Oleh Ghazali Mayudin
Sudut Pidato yang diwujudkan kembali di kebanyakan institut pengajian tinggi awam (IPTA) pada awal tahun ini ternyata tidak mendapat sambutan daripada mahasiswa. Yang ada hanyalah sudut, tetapi pidatonya tiada. Pihak Kementerian Pengajian Tinggi menyalahkan universiti kerana mengenakan syarat dan peraturan yang ketat sehingga mengekang dan membantutkan keinginan mahasiswa untuk menggunakan sudut pidato sebagai medan menyatakan pendapat secara bebas dan kritikal.
Bagi memahami kematian tanpa nesan Sudut Pidato sekarang dan kehidupan Sudut Pidato pada tahun 1960-an dan 1970-an, perlulah dilihat tahap kebebasan mahasiswa pada era tersebut dengan kebebasan mahasiswa sekarang, khususnya dalam konteks bersuara dan berpersatuan.
Pada era 60-an dan 70-an, mahasiswa bebas menyatakan pandangan mereka sama ada dalam kuliah, tutorial, perbincangan sesama sendiri dan juga kepada pihak awam.
Persatuan mahasiswa induk yang mewakili seluruh mahasiswa universiti berkenaan dan persatuan lain yang berasaskan jabatan pengajian dan kepentingan lain diberi kebebasan untuk menjalankan aktiviti masing-masing.
Persatuan mahasiswa juga bebas mengeluarkan akhbar sendiri misalnya akhbar Gemasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Mahasiswa Negara di Universiti Malaya.
Isu dalaman di universiti, nasional dan antarabangsa dimuatkan dalam akhbar tersebut dan sebahagian besarnya ditulis oleh mahasiswa sendiri.
Kebebasan yang dinikmati biasanya disertai dengan cabaran. Cabaran untuk tidak menyalahgunakan kebebasan yang diberi, cabaran untuk mengikuti dan mengupas isu semasa secara ilmiah dan rasional dan cabaran untuk memimpin persatuan secara yang bertanggungjawab .
Dalam era dimana kebebasan seolah-olah telah menjadi budaya, maka mahasiswa lebih bersedia dan berani untuk menyatakan pendapat mereka bukan sahaja dalam tempat yang tertutup seperti dalam tutorial atau dikalangan pendengar yang terbatas misalnya sesama kawan, tetapi juga ditempat terbuka dan pendengar awam.
Oleh itu Sudut Pidato yang wujud dan hidup pada era 60-an dan 70-an adalah hasil dan kesinambungan budaya bebas yang dinikmati mahasiswa pada masa itu.
Bagaimana pula darjah kebebasan mahasiswa di IPTA Malaysia semenjak tahun 1980-an sehingga sekarang?
Nampaknya kebebasan yang dinikmati sebelum ini semakin disekat dan disempitkan dengan penguatkuasaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan peraturan yang bertujuan untuk mengawal kebebasan bersuara dan aktiviti pelajar.
Hampir semua aktiviti pelajar dipantau dan perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa universiti. Ini termasuklah pilihan raya untuk memilih ahli Majlis Perwakilan Pelajar, aktiviti yang dijalankan, penceramah dan ahli panel yang dijemput dan dimana aktiviti berkenaan akan dijalankan.
Sekiranya pihak berkuasa universiti tidak bersetuju, maka program itu tidak boleh dijalankan atau digantikan dengan program atau penceramah lain yang diterima oleh pihak berkuasa universiti.
Pemimpin persatuan mahasiswa seolah-olah menjadi pelaksana program dan bukannya pihak yang bertanggungjawab kepada persatuan kerana pihak yang bertanggungjawab memantau dan meluluskan kegiatan persatuan adalah pihak berkuasa universiti.
Mahasiswa juga semakin berhati-hati dan takut untuk menyatakan pendapat secara terbuka kerana bimbang dilabel sebagai pro atau anti pihak tertentu.
Bayangan akta dan peraturan yang menyekat kebebasan dan aktiviti sentiasa menghantui mahasiswa agar berhati-hati dalam tindakan dan pertuturan mereka agar tidak melewati batas yang dihadkan.
Dalam suasana sedemikian, tidak hairanlah kalau ada di kalangan mahasiswa yang pasif dan tidak berani menyatakan dan mempertahankan pendapat mereka.
Persoalannya bagaimana mereka akan berani dan mempunyai keyakinan diri untuk bersuara sekiranya kebebasan mereka disekat dan dihantui akta dan peraturan yang boleh menjejaskan masa depan mereka sekiranya akta dan peraturan itu tidak dipatuhi?
Sekiranya tanah yang subur dan cuaca yang sesuai boleh menumbuhkan dan menghidupkan pokok yang segar dan kuat, maka sebaliknya tanah yang gersang tidak boleh menghasilkan pokok sedemikian, itupun seandainya pokok itu tidak mati pada peringkat anak atau benih lagi.
Sudut Pidato boleh diwujudkan dengan menyediakan tempat tertentu dan dan diwar-warkan perasmiannya tetapi tidak mampu bertahan dan hidup tanpa terlebih dahulu dikembalikan kebebasan kepada mahasiswa sebagaimana yang dinikmati mahasiswa tahun 60-an dan 70-an dahulu.
Tanpa kebebasan itu, usaha mewujudkan Sudut Pidato akan bersifat kosmetik dan untuk maksud perhubungan awam bahawa kelonggaran dan kebebasan bersuara telah diberikan kepada mahasiswa.
Sebagaimana lazimnya, mahasiswa, dan juga pihak universiti akan dipersalahkan kerana tidak menggunakan kemudahan dan peluang yang telah diberikan itu.
Kalau dikembalikan kebebasan itupun, Sudut Pidato tidak akan segar dan hidup dalam masa terdekat kerana mahasiswa akan mengambil masa untuk pulih dari kebingungan setelah sekian lama dibayangi dan dihantui oleh akta dan peraturan yang mengongkong mereka.
Ghazali Mayudin adalah mantan Profesor Madya, Program Sains Politik UKM
No comments:
Post a Comment