" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Tuesday, September 28, 2010

Ahmad Nejad belasah polisi AS di PBB

Oleh - Suhaimi Mokhtar

Presiden Iran Mahmud AhmadiNejad tidak pernah mensia-siakan peluang berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tanpa membicarakan perspektif dunia menurut kaca mata Islam dan Iran serta bagaimana dunia hari ini dimanipulasi dan dihegomonikan oleh kuasa Amerika Syarikat (AS) dan dunia barat yang menjadi sekutu setia AS.

Dalam perhimpunan PBB kali ke-65 beberapa hari lalu, AhmadiNejad membelasah, mengkritik polisi AS terhadap dunia Islam, khususnya Iran, demi memelihara dan menaungi keselamatan serta survival rejim haram Zionis Yahudi yang dilahirkan mereka dengan merampas hak peribumi, milik rakyat Palestin.

Kali ini Presiden Iran menyatakan kepada dunia bahawa tragedi 9/11 2001 adalah ciptaan AS untuk menjadikan alasan bagi menyerang Islam dengan dasar perang menentang keganasan atau “war on terror” sehingga menakluki bumi umat Islam Afghanistan dan Iraq dengan menumbangkan kerajaan Taliban di Afghanistan serta kerajaan Iraq pimpinan Saddam Hussien.

Pendekatan ini menyebabkan kemarahan Rumah Putih dan Kongres AS. Teori konspirasi ini banyak ditulis wartawan dan pengarang-pengarang buku di AS, tidak lama selepas tragedi yang membunuh beribu-ribu mereka yang sedang bekerja di dua menara berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, apabila kapal terbang penumpang digunakan melanggar dua menara tersohor itu.

Beberapa teori dikemukakan pengarang-pengarang ini antaranya ialah bagaimana ramai mereka yang berketurunan Yahudi terselamat dalam perlanggaran itu, sedangkan mereka mempunyai pejabat di dua bangunan itu dan bagaimana pula, tiada besi-besi ceracak menjadi saksi perlanggaran, sedangkan kalau dengan menggunakan kapal terbang penumpang yang mempunyai kapasiti dikenal pasti, ia tidak mungkin membakar seluruh rangka bangunan itu menjadi abu dan 'ground zero' seperti dikenali sekarang.

Sebenarnya serangan perlanggaran itu penuh misteri dan apabila AhmadiNejad membicarakannya di podium PBB, ia menyuntik rasa terkejut kalangan diplomat AS dan barat yang berada di dewan perhimpunan yang akhirnya menyebabkan mereka keluar beramai-ramai meninggalkan dewan.

Ini bukan kali pertama diplomat-diplomat AS dan barat meninggalkan dewan perhimpunan. Pada tahun lalu mereka meninggalkan dewan bersama dengan diplomat rejim Zionis, apabila AhmadiNejad mempamerkan kejahatan-kejahatan polisi AS dan barat yang menyebabkan dunia tidak aman dan berada dalam suasana perang dan huru-hara.

AhmadiNejad menyelongkar secara terperinci polisi AS dan barat yang menjadi anggota Jawatankuasa Empat Penjuru mengenai Palestin, termasuk PBB yang diperalatkan dalam mengendalikan tragedi menimpa rakyat Palestin yang dirampas bumi mereka dan seterusnya rejim Zionis meluaskan penempatan mereka di wilayah-wilayah dikenal pasti untuk dijadikan negara Palestin melalui agenda AS dan barat dalam pelan damai mereka mewujudkan negara Palestin beriringan dengan negara haram rejim Zionis yang bernama Israel.

AhmadiNejad membuat perbandingan polisi AS dan barat yang mencengkam negara umat Islam, penuh dengan dendam kesumat terhadap Islam berbanding dasar-dasar Iran yang bersandarkan ajaran Islam yang luhur dan suci.

Diplomat-diplomat AS dan sekutu barat serta diplomat rejim Zionis keluar beramai-ramai sebagai tanda protes atas ucapan AhmadiNejad. Ini membuktikan sikap mereka yang tertutup dan tidak terbuka, tidak dapat menerima kritikan orang lain. Perbuatan ini sangat memalukan dilakukan negara yang mendakwa demokratik, bebas dan bertamadun.

Sepatutnya Presiden Obama yang juga diberi peluang berucap mengeluarkan fakta dan menyangkal apa ditegaskan AhmadiNejad, bukannya mengarahkan diplomat-diplomatnya keluar meninggal dewan; tetapi akhirnya membuat kajian dan meneliti satu persatu, patah demi patah ucapan AhmadiNejad.

Presiden Iran berjaya mengejutkan pendapat umum rakyat AS dan barat dengan membawa persepsi Islam dan kebenaran. Dalam sidang medianya selepas membelasah polisi AS terhadap negara-negara dunia, terutama negara umat Islam mempertahankan ucapannya dan tidak berganjak dari apa yang diucapkan di perhimpunan PBB itu.

Presiden Obama juga mengadakan sidang media selepas memberi ucapan dengan menyatakan tidak senangnya dengan ucapan itu tetapi tidak membentangkan bukti-bukti bagi menyangkal apa yang diucapkan oleh Presiden Ahmadi Nejad. Perang mulut antara AS dan barat dengan Iran kini berterusan.

Negara-negara umat Islam wajar memberi penghargaan dan berterima kasih kepada AhmadiNejad yang negaranya sedang melalui sekatan maksimum tahap empat oleh AS dan barat. Ketika negara-negara umat Islam lain, terutama di Timur Tengah terus bersekongkol dengan AS dan barat.

Rakyat negara-negara umat Islam ini, apabila tiba masanya akan mengajar pemerintah supaya dapat melepas diri dari terus dibelenggu dan bersekongkol dengan AS serta barat dan melaksanakan segala agenda mereka.

Kesedaran dan masanya akan tiba. Ucapan-ucapan seperti yang ditegaskan AhmadiNejad, umat Islam seluruh dunia telah dikejutkan dari mimpi indah dan tidur yang panjang, melupakan realiti sebenar dunia yang dimonopoli AS serta kuasa barat yang tidak ingin melihat Islam bangkit semula.

Jika umat Islam tidak sedar akan hakikat yang berada di hadapan mereka, maka nescaya Allah akan menggantikan dengan umat yang lain, mungkin dari AS dan barat sendiri yang kini menjadikan Islam sebagai agama anutan mereka, yang memungkinkan pecahnya kongkongan dan tembok membelenggu pemikiran mereka.

Umat Islam perlu membebaskan diri dari penjajahan pemikiran yang membelenggu selama ini dan sewajarnya lebih banyak negara umat ilam sepatutnya menjadi jurubicara negara umat Islam seperti peranan dimainkan Iran sejak revolusi Islam pada 1979.

Kebimbangan AS, barat dan rejim Zionis bertempat kerana Iranlah satu-satunya negara umat Islam terutama melalui Presiden AhmadiNejad yang sanggup berdepan langsung dengan AS dan kuasa sekutunya, walaupun menerima sekatan paling ketat.

Iran akan muncul sedikit pun tidak tercedera dan terguris dengan segala polisi sekatan dikenakan kerana keiltizaman dan istiqamah rakyatnya telah dilatih dalam menghadapi tribulasi melampaui tiga dekad, sejak revolusi dipimpin Al-Marhum Ayatulllah Ruhullah Imam Khoemaini.

Atas hakikat peranan dimainkan Iran inilah, AS dan barat mengasak Iran terutama dalam isu nuklearnya, tetapi Iran memperlihatkan ketelusan serta kini ada dalam kalangan negara barat yang mahukan Iran dibawa kemeja rundingan semula.

Di sebalik sekatan dan ancaman terhadap Iran oleh AS serta kuasa sekutunya dan Iran mempamerkan keperibadian dan jati diri yang unggul, Iran kini menjadi kuasa yang dicemburui dirantau Timur Tengah, apabila Iran dapat meluaskan rangkaian pengaruhnya atas sikap dan dasarnya yang gigih mempertahankan Islam dan ummah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111