" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Monday, September 13, 2010

Anwar diminta campur sebelum ulser jadi barah

Oleh Dr. Ramli Daud

Ketika mana para jeneralnya kalut melobi dan berkempen untuk menduduki kerusi nombor dua parti, Datuk Seri Anwar masih berdiam diri dan tidak memberikan indikasi jelas samada dia mahu atau tidak memegang jawatan presiden parti PKR.'

Ahli-ahli parti barangkali masih lagi menunggu pengumuman rasmi beliau, samada untuk tampil memimpin PKR secara langsung sebagai presiden atau mahu terus dengan kedudukannya sebagai ketua umum parti; suatu kedudukan yang dicipta khas untuk dirinya ketika mana dia tidak diperbolehkan memegang apa-apa jawatan dalam parti ekoran hukuman yang dipaksakan ke atasnya

Alasan Anwar dan alasan yang dikongsi bersama oleh barisan pimpinan tertinggi PKR adalah; jika Anwar ditaqdirkan dipenjara lagi nanti, maka siapa pula yang akan memangku jawatan tersebut. Makanya pada pendapat kolektif mereka, adalah lebih selamat jika Datuk Seri Dr. Wan Azizah terus menjadi presiden. Namun yang selamat hanyalah “kuasa” Anwar ke atas parti PKR, kerana dia masih boleh memberi arahan kepada isterinya yang tidak mungkin akan engkar. Jika orang lain yang memangku jawatan tersebut barangkali Anwar akan sakit kepala di dalam penjara.

Namun formula seperti itu tidak juga dapat menyelesaikan polimik kepemimpinan parti PKR secara keseluruhannya kerana ada satu lagi jawatan penting yang menjadi sasaran mereka yang berminat menjadi orang penting parti. Hal ini menjadi nyata apabila timbalan presiden sekarang, iaitu Dr. Syed Hussin Ali sudah memberikan tanda-tanda untuk tidak lagi memegang jawatan tersebut. Hakikat ini membuka ruang kepada perebutan jawatan tersebut di kalangan beberapa pemimpin lama dan baru dalam PKR, yang terngiur dengan prospek kedudukan berimbuhan besar dalam kerajaan baru yang mahu dibentuk selepas PRU ke 13 nanti, baik di negeri mahupun di persekutuan.

Maka berterbanganlah calon-calon timbalan presiden ke seluruh pelusuk Negara menemui ahli parti dan memohon sokongan bagi menjawat jawatan tersebut. Malah adalah yang mendakwa dia direstui oleh Anwar untuk bertanding merebut jawatan kedua penting itu. Nyaris-nyaris pula para calon tersebut “berlanggaran” antara satu dengan lain di medan kempen dek kerana “lajunya” jentera kempen yang terpaksa mengatur “agenda bersalam” dengan sebanyak mungkin bakal pengundi dalam pemilihan pemimpin parti PKR; yang dianggarkan berjumlah hampir setengah juta itu.

Kini, agenda parti untuk menang pilihanraya umum yang akan datang nampaknya sudah jatuh ke urutan nombor dua. Agenda yang aula calon-calon berkenaan adalah memastikan jawatan nombor dua dapat dipegang menjelang bulan November nanti.

Begitulah juga, para penyokong masing-masing pun menjadi sibuk dengan pelbagai program yang bermatlamat mendapatkan sebanyak mungkin ahli turun mengundi calon pilihan mereka. Bajet pengangkutan, makan minum dan duit saguhati atas pelbagai nama sudah mula disiapkan dalam blueprint kempen masing-masing. “envelop-envelop” pun sudah ditempah. Malahan wang pendahuluan bagi belanja berkaitan sudahpun keluar masuk akaun-akaun rahsia yang ramai ahli parti tidak tahu mengenainya.

Kalau tidak dengan turunnya bajet seperti itu masakan mungkin jentera parti peringkat cabang dan ranting yang diketahui miskin itu mampu menganjur siri-siri pertemuan dan makan-makan yang ditopengkan dengan majlis berbuka, jamuan hari raya, meraikan anak yatim dan pelbagai acara kreatif yang tidak berupaya dianjurkan selama ini.

Inilah “wajah-wajah politik lama” yang diperbaharui dan dimodifikasi serta dipaksakan ke dalam budaya politik parti PKR, oleh mereka yang dulunya pernah dijangkiti oleh sindrom yang memualkan itu. Semua amalan yang tidak relevan itu dihidangkan kembali demi untuk merebut jawatan dalam parti termasuklah jawatan nombor dua parti PKR, yang pada pendangan mereka akan menjanjikan jawatan terpenting dalam kerajaan yang mahu mereka rampas nanti.

Ini belum lagi di kira betapa “gah”nya kempen pemilihan di peringkat cabang yang sudah menampakkan amalan huduh bakal-bakal pemimpin yang akan di amanahkan memimpin negara dan negeri. Apatah lagi dengan kempen jawatan Ketua AMK yang mirip stail berkempen jawatan dalam Pemuda Umno, dan tidak kurang hebat jawatan Ketua Wanita. Budaya mempromosi pen“cai-cai” oleh “ketua kem” yang bertanding membayangkan seolah-olah parti PKR ini sedang asyik menostalgiakan fenomena puak Ghee Hin dan Hai San yang berebut kuasa untuk memerintah lombong bijih di Perak dan Selangor suatu ketika dulu.

Apakah parti PKR mahu menghidupkan kembali budaya berkempen seperti ini yang telah membusukkan dan mereputkan kepemimpinan Umno? Tidakkah ada kaedah lain yang dapat difikirkan bagi mengurang dan meniadakan budaya berkempen dan memilih pemimpin dengan cara begitu ?

Jika benar ajaran Islam menjadi salah satu teras penting perjuangan PKR, maka budaya seperti ini tidak wajar dibenarkan berputik dan mengakar dalam parti. Ahli-ahli parti akhirnya akan menjadi bosan dengan karenah pemimpin yang hanya sibuk dengan agenda menjamin kedudukan mereka di dalam parti daripada berusaha menjamin kedudukan dan nasib rakyat terbanyak.

Justeru itu Anwar harus segera melakukan sesuatu tindakan yang “di luar kebiasaan” dalam konteks mendidik pemimpin dan pendokong parti mengamal pendemokrasian pemilihan barisan kepemimpinan parti. Tidak dapat dinafikan bahawa tidak semua amalan demokrasi dapat menatijahkan kebaikan kepada organisasi. Ada kalanya elemen otokrasi perlu digunakan sesekali dan dalam banyak hal elemen perundingan dan permuafakatan perlu diutama serta diperbanyakkan.

Kenapa tidak dibudayakan amalan permuafakatan dan perundingan sesama pemimpin pelbagai peringkat dalam menentukan barisan pemimpin parti PKR. Kenapa juga tidak dibudayakan amalan berkongsi dan bergiliran memimpin dalam parti jika benar para pemimpin parti PKR mendukung semangat perjuangan yang mengutamakan rakyat daripada kedudukan mereka sendiri.

Banyak sekali ajaran dan pengalaman dari sejarah kepemimpinan Islam yang barangkali disifatkan tidak demokratik oleh sesetengah pihak namun terbukti berjaya “mengamankan organisasi” .
Hujjah untuk menyuburkan demokrasi dalam parti melalui amalan bertanding dan berkempen memang ada kebenarannya, tetapi mempraktikkan elemen-elemen demokrasi yang berpotensi memusnahkan keharmonian dan keintiman silaturrahim anggota parti tentunya tidak akan mendatang apa-apa kebaikan kepada parti. Lebih malang lagi apabila ianya menjurus kepada sengketa dan permusuhan sesama pendokong dan juga penyokong yang akhirnya melemah dan mencederakan parti.

Anwar harus segera bertindak membunuh “ulser kecil” yang bakal membengkak menjadi “kanser” dalam parti PKR ini. Dia harus segera menamatkan persaingan tidak sihat bagi jawatan-jawatan dalam parti terutamanya jawatan penting seperti timbalan presiden yang hangat diperkatakan sekarang ini.

Sebagai “Mudir Am” parti sekarang ini, Anwar seharusnya sudah mencium bau-bau busuk yang di”kencingkan” oleh beberapa pemimpin parti yang beriya-iya mahu bertanding. Bau busuk ini tidak harus dibenarkan menghancing parti. Anwar tidak boleh membenarkan gejala buruk ini dihidupkan dalam parti PKR yang menjadi harapan rakyat untuk merubah senario politik negara.

Masa yang lebih banyak harus diberikan untuk merumuskan formula damai dalam parti di segenap peringkat. Jika kesemua ratusan pemimpin yang mahu bertanding itu perlu dipanggil dan diberi nasihat dan kaunseling politik, maka ianya harus dilakukan. Malahan jika terpaksa di panggil mereka yang terlibat itu untuk diberi amaran, maka Anwar harus melakukannya sekarang dan bukannya menunggu sehingga ada aduan rasmi dari pihak yang kalah nanti.

Inilah yang dinamakan proses mendidik ahli parti. Mendidik dari awal dan mendidik melalui bimbingan dan tegahan. Jangan hanya selepas berlakunya tragedi buruk dalam kempen barulah mahu diambil tindakan ke atas yang terlibat dengan alasan untuk mendidik ahli supaya lebih berdisiplin. Pendidikan awal melalui penasihatan dan amaran adalah lebih penting dari menghukum setelah terbabas.

Apakah susahnya bagi Anwar untuk memanggil nama-nama yang disebut untuk bertanding dan diberikan nasihat serta dimuafakatkan sesama mereka. Apakah tindakan sebegitu akan dikatakan tidak demokratik kerana menyekat hak untuk bertanding dan memimpin. Meskipun perlembagaan parti telah mengggariskan hak-hak mengamalkan demokrasi dalam parti, namun apakah berunding dan bermuafakat untuk mengelak pertandingan yang kurang sihat itu tidak demokratik sifatnya. Jika demokrasi di dalam organisasi itu bermakna kita harus membenarkan amalan-amalan yang boleh membawa kemudharatan kepada parti, maka organisasi yang sedemikian itu akan membawa malang kepada rakyat terbanyak.

Jika pendekatan begitu juga disifatkan tidak demokratik, masakan Rasulullah S.A.W melarang Abu Dzar Al Ghiffari dari menawarkan diri untuk memegang sesuatu jawatan tertentu kerana terdapat padanya sifat-sifat yang kurang sesuai dengan tugas yang dipinta itu. Tentunya kerana Nabi Muhammad s.a.w amat tahu sejauh mana kemampuan Abu Dzar dan akibat buruk jika Abu Dzar diberi jawatan yang dimahukannya itu.

Kes-kes Nabi S.A.W melarang para sahabatnya meminta-minta diberikan jawatan bukannya hanya satu dan terpencil malah lebih dari satu. Antara hadith yang terkenal adalah hadith daripada Abdul Rahman bin Samurah yang merawikan bahawa Nabi SAW bersabda kepadanya:

“Wahai ‘Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau dibebankan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu (oleh Allah) – (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Nasaie dan Ahmad)

Jika falsafah kepemimpinan Islam mahu dijadikan rujukan serta model dalam kepemimpinan PKR, maka pesan Nabi S.A.W . ini sudah cukup untuk meyakinkan diri Anwar dan para pimpinan utama PKR bahawa inilah sebenarnya semangat politik baru yang harus diterapkan di dalam parti.

Jika semangat kepemimpinan Umar Abd Aziz boleh dijunjung dan mahu dicontohi oleh pemimpin utama DAP, kenapa semangat murni seperti ini, yang juga diajarkan oleh Nabi kepada Umar Abd Aziz tidak mahu diterap dan disuburkan di dalam parti PKR yang sering mengungkap kepemimpinan Nabi Muhammad S.A.W sebagai model mereka?

Anwar tidak harus terus membenarkan “politiking” dalam parti PKR disuburkan dan dibiarkan berterusan. Langkah drastik harus diambil mengawal potensi barah yang bakal merayap dalam tubuh PKR dan “politiking” yang paling berbahaya sekarang ini adalah perebutan jawatan nombor dua parti.

Anwar harus segera memberhentikannya. Caranya tidaklah payah. Paling tidak untuk sementara waktu atau buat sesi kali ini, sebagai persiapan menghadapi pilihanraya umum yang akan datang. Paling tidak juga sebagai usaha awal mendidik ahli parti supaya memulakan semangat perundingan, musyawwarah dan muafakat .

Masalah perebutan jawatan timbalan presiden tidak akan menjadi panas jika Anwar campur tangan dan memberi indikasi bahawa dia tidak mahu berlaku perebutan bagi merebut jawatan tersebut. Mungkin ada yang akan engkar, tetapi ahli terbanyak akan tahu menimbang samada untuk memilih formula damai atau terus menerus menghabiskan masa berebutan jawatan.

Formulanya tidaklah sangat payah. Sarankan agar “status quo” barisan kepemimpinan utama parti yang sedia ada di kekalkan, paling tidak untuk sementara waktu. Jika Timbalan presiden sekarang ini tidak mahu terus memegang jawatan tersebut atas alasan “uzur syarie”, maka formula kedua dan yang paling praktis adalah menawarkan jawatan timbalan presiden kepada Datin Seri Wan Azizah yang perlu mengosongkan kerusi presiden untuk Anwar.

Menawarkan jawatan timbalan presiden kepada Wan Azizah bukan bermakna mahu mengamalkan kronisma dan nepotisme dalam parti, tetapi strategi serampang dua mata untuk menyelamatkan parti dari berlakunya pertandingan timbalan presiden dan sebagai persediaan jika Anwar dihumban ke penjara sekali lagi.

Jika Wan Azizah bertanding timbalan presiden apakah akan ada calon lain yang tega mencabarnya? Mungkin akan ada, tapi orang berkenaan pastinya seseorang yang tidak pernah menghayati “falsafah perjuangan sebenar” PKR. Dia mungkin orang baru yang agak asing dengan “cara hidup” perjuangan PKR selama ini atau dia seorang lama yang tidak pernah kenyang dengan jawatan yang dia sendiri tidak berjaya membuktikan keberkesanan dan kehebatan sumbangannya kepada parti dan rakyat.

Inilah antara pilihan yang ada jika Anwar mahu melihat kedamaian dalam pemilihan parti buat masa ini. Paling tidak bagi jawatan timbalan presiden kerana ia merupakan satu jawatan yang amat kritikal, sangat penting dan diperhatikan oleh rakyat selain dari jawatan presiden. Jawatan naib presiden PKR yang boleh diduduki oleh lebih dari seorang tentunya tidak akan mengundang “politiking” hebat di kalangan calon-calon yang mahu menawarkan diri.
Dengan tampilnya Anwar untuk memimpin parti sebagai presiden secara langsung, tentunya impak terhadap semangat ahli akan bertambah. Begitu juga terhadap moral parti komponen Pakatan Rakyat.

Kali ini Anwar harus tampil memimpin langsung parti PKR sebagai presiden yang mempunyai kuasa penuh mengatur strategi dan gerak kerja parti. Mencipta jawatan ketua umum yang menjadi “tangan ajaib” dalam mengatur kepemimpinan parti PKR sudah tidak relevan lagi kerana Anwar kini sudah boleh bertanding dan memegang jawatan dalam parti dan tidak lagi seperti sebelumnya. Ahli parti harus segera bangkit menobatkan Anwar sebagai ketua rasmi mereka dan bersama-sama membentengkan dada berdepan dengan serangan politik Umno/BN yang mahu memenjarakan Anwar sekali lagi.

Semangat para ahli PKR untuk mempertahankan presiden mereka tentunya lebih “membara” kerana gelaran presiden adalah maruah tertinggi parti yang mesti dijaga agar tidak dinyahkan dari parti oleh mana-mana pihak. Presiden parti adalah imej terpenting parti yang harus dipertahankan sehingga ke titisan darah terakhir.

Anwar harus segera menyatakan pendirian untuk langsung memimpin parti kerana dengannya semangat perjuangan ahli PKR untuk bangkit melawan BN akan kembali menyala-nyala. Anwar harus sedar betapa ahli amat memerlukan kehadirannya menjadi Presiden PKR pada masa ini. Ianya bukan sekadar untuk menyelamatkan “politiking” di dalam parti sahaja, tetapi ahli terbanyak mahukan Anwar mengambil tanggungjawab memegang “steering” dan memandu parti secara langsung dan bukannya memberi arahan dari kejauhan.

Kenapa Anwar perlu takut untuk tampil memimpin parti, kalau hanya kerana bimbangkan parti akan kehilangan presiden yang mungkin akan dipenjara. Jika di takdirkan dia terpenjara lagi bukankah akan ada pemangku presiden yang telah terbukti mempunyai kemampuan menjadi Presiden PKR selama lebih satu dekad.

Jadi tidak ada sebab Anwar menolak kehendak ahli parti yang mahukan dia menjadi Presiden secara langsung pada kali ini. Jangan sampai ada ahli yang akan kecewa dan akan menempelak Anwar sebagai seorang yang sememangnya tidak layak menjadi Presiden tetapi hanya layak menjadi Ketua Umum sahaja, yakni untuk mengetuai kerja-kerja mengumumkan berita yang boleh menggemparkan rakyat jelata.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111