Allah sebut jika kamu hendak bersedekah dan memberi sumbangan berilah kepada orang yang susah kerana perjuang Islam. Mereka ini tidak ada masa untuk berniaga, bertani, bercucuk tanam seperti orang lain kerana hidupnya sepenuh masa perjuangkan Islam. Kalau kita lihat zaman Nabi, golongan itu dipanggil golongan ahlul-suffah iaitu sepenuh masa untuk Islam.

Bagaimana Dato’ melihat perlaksanaan agihan zakat di negara ini secara umumnya?

Kita melihat dalam konteks semasa bantuan-bantuan zakat yang banyak diperoleh oleh negerinegeri sepatutnya duit zakat ini diagihkan kan sepenuhnya. Tidak disimpan.Sekarang ini apa yang berlaku duit zakat ini kadangkadang disimpan dalam tempoh melebihi had yang sepatutnya.

Setiap tahun duit zakat ini seharusnya diagihkan semua sekali kepada golongan yang disenaraikan Allah SWT. Maknanya setiap tahun dikutip perlu agihkan semua. Apa yang berlaku sekarang ini kebanyakan pusat zakat ini tidak agihkan sepenuhnya.

Wang zakat masih ada dalam simpanan sehingga berjuta ringgit yang tidak habis diagihkan.

Sepatutnya perkara itu tidak berlaku.Kemudiannya kita tengok sistem pengagihan duit zakat terlalu banyak birokrasi yang menyebabkan golongan sasaran yang sepatut dapat tidak dapat pembiayaan yang sepatutnya.

Saya fikir birokrasi perlu diatasi kadang-kadang kita hanya mendapat daripada sumber pentadbiran dan senarai itu kena diberi kepada ketua kampung, penghulu dan kita dapati di sana kadang-kadang berlaku ketidakadilan. Wujudnya juga campur tangan politik di mana sepatutnya ada orang layak menerimanya tetapi tidak dapat.

Kemudian diberikan kepada golongan-golongan yang sepatutnya tidak layak kadang-kadang mendapat bantuan wang zakat.

Kerana faktor itulah tanpa sokongan daripada pihak berkuasa di peringkat kampung atau mukim akan menyebabkan majlis akan mengagih duit zakat kepada mereka yang tidak patut menerimanya.

Satu lagi yang saya lihat, berlakunya penyelewengan duit zakat itu dengan ada orang politik atau pemerintah mengambil kesempatan untuk menyampaikan sumbangan kepada mereka yang susah itu dengan membayangkan seolaholah duit itu duit mereka bukan duit zakat. Saya fikir sepatutnya, Majlis Agama Islam Negeri tidak mengambil kesempatan memberi ruang kepada ruangruang politik untuk mengagihkan duit itu diagihkan kepada yang berkenaan. Sepatutnya Majlis Agama sendiri yang mengagihnya.

Adakah berlakunya birokrasi di pusat zakat yang menyebabkan sampai ada golongan miskin yang terpaksa meminta kepada agama lain. Bagaimana pandangan Dato’?

Sepatutnya perkara itu tidak berlaku. Sebab kalau golongan yang susah mereka boleh datang ke pejabat agama, pejabat zakat atau agensi-agensi kerajaan yang lain untuk meminta bantuan.

Bagaimanapun, isunya soal birokrasi. Kadang-kadang birokrasi itu menyebabkan mereka yang meminta bantuan susah dapat.

Jadi, apabila pihak gereja khususnya, mereka nampak orang susah mereka terus bantu kerana mungkin mereka ada objektif atau matlamat lain.Tetapi saya fikir ini betul kata Nabi dalam sepotong yang menyebut, hampir-hampir orang fakir itu akan menjadi kafir maknanya kemiskinan akan menggadai akidah, imannya kerana faktor kemiskinan.

Dalam Islam ini kita kena beri keutamaan untuk menyelesaikan isu fakir miskin. Dalam konteks negara kita sebagai contoh saya ingat kata-kata Profesor Diraja Ungku Aziz, kalau Petronas membayar zakat sahaja mungkin umat Islam seluruh Malaysia akan belajar percuma dari tadika sehingga ke universiti.

Kita bayang hasil daripada Petronas sebanyak RM87.6 bilion pada tahun lepas, jika dibayar zakat jumlahnya ialah RM2 bilion.

RM2 bilion satu angka yang besar untuk menyelesaikan masalah kemiskinan. Jadi saya fikir sebenarnya banyak lagi pihak-pihak yang belum mengeluarkan zakat.

Terutamanya contohnya kita lihat di kalangan tauketauke balak, dapat kontrak kayu balak dan sebagainya. Saya pernah menjadi pengerusi pusat zakat selama sembilan tahun, dan saya melihat yang banyak mengeluarkan zakat ialah golongan pertengahan dan bawah berada dalam senarai pembayar.

Golongan elit, hartawan dan sebagainya tidak ramai yang bayar zakat. Wallahua’lam kenapa berlaku sedemikian. Mungkin kerana kesedaran. Yang banyak membantu menyumbang pusat zakat ialah agensi-agensi seperti Tabung Haji, Bank Islam, Bank Rakyat.

Tetapi sepanjang pengalaman individu-individu hanya beberapa orang sahaja iaitu tokoh-tokoh besar yang datang membayar zakat dengan jumlah jutaan ringgit. Maknanya jika kita dapat tingkat kesedaran kepada golongan ini mungkin boleh meningkatkan lagi kutipan zakat.

Apabila kita berdialog dengan golongan ini isu mereka ialah kerajaan hanya beri potongan cukai pendapatan kepada individu.

Syarikat-syarikat Sdn Bhd walaupun mereka keluarkan zakat mereka tidak dapat pengecualian cukai pendapatan. Apabila mereka tidak dapat pengecualian mereka berasa terbeban kerana mereka terpaksa bayar zakat dan cukai pendapatan. Mungkin kerajaan boleh fikir syarikat-syarikat Islam yang banyak dimiliki oleh orang Islam juga diberi pengecualian cukai pendapatan apabila membayar zakat.

Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin berkata, pusat zakat bukan tidak ada duit. Beliau berkata contoh gaji pegawai pusat zakat tinggi malah bangunan zakat serba canggih, namun pada masa sama bantuan untuk orang susah amat sukar sehingga ada yang terpaksa meminta kepada pihak lain. Apa komen Dato’?

Saya melihat sistem kutipan zakat ini boleh puji. Sistem pungutan sangat baik. Namun, kita perlu atasi sistem agihan. Sistem ini perlu dipertingkatkan. Saya mencadangkan supaya Jabatan Agama Islam negeri-negeri perlu melihat supaya pandangan lain daripada Mazhab Syafie yang membolehkan pembayar zakat itu bayar zakat mungkin 2/3 daripada duit zakat itu pulang balik untuk dia sendiri yang agihkan. Yang ini boleh buat sendiri mungkin kita akan memudahkan pembayar.

Contohnya saya bayar zakat sebanyak RM1,000 dan dengan RM1,000 itu saya dapat resit sebanyak RM1,000. Tetapi pusat zakat bagi saya sendiri untuk saya agihkan sebanyak RM300. Saya sendiri boleh agih sebab saya tahu siapa orangnya seperti di kampung-kampung.

Yang ini tidak ada birokrasi dan mereka tidak perlu pergi ke pejabat. Orang miskin ini hendak pergi ke pejabat zakat payah, kemudian jumpa dengan pegawai dan sebagainya.Jadi itu yang menyebabkan sistem pengagihan kita menjadi susah.

Jadi kita kena atasi masalah ini, masalah pungutan boleh puji dan canggih tetapi sistem agihan perlu diperbaiki.

Sekarang ini ada dakwaan kononnya pusat zakat banyak membuat pelaburan untuk pembangunan. Bolehkan perkara ini dibuat sedangkan fungsinya untuk membantu orang miskin?

Ini tidak boleh, kita tidak boleh gunakan duit zakat untuk selain daripada apa yang Allah sebut iaitu lapan asnaf. Cuma kita hendak dapat pengesahan balik kerana saya mendapat maklumat sebenarnya duit untuk pelaburan itu bukan duit zakat. Sebaliknya duit Baitulmal, jadi kalau duit Baitulmal tidak mengapa. Ini kita dapat pengesahan daripada jabatan-jabatan agama.

Sebab ada tuduhan mengatakan menggunakan duit zakat. Baitulmal boleh kerana duit itu datang dari pelbagai sumber sedangkan zakat kena agihkan. Dan jika menggunakan duit tersebut yang menyalahi syariat satu kesalahan besar.

Apa cadangan Dato’ untuk penambahbaikan sistem pengurusan zakat di negara ini?

Saya cadangkan supaya agihan duit zakat itu diserahkan kepada pusat kutipan. Pusat kutipan zakat di setengah negeri tidak ada kaus untuk mengagih dan hanya berkuasa untuk memungut.

Jadi agihan itu diserah kepada majlis dan pihak agama Islam negeri yang akan mengagih. Sedangkan masyarakat hendak pergi ke majlis agama payah sedangkan pusat kutipan zakat banyak. Jadi saya cadangkan yang pertama pusat kutipan diberi kuasa untuk mengagih duit zakat kepada mereka yang layak. Kedua, sistem mekanisme bagi mengenali golongan sasar perlu perbaiki.

Saya cadangkan bahagian agih turun sendiri ke bawah pergi ke rumah dan melawat mereka (fakir) dengan menilainya supaya zakat dapat diberi kepada golongan ini.

Sekarang ini apa yang berlaku pusat zakat hanya menunggu laporan. Laporan ini ada yang tidak sampai. Jadi jika pegawai itu sendiri yang turun ke padang mereka boleh menilainya dan bantuan itu sampai kepada penerima yang layak.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111