oleh Zaid Ibrahim
Tulisan Syed Jaymal Zahiid dalam The Malaysian Insider tentang kononnya saya akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR adalah tidak benar sama sekali.
Seperti yang saya katakan tahun lalu, misi politik saya hanyalah setakat memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan membantu pihak pembangkang pusat dalam membentuk dan menghurai soal-soal dasar bersama.
Adalah menjadi harapan saya supaya keyakinan rakyat akan bertambah terhadap Pakatan Rakyat dalam usaha kita untuk mengambil alih teraju pemerintahan negara.
Soal dalaman PKR dan soal siapa memegang jawatan-jawatan penting dalam parti bukanlah perkara yang penting kepada saya. Cuma kalau PKR menjadi kucar-kacir, misalnya, dan ini pula akan menjejaskan Pakatan Rakyat, maka sudah tentu ia menjadi perkara penting untuk kita semua fikirkan dan mengambil berat.
Tetapi jika keadaan seperti itu berlaku sekali pun, ia tetap menjadi soal kepimpinan Pakatan Rakyat yang perlu diambil kira oleh para pemimpin Pakatan Rakyat dan bukan soal peribadi untuk saya tentukan.
Saya ulangi sekali lagi bahawa saya tidak akan bertanding apa-apa jawatan penting dalam PKR. Saya hanya bersedia membantu dan menolong PKR pada bila-bila masa selagi bantuan dan pertolongan saya diperlukan.
Ingatlah, usaha paling penting buat kita semua sekarang ialah meyakinkan rakyat bahawa Pakatan Rakyat adalah alternatif yang lebih baik daripada Barisan Nasional dalam usaha memulihkan kembali segala kelemahan dan kepincangan yang ada dalam sistem kerajaan kita
No comments:
Post a Comment