Oleh Dinsman
Mengapa saya menonton “Muzika Uda Dan Dara” (yang sedang dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur, sekarang hingga 20 Julai )? Pertama, kerana ia karya teater terbaik yang dihasilkan oleh Usman Awang (seniman besar yang menjadi kebanggaan Malaysia). Kedua, kerana saya pernah menontonnya ketika ia pertama kali dipentaskan pada tahun 1972, dan ia dianggap sebagai teater muzika Melayu moden yang pertama.
Ketiga, kerana pementasan ini diusahakan sendiri oleh anak Usman Awang, Lyna Usman. Keempat, kerana ia diarah oleh sahabat saya Rahim Razali, yang juga menjadi pengarahnya bagi pementasan 1972 dulu.
Dan apakah yang ingin saya lihat apabila saya menontonnya pada malam 12 Julai lalu? Pertama, saya ingin melihat bagaimanakah hasil arahan Rahim Razali kali ini, berbanding dengan hasil arahannya 38 tahun dulu. Apakah dia masih mengekalkan lagu-lagu dan muzik hasil ciptaan Basil Jayatilaka yang sangat mempesonakan itu?
Tidak. Dia tidak mengekalkan ciptaan lama yang klasik itu, tetapi dia membawa muzik dan lagu-lagu ciptaan baru (oleh Hafiz Askiak). Saya tidak mengatakan lagu-lagu dan muzik karya Basil Jayatilaka itu lebih baik. Tetapi, agak menghairankan saya sendiri, rupa-rupanya ingatan saya terhadap muzik dan lagu-lagu yang pernah saya dengar pada tahun 1972 itu masih segar. Saya merasakan kehilangan mood yang syahdu, yang pernah saya nikmati dari lagu-lagu Basil Jayatilaka itu, khasnya dalam adegan Uda dan Dara bersanding olok-olok, dan ketika Dara sedang menanti kedatangan Uda, dalam pementasan terbaru ini.
Tidak mengapalah. Itu hanya nostalgia. Tetapi nostalgia pun rupa-rupanya berperanan juga dalam hal menikmati karya seni. Mood yang syahdu itu rupa-rupanya tidak saja pada muzik dan lagu, tetapi juga pada suasana kampung, yang terbina khasnya melalui rekabentuk dan binaan setnya, yang dulunya itu serba sederhana tetapi amat imaginatif.
Suasana kampung ini penting, kerana ia menjadi semacam sebahagian daripada ruh teater ini. Orang kampung (masyarakat kampung) yang hidup mesra bagai sebuah keluarga besar itu, dengan suasana kampungnya yang harmoni dan syahdu, seperti terjalin erat bersama unsur-unsur alamnya. Dan ini diperkuatkan lagi oleh kehadiran Pak Utih, sejenis watak manusia yang lincah, licin, jenaka, cekap hadir dan menghilang seperti angin, mengalir seperti air, sebati membumi dan meresap bersatu dengan alam.
Juga, masih segar di ingatan saya melihat kelincahan Rahim Razali sendiri melakonkannya dalam pementasan 1972 dulu. Inilah watak yang ingin sekali saya melihat seseorang melakonkannya sebaik yang pernah ditunjukkan oleh Rahim itu. Alhamdulillah, Rosdeen Suboh yang dipilih menjiwai watak ini tidaklah mengecewakan harapan saya.
(Namun pengucapannya tidaklah se‘necral’ suara Rahim yang semula jadi mempunyai iramanya yang tersendiri itu – mengalir seperti air, menderu seperti angin).
Saya tidak dapat merasakan suasana kampung itu apabila pentas dilatarbelakangi oleh pohon-pohon besar tinggi yang hanya nampak batang-batangnya sahaja, seperti pemandangan hutan di dalam filem-filem Barat itu.
Memang ia suatu faktor kecil. Tetapi apabila ia melekat dalam gambaran di kepala kita, ia tidak lagi menjadi faktor kecil. Dan masalahnya juga ialah kerana saya mempunyai nostalgia. Bagi penonton generasi baru, mungkin ia tidak menjadi masalah. Bahkan muzik dan lagu-lagu baru itu pun mungkin lebih sesuai bagi jiwa generasi baru hari ini.
Tadi saya tegaskan bahawa sebab pertama mengapa saya menonton Muzika Uda Dan Dara ialah kerana ia karya teater terbaik oleh Usman Awang. Nilai paling utamanya ialah pada “bahasanya”. Saya pernah mengatakan bahawa tidak ada karya lain dalam bahasa Melayu yang bahasanya seindah bahasa dalam muzika ini.
Teringat sewaktu saya melatih kumpulan pelajar Cina mementaskan sebahagian teater ini, dulu, seorang kawan saya, Syed Shahab, yang bukan peminat sastera, telah mendengar satu ungkapan yang sangat indah, menyebabkan dia terus mengulang-ulang menyebut ungkapan tersebut. Dan ungkapan indah itu ialah:
“Sebelum matamu lena malam; sebelum mimpimu sempat bermula; abang telah pulang di sisimu…”
Itu hanya satu daripadanya. Ada banyak lagi ungkapan yang indah-indah dan sedap diucap. Bahasa Melayu menjadi begitu indah sekali di dalam teater ini. Dan Rahim Razali, seorang yang sangat meminati dan menghargai keistimewaan Usman ini, nampaknya telah memberi perhatian khas kepada hal ini. Para pelakonnya mengucapkan dialog dengan sebutan yang cukup jelas, kecuali pada beberapa tempat yang ditenggelami oleh muzik yang terlalu kuat.
Saya sebenarnya tidak bercadang untuk membuat kritikan terhadap teater sulung yang diusahakan oleh Lyna Usman (sebagai penerbit eksekutif) ini. Sebaliknya saya ingin mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan kehadirannya di dalam arena produksi teater. Segala hal yang saya sebut di atas itu hanyalah nostalgia saya sahaja. Kalau tanpa nostalgia itu saya percaya pementasan ini sungguh berjaya. Memang berjaya.
Masalahnya, saya juga mempunyai nostalgia dengan Panggung Eksperimen Universiti Malaya, tempat teater ini pertama kali dipentaskan dulu. (Juga tempat saya mementaskan beberapa teater arahan saya). Tak mungkin pentas Istana Budaya dibandingkan dengan pentas Panggung Eksperimen itu.
Dan saya juga ada satu lagi masalah di sini. Ketika saya menulis dan mengajak pembaca pergi menyaksikan pameran lukisan “Kata Luhur” A Samad Said di Balai Seni Lukis Negara baru-baru ini, ada pembaca menghantar mesej bertanya saya: Apa tujuan saya menyuruh orang pergi menyaksikan pameran lukisan tersebut, dalam konteks Islam?
Maka tak dapat tidak saya pun harus memikirkan – bagaimana kalau soalan itu ditujukan pula kepada saya, dalam konteks menonton teater ini? Kebetulan saya pun baru saja membaca tulisan Azizi Hj Abdullah, yang mempersoalkan kebenaran dakwaan mengenai “teater Islam”, dalam majalah Pentas yang terbaru. Dan seorang kawan saya bertanya: “hang pi tengok tu dapat pahala ka dapaat dosa?”
Memang teater ini tidak ada pelakon wanita yang mendedahkan bahagian atas dadanya (tidak memakai baju) seperti dalam sebuah muzika yang pernah saya tegur sebelum ini. Tetapi Azizi pasti akan menyanggah: bukan itu saja ciri-ciri yang diperlukan oleh teater Islam.
Betul, ya, maka itulah awal-awal lagi orang seperti Rahman Shaari akan meletakkan asas, bahawa kita tidak membicarakan kesenian dan kebenaran dari segi religius. Melihat karya seni hanya dari segi nilai-nilai keseniannya. Ini memang satu persoalan besar. Insya Allah, kita akan bicarakan persoalan besar ini dalam kesempatan yang lain.
No comments:
Post a Comment