Oleh Abd Shukur Harun
DALAM suasana politik tidak menentu sekarang, di mana runtuhnya institusi moral, undang-undang dan peraturan akibat sengketa politik, raykat sedang menanti kepimpinan baru yang diharapkan mampu menyelamatkan keadaan.
Kepimpinan yang boleh menyelamatkan generasi masa kini dan akan datang itu sudah pasti datangnya daripada kalangan yang sangat berpegang teguh dengan prinsip agama, etika moral universal dan undang-undang.
Pemimpin politik seperti ini – yang membujur lalu melintang patah – tidak akan mempedulikan aspek agama, mengkesampingkan nilai moral, etika universal, bahkan segala hukum dan undang-undang, serta melakukan pelbagai kezaliman dan penindasan.
Inilah jenis pemimpin politik yang sangat dikhuatiri rakyat jika ia berkuasa ataupun sudah berkuasa. Kepimpinan diktator yang ditampilkan oleh Hosni Mubarak, Zainal e- Abidin, Muammar Gaddafi, Saddam Hussein dan kebanyakan pemimpin Arab yang lain adalah contohnya.
Adapun yang dikatakan negarawan tidak begitu sifatnya. Dia memikirkan masa depan rakyat dan negaranya, penuh dengan misi dan visi, menegakkan keadilan, tidak melakukan diskriminasi sebaliknya patuh kepada tuntutan agama, mengambil kira dosa dan pahala, etika moral, peraturan dan undang-undang.
Kepimpinan seumpama ini menyerlah pada tokoh abad ke-20 antaranya Dr Muhamad Hatta, Muhamad Natsir, Nelson Mandela dan beberapa orang lain. Jumlahnya sedikit, namun sangat cemerlang.
Saya teringat sebuah kata-kata oleh Presiden Amerika, Benjamin Franklin (1706-1790) "If you would not be forgotten, as soon as you are dead and rotten, either write things worth reading, or do things worth writing." Maksudnya di sini bahawa jika kamu (pemimpin) tidak mahu dilupakan sebaik saja kamu mati dan reput; menulislah perkara yang wajar dibaca, atau berbuat sesuatu yang wajar ditulis orang.
Adapun ciri-ciri pemimpin yang diperlukan di dalam Islam, ialah:
* Menganggap tugas memimpin itu amanah, bukan peluang untuk menambah kekayaan untuk diri, keluarga dan suku sakatnya.
* Ia mesti bijaksana, merancang sesuatu jauh ke depan dan bertindak secara bijaksana dan bijaksana.
* Dia mesti mempunyai idea dan berfikiran terkini serta berstrategi, mampu menghadapi cabaran betapapun hebatnya.
* Dia mesti bersikap terbuka, demokratik dan menjadi pendengar yang baik, iaitu bersedia mendengar pandangan orang lain serta bersedia pula menerima kritikan.
* Menjadikan rakyat atau orang yang dipimpinnya itu sebagai rakan penting untuk sama-sama memikul tanggungjawab terhadap rakyat dan negara.
Adapun pemimpin yang tidak mempunyai idea, tidak dinamik, tidak memandang jauh ke depan dan bekerja tanpa strategi adalah pemimpin yang lemah dan tidak wajar disokong oleh rakyat.
Dalam hal ini ada sebuah pandangan menarik dari seorang pemimpin yang menjadi pemerintah Dubai,Sheikh Mohammad al-Maktoum dalam sebuah bukunya, antara lain ia bercerita:
"Setiap pagi, si rusa akan bangun segera lalu terus berlari dan berlari. Dia harus terus berlari kerana dia tahu jika dia lupa maka dia akan mengundang bencana. Dia akan dibaham singa jika lengah dan tidak peduli datangnya pagi.
"Setiap pagi juga, si singa akan bangun segera lalu terus berlari dan berlari. Dia perlu terus berlari kerana dia tahu jika dia lupa dia akan mengundang bencana. Iaitu dia akan kehilangan rusa dan mati kelaparan, disebabkan lupa dan tidak peduli kepada datangnya pagi.
"Sama ada kamu rusa atau singa, itu tidak penting. Apa yang utama ialah kamu harus segera berlari dan terus berlari lebih pantas daripada lawanmu … untuk mencipta kejayaan. Itulah falsafah saya, dalam membangunkan Dubai…" - terjemahan bebas oleh saifulislam.com.
Ertinya di sini, pemimpin mestilah lebih pantas berfikir daripada orang lain dan pemikirannya mestilah sentiasa terkini dan relevan.
Dalam suasana yang ada sekarang di negara ini, ketika keadilan tidak menjadi agenda utama negara, pemimpin Islam wajib membetulkan keadaan ini dengan menerangkan bahawa keadilan menjadi paksi utama syariat Islam. Aspek keadilan begitu banyak ditegaskan di dalam al-Quran, Sunnah Nabi s.a.w. dan perihal yang dilakukan oleh para sahabat ternama.
Sayidina Abu Bakar r.a. menekankan dalam ucapan sulungnya yang amat terkenal ketika dilantik sebagai khalifah pertama, bahawa "Aku bukanlah pemimpin terbaik di antara kamu, tetapi aku telah diserahkan amanah untuk memimpin kamu. Bantulah aku menjalankan amanah ini dan betulkanlah jika aku menyeleweng."
Kepimpinan Khulafa-ur-Rashidin yang lain, Umar al-Khattab yang sangat adil dan peka dengan kehidupan lingkungan, Usman Affan yang sangat amanah dan jujur dan Ali Abi Talib yang sangat berani dan bijaksana, menyerlahkan teladan paling terbaik perihal kepimpinan Islam.
Tentulah sangat malang, kecemerlangan kepimpinan Nabi s.a.w. dan para sahabat ini tidak menjadi panduan kepada kebanyakan pemimpin umat Islam masa kini. Bahkan kepimpinan mereka tersangat jauh dengan kepimpinan Nabi s.a.w. dan para sahabat.
Oleh itu menjadi kewajipan rakyat, melalui demokrasi pilihan raya, memilih pemimpin yang dapat melindungi dan memenuhi keperluan mereka. Mereka mahukan pemimpin yang dapat melaksanakan amanah, keadilan dan demokrasi, yang dapat menyelesaikan masalah mereka, yang mampu menjalankan pemerintahan dengan cekap dan berwibawa.
Pemimpin yang diperlukan mestilah tokoh yang boleh berfikir, bukan pemimpin yang ucapannya pun disediakan oleh orang lain, atau pemimpin yang lemah, tidak mengetahui kelemahan diri sendiri, tidak tahu apa yang berlaku sekitarnya, jauh daripada rakyatnya sendiri.
Dia hanya sibuk mengumpul harta untuk keluarga dan suku sakatnya dan lebih malang lagi jika ia bercita-cita untuk menjadi pemimpin seumur hidup, walau dengan apa cara sekalipun.
Daripada tokoh yang lemah inilah, biasanya, melahirkan pemimpin yang enggan menerima kritikan dan tidak bersedia untuk mendengar pandangan orang lain. Pemimpin seperti inilah akhirnya menjadi diktator yang sentiasa ‘menyeringaikan taringnya’ untuk membaham mangsanya. Islam sama sekali menentang kepimpinan seumpama ini.
Negara ini mengadakan pilihan raya umum lima tahun sekali, atau lebih cepat daripada itu, justeru rakyat perlu memilih pemimpin yang bersifat negarawan, yang ada visi, mempunyai pandangan terkini, bukan tokoh politik yang hanya memikirkan kemenangan pilihan raya.
No comments:
Post a Comment