Oleh - Dr Aminudin Mansor
Bagi setiap pilihan raya biasanya yang bercakap dan berkempen adalah wakil calon, petugas kempen dan calon-calon yang bertanding. Akan adalah para menteri, menteri besar dan Ahli Parlimen yang turun berkempen membantu calon bertanding, baik daripada parti pemerintah dan pembangkang. Tidak pernah berlaku para pengundi bersuara untuk menyatakan hak dan kemahuan mereka bagi kawasan pilihan raya tersebut.
Begitulah juga dengan pilihan raya Parlimen P 94 bagi Parlimen Hulu Selangor yang merangkumi Dewan Undangan Negeri (DUN) N5 Hulu Bernam, N6 Kuala Kubu Baharu dan N7 Batang Kali. Mengikut jumlah pengundi di Hulu Bernam adalah sebanyak 17,549 yang terdiri daripada 67.7 peratus Melayu, 17.2 peratus China, 14.8 peratus India dan 0.3 peratus lain-lain yang diwakili Datuk Mohamed Idris Abu Bakar daripada Barisan Nasional.
Kebanyakan pengundi di kawasan ini terdiri daripada petani, penoreh getah, dan pekerja estet. Suara pengundi di kawasan ini memang mengharapkan perubahan dan kemajuan diteruskan di bawah pimpinan sekarang dan akan datang. Mereka juga mengharapkan calon Parlimen bagi kawasan Hulu Selangor adalah anak tempatan dan di kalangan orang muda yang berkelayakan serta memahami aspirasi mereka.
Dalam tinjauan, suara mereka yang lantang di warung kopi dan gerai mengharapkan peningkatan harga getah dan kelapa sawit dapat ditingkatkan pada harga pasaran komoditi. Jika harga getah dan kelapa sawit meningkat, pendapatan mereka juga akan turut meningkat sedikit dan kehidupan akan lebih senang dan lega sedikit, tambahan pula harga barang keperluan harian sekarang semakin meningkat.
Mereka sebenarnya tidak mengharapkan sangat janji-janji kosong seperti buah kelapa sawit muda yang tidak pernah gugur. Janji-janji itu menurut mereka biarlah seperti getah yang baru ditoreh terus mengalir ke dalam cawan getah yang menanti setia di bawah. Itulah ungkapan golongan petani, penoreh dan pekerja ladang kelapa sawit yang klise didengar.
Sementara bagi kawasan DUN Kuala Kubu Baru sekarang (Kuala Kubu Bharu) kebanyakan pengundi di kawasan ini adalah pegawai kerajaan terdiri daripada pekerja pejabat, guru, polis, bomba dan juga peniaga kecil serta pesara yang sudah lama tinggal di situ. Mereka ini pengundi setia yang sentiasa mengundi apabila tiba pilihan raya. Tetapi sesekali mengharapkan suara mereka juga didengar.
Suara-suara mereka lantang di restoran, pasar malam dan warung, mengharapkan perubahan terhadap bandar Kuala Kubu Bharu yang semakin sepi dan perniagaan yang tidak menunjukkan kemajuan. Mereka mengharapkan kawasan ini akan menjadi lokasi pelancongan baru berasaskan sejarah dan keindahan alam semula jadinya. Pembangunan infrastruktur dengan pelbagai kemudahan asas ditingkatkan lagi supaya dapat menarik lebih ramai pelancong datang ke sini.
Mereka kebanyakannya bergaji dan berpendapatan sederhana mengharapkan kerajaan memantau kenaikan harga barang keperluan harian seperti beras, gula, ayam, ikan dan sayur-sayuran. Apabila harga barang ini dapat dikawal, wang lebihan gaji dan pendapatan bulanan dapatlah disimpan untuk perbelanjaan masa depan dan persekolahan anak-anak.
Bagi N7 DUN Batang Kali kebanyakan penduduk di kawasan ini terdiri daripada petani, pekerja kilang, dan bekerja dengan jabatan kerajaan juga suara-suara mereka jelas kedengaran di kedai kopi tentang kenaikan harga barang yang semakin dirasakan. Mereka juga berpandangan sama, iaitu harga barang keperluan dan makanan harian yang terus meningkat mestilah dikawal dan dipantau sentiasa. Jika tidak ia akan menjejaskan pendapatan bulanan mereka. Menurut mereka calon terbaik adalah calon yang dapat memahami dan berjaya mengatasi masalah mereka.
Bagaimanapun, mereka juga mengharapkan kemudahan asas seperti penurapan jalan, pembaikan kemudahan asas yang lain seperti kemudahan kesihatan di klinik, sekolah, masjid, surau dan rumah ibadat akan terus disalurkan untuk kebajikan rakyat. Suara-suara inilah kebanyakannya dilontar para pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor menjelang hari pengundian 25 April ini. Isu tempatan yang dapat ditangani akan dapat menentukan kemenangan calon. Begitulah, suara pengundi sesekali wajar juga didengari!
No comments:
Post a Comment