" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Saturday, April 24, 2010

Serangan peribadi terhadap Zaid : Rancangan untuk kenakan PM

Oleh Ahmad Nizam Hamid

Saya kira tidak pernah di dalam mana-mana Pilihan Raya - baik PRU mahupun PRK-serangan terhadap peribadi calon dilakukan secara terang-terangan. Jika selama ini, walaupun ulah sebegini sering terjadi yakni serangan memburuk-burukkan calon lawan berlaku yang bersifat peribadi, namun skalanya tidaklah secara terang-terangan tetapi lebih bersifat "bisik-bisik" atau berupa surat layang.

Manakala PRK Parlimen Hulu Selangor (PRKP HS) yang sedang berjalan rancak hari ini memperlihatkan wajah atau citra UMNO/BN yang begitu memualkan; nampaknya serangan yang bersifat peribadi atas isu akhlak dan moral dihalalkan oleh pemimpin UMNO tanpa had.

Panglima-panglima UMNO seperti Khir Toyo, Ali Rustam, Muhyidin Yassin dan yang lainnya seolah-olah dirasuk palung mendendangkan isu akhlak atau moral Zaid Ibrahim dengan pelbagai tuduhan - kaki botol, womaniser, kaki judi dan pelbagai lagi - secara terang-terangan, tanpa segan-silu. Demi sebuah kemenangan mungkin, maka UMNO/BN sanggup "stoop too low" tanpa menghiraukan etika dan adab (bukankah salah satu rukun di dalam Rukunegara ialah "kesopanan dan kesusilaan?).

Media perdana, baik bercetak mahupun televisyen memaparkan isu akhlak Zaid Ibrahim tanpa taranya. Kesemua ini guna untuk mengolah persetujuan rakyat/pengundi bahawa calon KEADILAN punya akhlak yang jelek dan menjijikkan. Sasaran utama mereka ialah para pengundi Melayu Muslim yang merupakan pengundi majoriti di situ.

Pun begitu, propaganda hitam seperti ini bukanlah perkara baru. Jika ditelusuri sejarah akan dapat kita fahami bagaimana propaganda yang bersifat serangan peribadi ini dilakukan; Dato Bahaman, Mat Kilau, Imam Perang Rasu, Dato Maharajalela, Si Putum, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbung (sekadar menyebut beberapa nama) dan ramai lagi pejuang dilabelkan sebagai PENDERHAKA kepada Sultan.

Malah penjajah (dan anak murid penjajah) akan memberikan alasan yang begitu sepele untuk mengolah persetujuan ramai bahawa faktor para Pahlawan bangsa ini bangkit berjuang di atas alasan yang bersifat peribadi yang begitu menjelekkan. Kerana itulah kita diberitahu alasan perjuangan Pahlawan bangsa ini kerana mahu memelihara hamba atau kerana tidak lagi boleh mengutip cukai dan 1001 tuduhan. Tidak pernah mereka (dimaksudkan dengan para sejarawan barat dan anak muridnya yang masih ada hingga kini) para Pahlawan bangsa ini dikatakan berjuang untuk kemerdekaan dan menghalau penjajah. Maka atas kalimat PENDERHAKA kepada Sultan, propaganda penjajah berhasil mengolah persetujuan rakyat ketika itu untuk tidak berpihak kepada Dato Bahaman dan yang lainnya.

Sewaktu Perang Dingin khususnya di era Darurat (dari sudut perundangan Malaysia tidak pernah sehingga ke hari ini diistiharkan bebas dari Darurat) propaganda tentang kejahatan Komunis diuar-uarkan. Cukup dengan tuduhan tanpa asas bahawa seseorang itu merupakan agen komunis atau penyokong komunis atau simpatisan atau berjuang di atas ideologi komunis atau dituduh komunis memungkinkan kebebasan dan hak asasi individu tersebut tercabut dan dihalalkan untuk dikurung tanpa bicara di Kamunting atau tempat tahanan yang lain baik di Malaysia mahupun Singapura.

Lihat sahaja pengalaman Syed Husin Ali yang dicatatkan di dalam bukunya, Two Faces / Dua Wajah atau kisah Pak Said Zahari) pengalaman beliau di Singapura. Kedua-duanya ditahan di bawah ISA yang zalim itu antaranya atas tuduhan komunis. Rakyat yang saban waktu dicuci otak dengan propaganda buruk tentang komunisisme (tanpa tahu atau faham apa itu komunisme) menerima segala yang dinyatakan oleh kerajaan seadanya. Ertinya di kurun waktu tersebut akibat propaganda sedemikian rupa maka fikrah rakyat sudah diolah bahawa sesungguhnya ada justifikasi di atas penahanan inidividu di atas kalimat komunis.

Pengalaman yang sama dialami oleh Anwar Ibrahim sewaktu beliau dilanyak tanpa ampun oleh media dan alat kerajaan seawal bulan September 1998 (dan berterusan hingga ke hari ini); propaganda sengit yang menyerang peribadi Anwar Ibrahim dibuat sebegitu rupa guna untuk mengolah persetujuan rakyat yang sekali gus untuk menghalalkan fitnah terhadap beliau. Malangnya, kali ini propaganda jelek UMNO/BN tersasar, rakyat tidak mempercayai segala tuduhan dan fitnah keji itu. Propaganda jelek ke atas Anwar Ibrahim akhirnya memakan diri UMNO/BN sendiri apabila rakyat bangun dan membuat pilihan.

Kali ini sasaran mereka ialah Zaid Ibrahim UMNO tahu Zaid Ibrahim punya tampang dan kaliber dan ini meresahkan mereka. Kerana takut berdepan sebagai anak jantan, berdebat soal prinsip dengan bijaksana maka UMNO mengambil pendekatan yang benar-benar tidak beretika dan beradab dengan menyerang peribadi serta mempersoalkan akhlak Zaid Ibrahim.

Tentunya yang menjadi lelucon ialah pemimpin UMNO yang membantai Zaid Ibrahim itu bukan pula yang berakhlak mulia! Malah tidak keterlaluan jika dikatakan mereka juga punya isu moral yang dipersoalkan. Pun begitu mereka ini - Khir Toyo, Ali Rustam dan yang lainnya - mempamerkan muka tebal mereka seolah-olah mereka punya akhlak par excellence dan maksum. Saya tidak punya perkataan yang lebih lunak selain dari hipokrit!

Pada masa yang sama, saya cenderung menilai permainan propaganda jelek ini dari sudut perebutan kuasa dalaman UMNO. Najib dan Muhyidin Yasin dilihat bukanlah gandingan yang punya chemistry; malah di dalam banyak perkara Muhyidin dilihat menjarakkan dirinya daripada Najib. Sudah menjadi rahsia umum Muhyiddin khabarnya sedang menyusun kekuatan beliau untuk mengambil alih tampuk kekuasaan daripada Najib.

Saya beranggapan Muhyiddin Yassin tidak naif apabila memberikan lampu hijau kepada jentera UMNO/BN membangkitkan isu akhlak Zaid Ibrahim. Tentunya beliau mendapat nasihat serta pandangan menyeluruh dari pakar perang saraf UMNO/BN sebelum beliau memilih opsyen untuk menyerang peribadi Zaid Ibrahim. Dan tentunya Muhyidin menyedari bahawa sebarang serangan peribadi khususnya isu akhlak akan ada serangan balas atau repercussion daripada Pakatan Rakyat.

Dan inilah yang terjadi-apa yang diharapkan oleh Muhyidin menjadi-serangan balas daripada jentera PR tentunya membabitkan persoalan moral beberapa pemimpin UMNO khususnya batang tubuh Perdana Menteri/Presiden UMNO, Najib Razak. Najib Razak yang sudah sekian lama sememangnya dilihat sebagai pemimpin utama UMNO yang punya banyak baggage dan jerangkung di dalam almari.

Sekadar menyebut beberapa contoh, daripada isu Altantuya yang tidak kunjung padam malah kembali dihangatkan gara-gara perang saraf Muhyidin hinggalah kepada skandal pembelian pesawat pejuang, kapal selam dan yang lainnya. Malah turut dikaitkan dengan isteri beliau Rosmah Mansor. Pengakuan PI Bala khabarnya diterjermahkan ke bahasa Melayu untuk diedarkan. Lihat juga siri serangan balas melalui foto-foto dan tulisan-tulisan yang mengaitkan Najib dengan pelbagai persoalan akhlaknya.

Sepupu Najib, Hishammuddin turut menjadi "mangsa" propaganda hitam akibat dari ulah Muhyiddin ini. Betapa foto-foto lama (menurut Hishammuddin sendiri sudah lebih lapan tahun berlegar di dunia maya) yang tentunya menimbulkan persoalan tentang moral beliau dimuat turunkan daripada internet. Begitulah sedikit sebanyak gambaran yang boleh diberikan.

Saya menyebut Muhyidin tentunya tidak naif apabila memberikan lampu hijau kempen memburuk-burukkan Zaid Ibrahim dihalalkan. Dan Muhyiddin punya wewenang untuk menghalang serangan peribadi dari dilakukan tetapi beliau tidak mengambil pilihan itu. Beliau tidak naif kerana pastinya mengetahui atau sekurang-kurangnya dapat meramalkan tentunya akan ada serangan balas yang akan disasarkan ke arah batang tubuh PM ketimbang lain-lain pemimpin UMNO/BN.

Propaganda yang baik ialah yang tidak ada tindakbalas yang merugikan!

Pada hemat saya, walau apa pun keputusan PRK Hulu Selangor,yang benar-benar kalah ialah Najib Razak dan pemimpin UMNO lainnya. Buat pertama kali,saya kira, "free for all" berhubungkait dengan isu akhlak PM dan pemimpin BN lainnya diperkatakan secara terbuka dan tentunya aliran informasi yang "counter" propaganda UMNO itu menyebabkan ada makcik FELDA yang selama ini tidak mengetahui mengenai "kebejatan" moral pemimpin UMNO mula mempersoalkan integriti dan akhlak PM dan pemimpin UMNO/BN lainnya.

Tahniah kepada Muhyidin Yassin di atas inisiatif ini.

*Artikel ini ditulis oleh Ahmad Nizam Hamid, Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Temerloh Pahang dan Penasihat Undang-undang KEADILAN Pahang. Artikel ini telah disiarkan di blog Lanai Lestari.

**Nota Editor: Pada 18 April, TPM Muhyiddin Yassin menafikan bahawa UMNO yang melancarkan serangan peribadi terhadap calon PKR, Zaid Ibrahim; sebaliknya mendakwa bahawa isu ini dibangkitkan oleh media.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111