" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Thursday, April 22, 2010

Penerbit letak jawatan, dedah ntv7 menerima aduan Rosmah

Penerbit Buletin dan Isu Semasa ntv7, Joshua Wong meletak jawatan sebagai protes kerana ntv7 tunduk kepada aduan Jabatan Perdana Menteri dan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor. Joshua Wong yang bertanggungjawab dalam rancangan forum Editor's Time (Mandarin), merasakan autonomi editorial tercabul apabila menerima arahan "Tiga Jangan".

Arahan "Tiga Jangan" ini termasuklah, jangan membincangkan isu politik, jangan mengundang panelis dari pembangkang dan jangan membincangkan isu PRK Hulu Selangor.

Rancangan Editor's Time yang hanya dimulakan baru-baru ini terpaksa ditarik dan menggugurkan isu politik, lantaran daripada tekanan politik yang dihadapi. Penerbitnya, Joshua Wong mengambil keputusan meletak jawatan pada 20 April, untuk mempertahankan prinsip kebebasan media.

Joshua Wong, juga seorang pensyarah (part-time) di Kolej New Era, memanggil satu sidang media di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor untuk membuat pendedahan tersebut pada pagi ini. Turut hadir untuk memberi sokongan termasuklah ibu bapanya, kolumnis, dan penuntut dari Kolej New Era.

Rancangan forum Editor's Time ini dimulakan sejak 18 Mac 2010, dari jam 11 malam hingga 12 tengah malam. Rancangan ini cuba menarik perhatian ramai apabila episod pertamanya dirakamkan di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, berjudul "Pertarungan KPI - BN vs PR: Siapa lebih hebat?" 【Penilaian sehala KPI tidak meyakinkan】

Antara isu yang dibincangkan selepasnya termasuklah Pemilihan Semula MCA, isu pekerja seks, pentadbiran Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dan Model Ekonomi Baru. Walau bagaimanapun, rancangan ini berdepan dengan tekanan dari JPM dan isteri PM, menurut Joshua Wong, yang membacakan kenyataannya seperti berikut:

Kenyataan perletakan jawatan

Saya telah meletakkan jawatan sebagai Penerbit rancangan forum Editor's Time, pada 20 April 2010 untuk menunjukkan ketidakpuasan saya sekeras-kerasnya terhadap syarikat media yang saya berkhidmat.

Saya tidak berpuas hati apabila pihak syarikat mengenakan sekatan yang tidak wajar terhadap pemilihan panelis dan topik perbincangan untuk rancangan Editor's Time, setelah menerima aduan daripada pihak Jabatan Perdana Menteri dan isteri Perdana Menteri. Aduan itu diterima selepas rancangan yang dirakamkan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang ini disiarkan. Sekatan dikenakan tanpa siasatan yang menyeluruh dan adil.

Sekatan-sekatan ini termasuklah:-

Pertama, Jangan bincang isu politik;

Kedua, Jangan mengundang pembangkang sebagai panelis, termasuk ahli parlimen DAP Tony Pua untuk membincangkan Model Ekonomi Baru; dan

Ketiga, Jangan bincangkan isu "PRK Hulu Selangor" seperti yang dijadualkan dalam rancangan pada 22 April.

Saya menganggap ketiga-tiga sekatan ini kurang wajar, malah bertentangan dengan autonomi editorial. Sekatan yang dikenakan terhadap rancangan ini merupakan self-censorship (menapis-diri), bercanggahan dengan prinsip profesional media. Keputusan ini merupakan hukuman terhadap rancangan ini, dan menjejaskan profesional pasukan penerbitan rancangan ini.

Menurut bos saya, iaitu Editor Eksekutif Buletin dan Isu Semasa (Mandarin), Tan Boon Kooi, selepas forum yang dirakamkan di Kuala Lumpur itu disiarkan pada 18 Mac, pihak pengurusan telah menerima aduan pada 19 Mac. Aduan ini dilakukan melalui satu sms yang dihantar kepada pihak Jabatan Perdana Menteri, yang kemudian dipanjangkan (forward) kepada pihak atasan ntv7. Pengacara Editor's Time, Lee Siad Huey telah menghantar kandungannya kepada saya melalui email:-

"Mereka memperlekehkan KPI dan polisi BN. Memperlekehkan 1 Malaysia. Mencabar PM agar rombak besar-besaran BTN.(Biro Tata Negara). Mempertikaikan (disagree) tindakan Dato Nasir Safar sedangkan Dato Nasir telah berani meletakkan jawatan. Kor Ming dengan bangganya membangkitkan isu pemberian tanah kepada orang ramai di Perak. Wee Ka Siong gagal pertahankan isu MCA apa lagi nak pertahankan polisi UMNo dan BN. Ketua Pemuda MCA set markah 75 kepada PM dalam usaha KPI. Ada usul telus FDI dengan kurangkan kos operasi. Ada usul penilaian KPI oelh rakyat ketua jabatan sahaja.Yang sangat bahaya, dia orang minta kebebasan bersuara bermulan dengan sesi debat tadi. Makna tiada siasatan perlu dibuat, cara mereka bercakap dan membiarkan penonton bertanya soalan seolah-olah kerajaan kita ini terlalu teruk. Apa lagi cina-cina nie nak, mereka lagi kaya dari Melayu. Saya cadang kita perang jer dengan cina-cina nie…Melaru kepada semua ahli-ahli parlimen Melayu/ UMNo/MT dan semua pemimpin UMNO, wake up…mereka semakin biadap." (Teks asal)

Saya menganggap sms ini sebagai "surat layang", kandungannya sarat dengan rasisme dan tidak berasas. Namun, pihak atasan telah mengugut untuk memancung rancangan ini atau menukarkannya kepada bukan rancangan siaran langsung (iaitu disiarkan selepas suntingan), malah mengarahkan agar saya menulis surat tunjuk sebab sebelum siasatan disempurnakan.

Saya telah menulis surat tunjuk sebab pada 22 Mac, bersama Lee Siad Huey, menyangkal satu demi satu tuduhan yang tidak berasas tersebut. Malah, kami mencadangkan agar pihak atasan membuat laporan polis berhubung mesej yang mengandungi unsur diskriminasi kaum dan hasutan. Ini kerana pengadu sedang menghasut sentimen perkauman tanpa kewarasan. Namun, pihak pengurusan tidak memandang serius cadangan saya untuk membuat laporan polis, sebaliknya melarang Editor's Time untuk membincangkan isu politik.

Dalam mesyuarat pada 2 April, saya mencadangkan agar Tony Pua diundang sebagai panelis untuk membincangkan Model Ekonomi Baru dalam rancangan pada 15 April. Namun, bos saya Tan Boon Kooi berkata, "Seandainya Tony Pua diundang, maka tak usahlah rancangan ini diteruskan." Beliau menambah bahawa mulai sekarang, pembangkang tidak boleh diundang lagi.

Saya bertanya kepada Tan menerusi sms kemudiannya, dan beliau berkata ini hanyalah "nasihat", dan bukan arahan daripada Manja Ismail, Editor Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa ntv7, 8TV, TV9 dan Ketua Editor Kumpulan Media Prima. Namun, untuk saya, ini adalah satu bentuk self-censorship daripada pihak atasan.

Pada 16 April, dengan tiba-tiba Sofwan Mahmood, Editor Berita Eksekutif ntv7, 8TV dan TV9 memanggil saya dengan Tan Boon Kooi untuk bermesyuarat. Saya pergi berseorangan kerana Tan kesibukan untuk menerbitkan buletin bahasa Cina-nya. Sofwan bertanya kepada saya, apakah isu yang akan diterbitkan minggu seterusnya, dan saya menjawab PRK Hulu Selangor.

Beliau memberi nasihat bahawa isu ini agak berat dan merumitkan. BN berada dalam pergelutan untuk memilih calon mereka, dan ia akan menjadikan kerajaan Najib kelihatan tidak elok. Namun beliau berkata beliau tidak pernah mencampur tangan autonomi editorial kami. Saya menjawab saya akan menyerah kertas cadangan (proposal) dan membuat keputusan kemudiannya. Beliau tidak menerima dan tidak menolak. Setiausaha beliau, Dayang akhirnya juga memesan agar saya menyiapkan proposal terlebih dahulu.

Setelah bermesyuarat, saya bertemu dengan Tan Boon Kooi, dan saya menceritakan kepadanya keadaan dalam mesyuarat. Tan Boon Kooi berkata, "Sofwan sebenarnya tidak menyampaikan mesejnya dengan jelas, beliau mahu saya menggugurkan topik PRK."

Tan Boon Kooi menambah, "Tahukah kamu? Pada hari Isnin, isteri PM mengadu aktiviti kamu di Pulau Pinang, malah diadu sehingga ke Washingston. Jadi saya berharap kamu menukar topik."

Saya cuba mendapat kesahan daripada Tan Boon Kooi, barulah saya mendapati bahawa isteri PM mendapat aduan daripada orang lain, yang kemudiannya dipanjangkan (forward) kepada pihak atasan syarikat saya. Tan Boon Kooi memberitahu bahawa kandungan aduan tersebut lebih kurang seperti aduan terhadap aktiviti di Kuala Lumpur, "berhubung kait dengan perkauman". Jadi, Tan Boon Kooi bertanya apakah topik yang boleh ditukar untuk rancangan minggu seterusnya.

Saya menganggap PRK sebagai isu yang wajib dibincangkan. Ini kerana pada mulanya, kami telah mencapai muafakat bahawa rancangan ini akan membincangkan isu semasa yang terhangat, lebih-lebih lagi PRK adalah isu yang membabitkan kepentingan awam. Kami akan mendalami perbincangan seandainya kami cuba untuk membicarakannya dari sudut yang berbeza, seimbang dan objektif, malah tidak menyebelahi pihak tertentu. Kami tidak perlu terlalu sensitif kepada aduan yang tidak berasas, lantas menapis sendiri (self-censor) dan tidak membincangkan PRK langsung.

Saya telah menyiapkan proposal saya pada 19 April, dan menyerah kepada pihak atasan untuk mendapat kelulusan agar isu PRK Hulu Selangor dapat dibincangkan pada malam 22 April. Malah, pengacara rancangan, Lee Siad Huey telah membuat liputan di kawasan tersebut. Tetapi Sofwan memanggil saya dan Tan Boon Kooi untuk bermesyuarat pada 2.30pm, 20 April. Dalam mesyuarat tersebut, Sofwan mengarahkan agar Editor's Time tidak membincangkan topik PRK Hulu Selangor. Pertukaran topik rancangan Editor's Time bertujuan "damage control". Saya meneka "damage control" yang dimaksudkan adalah untuk menjaga kepentingan sesetengah parti, jadi ia menentang prinsip rancangan ini, iaitu untuk mendedahkan kebenaran tanpa memihak kepada sesiapa.

Sebagai seorang penerbit, saya menganggap kandungan dalam dua aktiviti yang lalu seimbang dan objektif, malah telah diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem, maka saya tidak melihat apa kewajarannya pihak pengurusan perlu menyekat dirinya dalam hal ini. Saya menganggap Editor's Time tidak melakukan kesilapan, maka tidak harus dihukum dan disekat sebegini. Jadi, saya enggan berkompromi untuk mematuhi dan melaksanakan arahan majikan.

Sebagaimana yang saya maklum, sehingga 21 April, setelah isu PRK Hulu Selangor ditarik, topik yang dibincangkan pada 22 April (malam ini) telah diubah kepada "penembusan parti politik ke dalam pertubuhan Cina". Tetapi pada petang semalam, saya menerima khabar bahawa pihak atasan ntv7 membenarkan agar isu PRK Hulu Selangor dibincangkan. Saya tidak tahu sebab di sebaliknya.

Mungkin perletakan jawatan dan sidang media yang dipanggil hari ini telah memberi tekanan kepada pihak atasan ntv7. Atau mungkin hasil daripada perjuangan rakan sekerja saya dan bos saya. Mungkin kedua-duanya.

Kalaulah perletakan jawatan dan sidang media saya ini memberi tekanan kepada ntv7, yang menjurus kepada mereka untuk memberi laluan agar PRK Hulu Selangor dibincangkan, saya sudi menerimanya dengan hati terbuka. Bagaimanapun, saya hanya boleh meletak jawatan sekali sahaja.

Jadi, saya berharap agar semua pengamal media di Malaysia, termasuk pihak pengurus, termasuk kawan saya dalam ntv7, boleh tampil untuk menyuarakan pandangan diri, untuk mempertahankan autonomi editorial media ketika berdepan dengan campur tangan kuasa luar. Seandainya kita membiasakan diri dengan masalah ini, atau terus mendiamkan diri, maka ia akan mengangguk kepada campur tangan luar dan self-censorship, dan permainan sentimen perkauman oleh pihak luaran.

Sudah lebih 50 tahun perkauman dan self-censorship wujud di negara kita, tak cukupkah? Masihkah kami perlu berpeluk tubuh dan mendiamkan diri, membiarkan ia bermaharajalela?

Dengan ini saya menyeru agar pihak atasan ntv7 menyiasat siapakah orang yang mengadu kepada JPM dan isteri PM? Jangan lepas tangan, tetapi buat laporan polis, agar pihak polis menyiasat secara menyeluruh, untuk menegah kuasa luar daripada campurtangan ke dalam kebebasan media, dan mencegah rasisme daripada terus menular.

Sumber"Merdeka Review

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111